Ads

Wednesday, July 16, 2008

Pengalaman yang tak ingin ku lalui lagi






Jodohku hanya bertahan tiga bulan sahaja. Ketika kami berpisah, aku baru disahkan mengandung bulan ke dua. Berat rasanya menanggung derita alahan mengandung di samping meratapi ketiadaan suami secara tiba-tiba di saat aku amat memerlukan perhatian dan kasih sayang. Itu belum lagi pandangan serong masyarakat terhadapku dan tekanan diterima oleh ibubapaku yang baru menerima menantu pertama. Oh.. tak tertanggung rasanya..

Sepanjang bulan-bulan berikutnya, aku berjuang bersendirian, mencari rezeki buat mengumpul perbelanjaan bersalin. Ketika perut semakin membesar, aku terpaksa bekerja lebih masa untuk menampung perbelanjaan bulanan dan tabungan bersalin nanti . Aku berazam untuk tidak menyusahkan keluargaku yang telah sedia malu kerana anak ditinggalkan suami ketika inai masih merah dijari. Niatku ialah untuk mengadakan kenduri aqiqah sebaik aku bersalin.

Aku mengisi masa terluang di waktu malam dengan membaca al-Quran dan berjaya khatam sebelum aku bersalin. Aku tidak membenarkan diriku mengelamun atau mengenang nasib malang walau kadangkala airmata tak terbendung dari mengalir jua ke pipi. Ketika saat-saat sebegitulah, aku akan mengusap perutku dan mengatakan aku tidak akan sekali-kali melakukan perkara yang akan menjejaskan emosi anakku nanti. Aku tahu bahawa Allah sedang mengujiku dan sudah pasti mampu melepasi ujian itu.

Bulan kesembilan aku memohon cuti awal seminggu dari tarikh jangkaan bersalin kerana mahu mendapat persediaan mental dan rehat secukupnya. Keluarga mertuaku mahu aku tinggal dirumahnya sedangkan aku teringin berpantang di rumah keluargaku sendiri tetapi ibuku masih bersikap dingin terhadapku. Aku buntu sehingga ke minggu-minggu akhir aku masih belum membuat keputusan walaupun pemeriksaan berkala mengandung aku lakukan di bandar Banting.


Ayan berusia 2 minggu, pada hari cukur jambulnya.




Pada pemeriksaan di Hospital Daerah Banting, aku mengesan cairan darah telah mula keluar. Jururawat memberitahu bahawa aku mungkin akan bersalin pada satu atau dua hari lagi. Adikku yang menemani ketika itu mula panik manakala aku pula masih tidak tahu mahu bersalin di mana. Petang itu, kami pulang ke Klang dengan menaiki bas dan adik terus memberitahu ibu tentang keadaanku tanpa pengetahuanku. Tanpa berlengah lagi ibu memaksaku ke hospital berdekatan dan kami bergegas ke hospital menaiki kereta jiran. Sampai di hospital, baru aku sedar yang kad rawatan tidak ku bawa bersama dan terpaksa menelefon bapaku di rumah yang keberatan untuk menghantarnya ke hospital. Hampir tengah malam bapa tiba di hospital sambil marah-marah. Waktu itu, aku hanya berserah kepada Yang Maha Esa kerana Dia sahaja yang Maha Mengetahui apa yang kualami pada saat itu.

Nasib menyebelahiku, apabila hospital tersebut tidak menghalang aku bersalin di sana walaupun aku tidak berdaftar di situ. Aku terus dimasukkan ke wad. Dua malam kemudian barulah aku benar-benar sakit bersalin setelah air ketuban ke pecah pada sebelah beberapa jam sebelum itu. Ketika akan di bawa di bilik bersalin jururawat bertanya di mana suamiku, lantas ku jawab ‘out station’ untuk memendekkan cerita. Jadi jururawatlah yang menyiapkan keperluanku kerana tiada sesiapapun menungguku.

