Ads

Friday, March 13, 2009

Hari Keluarga - cerita lagi

Jumpa lagi dalam siri 2 - Hari Keluarga Hj Ghani. Kali ini kita sembang pasal makanan dan kisah 'the making of' nya pulak.


Perbincangan antara saya, kakak sepupu Hawa dan adik sepupu, Zila (konon-konon wakil keluarga la ni ) telah dilakukan sejak akhir tahun lepas, iaitu ketika perkahwinan Nana. Kemudian kami mengadakan mesyuarat antara sepupu dan ibu bapa kami pada awal bulan Januari iaitu di majlis perkahwinan abang Zila, Fitri. Kata putus pun dicapai tentang tarikh, tempat dan menu serta acara. Temanya pula ialah tradisi Jawa. Tetamu digalakkan memakai batik atau kain pelekat.


Pembahagian tugas dibuat mengikut keluarga. Adik beradik saya terlibat untuk menyediakan menu utama iaitu bbq - ayam, kambing dan sebagainya. Saya sebagai penyelaras bertanggung jawab menyiapkan kad jemputan, minit mesyuarat, khemah dan lain-lain urusan. Ala, kan saya la yang paling 'free' dan beria-ia sangat nak buat majlis ni. Kerja kena lebih la..


Adik beradik Hawa ditugaskan untuk menyediakan hadiah, cenderahati dan pulut kuning. Adik beradik Zila masak nasi ambeng istimewa. Nasi ambeng merupakan nasi putih berserta lauk pauk seperti ayam masak kicap, sayur kacang atau buncis tumis dengan suhun, tempe goreng, ikan masin dan tentunya serunding kelapa. Makanan Jawa ini biasanya dimakan ketika kenduri kendara.


Keluarga Cik Nang bermurah hati menaja 500 cucuk sate siap dengan lontong. Oleh kerana keluarga Cik Usop merupakan tuan rumah, hanya perlu menyediakan rumah terutama ruang untuk solat berjamaah. Kami juga memutuskan pada sesiapa yang menyumbang makanan lain juga dialu-alukan. Selain dari itu, setiap keluarga diwajibkan membayar RM30 untuk penyelenggaraan, khemah serta minuman.


Semua sepupu dikehendaki berada di rumah Nyai selepas asar untuk persiapan terakhir seperti menghias khemah, membakar bbq dan menyusun makanan.


Pulut kuning yang disediakan oleh mak Hawa, Wak Usu beserta rendang daging sekali, menanti untuk dipotong dan disuap.


Cup cake untuk sambutan hari jadi disediakan oleh Hawa & famili juga. Comel dan cute sangat!!



Lihatlah dunia! Seperiuk sos lada hitam, ayam, udang dan daging bakar terhidang sedia untuk diratah. Saya dan adik Nor bertungkus lumus menyiang dan memerap bahan bbq sebab adik-adik lain ada yang bekerja dan ke sekolah. 8 ekor ayam, 4 kg daging lembu dan kambing, 4 kg cencaru, 4 kg kerang dan 4 kg udang.




Ubi kemili ni Mid beli di Air Hitam Johor. Kebetulan beberapa hari sebelum tu, saya pergi ke JB ikut suami yang bertugas di sana. Tapi shot gambar alahai sedihnya...






Kerang bakar yang dikipas oleh Hanis dan Firdaus. Disaksikan dengan penuh minat oleh anak-anak buah Hanis. Kipas lagi Pak Cu!! Sambal kicap dan sambal asam pun dah siap dah!!

Selain dari menu yang telah ditetapkan, banyaaaaak lagi juadah sampingan turut disedekahkan oleh sedare mare. Antaranya, mi dan mi hun kari yang dimasak oleh Cik Leha. Dah bagi tau dia tak payah masak sebab dia tuan rumah, tapi nak jugak.. ha masak lah..


Bubur candel yang dibuat dari tepung pulut dan diwarna warnikan. Sapa nak tau lebih lagi, tengoklah fp Rinn.. ada resepi kat sana. Signifikan untuk orang Jawa ialah disediakan ketika upacara turun tanah baby.



Selain dari itu, ada juga tapai ubi (dulu Nyai suka jual tapai ubi...) dan kuih muih seperti kuih lapis perisa keladi, tahu sumbat, apam kecik-kecik warna pink dan lain-lain. Sayang gambar takde.. sebab Mid sibuk buat benda lain.. tak dan nak ambik gambar.