Alhamdulillah, tarikh keramat 13 November 1991, Allah permudahkan aku bersalin walaupun agak lama menunggu tetapi aku tidak menghadapi sakit bersalin yang panjang dan bayi seberat 3.2kg itu pun dilahirkan dengan mudah tepat jam 11.05malam. Sekali lagi jururawat bertanya suamiku ketika aku dibawa ke wad selepas bersalin dan sekali lagi aku terpaksa berbohong dengan mengatakan bahawa suamiku bekerja di luar negara.





Sicomel pujaan ramai ketika berusia setahun.

Jika selama aku mengandung aku dapat bersikap kental dan tetap bersemangat kuat tetapi selepas bersalin, semangatku seolah-olah hilang bersama-sama keluarnya bayi dari rahimku. Aku teramat mahukan kehadiran suami untuk mengendong dan mengazankan anakku. Tubuhku terlalu lemah namun mataku tidak lepas-lepas memandang ke pintu mengharapkan orang yang membuka pintu itu adalah suamiku walau ku tahu itu tidak mungkin terjadi. Pilu dan sayu amat terasa melihatkan suami orang lain membelai isteri dan mengazankan anak mereka dengan penuh kesyukuran. Ingin mulutku memohon dari suami mereka supaya sudi mengalunkan azan di telinga anakku namun lidahku terasa kelu. Hanya airmata menemaniku sepanjang malam. Sicomel Muhammad Nurfarhan seakan mengerti keadaanku hanya nyenyak tidur hingga ke subuh. Aku dimarahi jururawat kerana tidak mahu makan dan minum buat menyambung tenaga tapi aku tidak punya kekuatan walau untuk mengangkat tangan. Semangatku luruh dan melayang entah kemana.

Selepas subuh keesokan harinya, aku melangkah lemah ke telefon awam berdekatan untuk menghubungi ibuku memberinya khabar yang dia telah menjadi seorang nenek. Sungguh, aku tidak mengharapkan apa-apa reaksi pun darinya. Rupanya, dia bergegas datang dan seolah-olah kasih sayangnya melimpah ruah sebaik melihat wajah cucu sulungnya itu. Itulah cucu kesayangannya yang dipanggil ‘Hakim’.



Ragam ayan bergambar dengan ibu, abah, Farah dan Firdaus ketika berumur 4 tahun.

17 tahun berlalu, kini anakku membesar didepan mata sebagai anak yang bijak dan amat menyayangiku. Aku dapat merasakan ikatan batin yang amat kuat antara kami lantaran pengalaman yang kami lalui bersama. Pengalaman yang teramat mahal yang tak ingin kulalui lagi. Kini aku telah pun mempunyai dua orang cahaya mata lagi dan suami yang penyayang dari perkahwinan keduaku.

Kepada ibu-ibu yang senasib denganku, jangan cepat mengalah kepada keadaan. Sesungguhnya anak dalam kandungan merupakan tunggak kekuatan dan jangan izinkan kekecewaan dan putus asa bersarang dihati.. Curahkan kasih sayang kepada anak dan jangan sekali-kali menyalahkan takdir. Jadikan al-Quran sebagai teman setia sepanjang masa suka dan duka terutama ketika mengandung. Percayalah, jiwa akan sentiasa tenang dan tentunya akan ada sinar menanti di hujung jalan.



Saat istimewa kami di Jabal Rahmah ketika menunaikan umrah pada tahun 2004 , Ayan berumur 14 tahun..

p/s ; niat menulis artikel ini bukan untuk riak atau ujub tapi sekadar renungan dan kenangan pembaca juga untuk mengasah bakat penulisanku. Posting ini telah ku hantar ke majalah MIDI untuk ruangan Hati Seorang Ibu

Saturday, July 12, 2008

Rasalah masakan Farah

Hari ini ibu suruh masak tengahari sebab sat lagi ibu nak keluar ambil Faris balik tiusyen. Farah kata nak belajar masak beneng kobis.... campur suun dan kentang. Kobis potong besar-besar, baru syok makan!!
Biasanya makan sayur beneng ni sedap dengan sambal belacan tapi hari ni Farah masak sardin tumis, bubuh bawang besar banyak-banyak, cili rawit banyak-banyak, bawang putih,serai sebatang dan tomato hiris. Lagi pedas lagi best!!
Yang ini ibu punya resepi iaitu sambal bilis dan tempe. Goreng berasingan bilis dan tempe yang dah dihiris agak nipis. Tumiskan 3 labu bawang besar, bawang putih, cili rawit dan masukkan 2 sudu besar cili giling. Tambah garam dan gula. Kacau sehingga betul-betul garing barulah masukkan bilis dan tempe tadi. Kacau lebih kurang dan angkat.

Bila makan bayangkanlah bunyi nye.. krup krup... krap krap...
Nak jadi cerita tu, abah dia balik nak makan, nasi dah habis. Terkejut betul ibu, rupanya abang Ayan dah makan dengan kawan dia, habis satu periuk nasi. Nasib baik lauk pauk ada lagi!.. Inilah penangan masakan Farah agaknya..









Saturday, July 5, 2008

Budak-budak bermain bola






Pada hari Sabtu yang lalu, 5 Julai 2008, pasukan bola sepak anak-anak Taman Dato Bandar (TDB), telah mengambil bahagian dalam perlawanan persahabatan bola sepak dengan pasukan Taman Meru Makmur. Kebanyakan pemain adalah anak-anak bersekolah rendah.






Pemain bergambar selepas tamat permainan. Pasukan tuan rumah paka baju kale-kale, pihak lawan pakai baju merah.Aksi-aksi mendebarkan sehingga membawa kepada kekalahan tuan rumah 4-7.. Gambar ni diambil dari tingkap rumahku.. (mmm.. boleh tahan jugak, kamera ni ye..)
Tu yang baju putih, anak sedara saya. Dia menang tokoh sukan sekolah tau!



Ini macam di Guantanamo Bay je!. Eh tak lah... di tepi surau. Sambil tengok bola diaorang dah standby untuk solat maghrib. Kalau tak salah warga Bangla. Di taman ni memang berbilang bangsa antarabangsa ada.. meriah! Tak caya tengok gambar seterusnya... Ha tu.. dari India la pulak. Memang ramai penonton, kalah Euro 08.. selalu jugak dia orang ni tengok bebudak main di padang ni. Teringat anak sendiri kat kampung ke!

Ini pula, pengulas sukan secara langsung dari tepi padang..





Amboi, begitu gembira sekali dengan kekalahan!!






Apapun, dah nama budak-budak dah main berhempas pulas pun, relak je.
Anyway.. keep up the good spirit guys.. bravo to coach cum referee cum everything.. cik Halim Aini. Sori gambar tak sempat ambik.. adios!!


























Wednesday, July 2, 2008

Nak percaya ke? jeng jeng jeng



Sejak dua tiga bulan kebelakangan, ada beberapa insiden yang berlaku kat rumah yang misteri-misteri gitu. Nak tau... jom!


Kisah 1 - Satu pagi jumaat tu waktu aku tengah sidai kain, kira-kira jam 9.00 pagi la macam tu, tiba-tiba anak aku Ayan tanya,"Bu, tadi ada budak kecik masuk rumah kita tak?". Aku kata mana ada orang, memang pun. aku aje yang ada kat bawah. Ayan kata masa dia tengah mandi, kawan dia dok sorang-sorang tunggu dia dalam bilik. Dia kata ada budak perempuan turun tangga..... jeng jeng jeng sapa tu?. Budak tu pakai baju kurung hijau, rambut pendek paras bahu.. Mana aku ada anak perempuan macam tu. Farah pun tak de kat rumah, dia gi sekolah..






Kisah 2 - Farah letak handphone dia atas kabinet di tingkat bawah sebelum dia pergi sekolah.. aku memang nampak phone tu kat situ, tapi buat tak peduli ajela. Lepas dia balik sekolah, melilau dia cari phone tu tapi tak jumpa. Apalagi dia tuduh si Faris ambiklah.. mana budak tu nak mengaku. Sambil cari merata-rata kat rumah, entah macamana Faris jumpa bawah katil farah.. jeng jeng jeng camno tu?






Kisah 3 - Satu pagi tu aku nak pergi ke kenduri kahwin sepupu. Tengah aku nak pakai sarung lengan aku perasan gelang emas putih kat tangan dah tak de. Heran jugak, sejak aku beli 4 tahun dulu memang tak pernah tertanggal.. tapi sebab nak cepat, aku tak cari pun, pun cuma aku yakin satu hari nanti aku jumpa. Sebulan lepas tu, cik abang aku tengah clearkan suratkhabar lama, tiba-tiba dia tunjuk kat aku gelang tu. Ada celah-celah suratkhabar.. aku naik seram jugak nak pakai balik... tapi aku pakailah jugakkan.. dah itu harta yang aku ada.. aku test bukak kancing (kanan kiri ada kancing) sebelah kiri tu memang selalu terbukak, tapi yang sebelah kanan tu .. memang nak kena paksa sikit baru boleh buka. Memang sah-sah tak boleh tertanggal sendiri.. camno ek?


Kisah 4 - Farah tiba-tiba hilang selipar baru dua tiga hari beli, tapi ada sepasang selipar perempuan lain kat tempat dia, saiz kecil sikit. Sebab dia anak dara sorang, memang takde orang akan kacau selipar dia tu. Semua orang heran.. tapi lepas 2-3 hari hilang, pagi-pagi tengok ada depan pintu. Yang selipar orang punya tu dah takde..camno ni? hai makin haru..

Kisah 5 - Faris selalu tiba di rumah jam 1.20 ptg dari sekolah pagi. Aku la bukak pintu untuk dia, sebab aku sorang aje ada kat rumah time-time tu. Satu hari tu, tiba-tiba aku tengok dia dah ada dalam rumah.. aku tanya dia macamana masuk sedangkan ibu kunci pintu?. Dia jawab, kunci ada tersangkut kat pintu? Pelik pulak sebab kunci aku dah cek memang tak de pagi tadi. (kadang-kadang aku atau ayan letak kat celah pasu) .. tapi tak pernah aku biar sangkut kat pintu...lagi la haru?


Husband aku memang tak nak percaya bab-bab ni kan.. tapi baca ni..


Kisah 6 - Baru-baru ni balik dari outstation, dia tanya aku ada tak nampak spek mata dia?. Untuk pengetahuan abang aku ni dah rabun yang amat. Baca tulisan dah tak nampak kalau tak de spek. Biasanya di taruh atas meja tepi katil.. Aku manalah tau mana dia letak, sebab kalau compare aku dengan dia ni, dia lebih cermat dan teliti. Aku selalu letak barang sana sini.. Ada la 3 hari hilang. Tiba-tiba aku terjumpa terselit kat satu beg kertas yang biasa isi souvenir... Dia dah pandang aku semacam.. camno.. nak cayo ke tak ni?

Terbaru.. semalam


Kisah 7 - Ayan tengah makan tengahari, baru balik sekolah. Dia on kipas ruang tamu pakai remort control speed - high. Tengah makan tu, dia dengar bunyi macam control slowkan kipas... lepas tu kipas tu slow to medium. Remote atas meja tu dia tak usik pun.. Tak lama lepas tu.. bunyi lagi. control slow.. kipas tu pun lagi slow. lepas tu langsung berhenti. Tapi kes ini.. aku tak pasti misteri atau tak.. sebab masa aku tengah taip ni, faris kata memang tak boleh on langsung... percaya ke tak?






He he he.. Kalau setakat bunyi orang bagi salam atau ketuk pintu ... ala dah biasa dah.. Tapi aku respek anak-anak aku.. dia orang memang berani. buat tak kisah. alhamdulillah.. baru ini aku tinggalkan dia orang tiga beradik masa aku dan husband ke penang 3 hari dua malam.. dia orang okay je.. anak orang lain belum tentu...