Ada lagi... lontong dan bubur som-som pun ada jugak. Bubur som-som ni dibuat dari tepung beras dan dikacau dengan santan dengan api perlahan sehingga berkilat dan tidak melekat. Dimakan dengan air gula melaka. Biasanya dibuat khusus selepas kenduri kahwin untuk orang yang rewang.



Sapa ingat,,air apakah itu? Inilah air loncan atau lebih dikenali dengan nama air oren johong. Untuk mengenang kembali masa kecik-kecik dulu Mid usahakan juga cari air botol ni. Akhirnya Mid jumpa di Alor Gajah, Melaka. Harganya RM1.50 sebotol, saya cuma beli 30 botol. Fuhh laris dan laris.. saya dengar siap ada yang sorok nak buat balik!


Minuman lain pula ialah air kelapa muda yang diimpot khas dari Tanjung Karang. Sayalah yang mengambil kelapa muda tu. Memandu dari Tanjung Karang ke Meru dengan but kereta penuh dengan 40 biji kelapa muda, dan semut-semut sekali.


Air sirap selasih juga mempunyai sejarah tersendiri. Dulu ada satu nenek tua, kami panggil dia Embah Rilah (pangkat sepupu Nyai kut).. tiap kali Hari Raya bila kami ke rumahnya, mesti dia hidangkan air sirap selasih. Sehinggakan kami menggelarkannya 'Nenek telur katak'. Kan biji selasih tu rupa dia macam telur katak... Sampai sekarang kami masih ingat lagi..


Air cendol pun ada. Orang Jawa dulu suka buat cendol sendiri apabila ada ahli keluarga yang mengandung tua ataupun dah terlebih hari. Kononnya untuk memudah dan mencepatkan bersalin. Kan cendol tu licin je... ( Boleh percaya ka!!)



Dekorasi di meja VIP. Lampu gasolin menghiasi khemah dan atas meja tu dari koleksi saya sendiri. Daun pisang dibentuk empat segi sebagai pengganti pinggan itu dipanggil 'taker'. Orang Jawa dulu-dulu tidak menggunakan plastik sebagai pembungkus makanan. Taker ini digunakan untuk mengisi nasi dan lauk pauk.







Ini satu lagi - ais krim Malaysia!! Best betul makan ramai-ramai. Semua dah jadi budak-budak!!Saya tempah dari jiran rumah saya. Dulu, rumah Nyai takde peti ais, jadi kami kena beli dari jiran sebelah rumah Nyai lah.. TV pun kena tengok kat sana. Aaa.. tengok ultraman dengan cerita Melayu..







Buktinya.. Nyai masih tetap suka makan ais krim ni. Dia paling suka perasa asam boi. Ais krim milo pun ada jugak! Wak Long Samsuri yang tak berapa sihat pun makan jugak.. best sangat.



Tengoklah tu, enjoy betul kami malam tu. Tapi saya dan Awa tak bolehlah nak makan awal sebab jadi pengacara majlis. Muzik latar pulak tahun 60an punya lagu. Jefri Din ada.. S Jibeng ada.. syok habis..
Abah dan sepupu mak yang datang dari KL. Wak Jembrang ni datang awal. Dia juga yang memimpin tahlil malam tu. Lepas tu, dia sukarela bercerita tentang kisah cinta Nyai dan Yai yang diketahui dari arwah mak dia dulu. Riuh rendah dibuatnya!!



Acara bungkus membungkus pun bermula setelah majlis tamat. Banyak betul makanan lebih. Anak-anakku pun pandai tolong juga. Masa ni saya baru nak mula makan.

Inilah orang-orang yang dah kekenyangan. Nyai dan anak-anak berehat sambil bersembang lagi. masa tu jam dah 1 pagi.. tak sedar langsung dah dinihari.

Projek cuci mencuci di bawah pohon kelapak! Adik Nor yang paling rajin kalau bab kemas mengemas ni.. Saya tunjuk rajin je.. he he


Kebanyakan barangan bbq, bufet trays dan bekas air dipinjam dari surau taman saya. Set pembakar bbq pun pinjam juga...




Budak kecik ni adalah antara cicit Nyai yang paling kecil sekali. Dia akan menangis setiap kali tengok muka Onyang dia tu. Takut betul..

Tak puas berkumpul, cucu-cucu lelaki berpakat main futsal tengah malam tu jugak. Keluarga Jamil lawan keluarga Samsuri.. Siapa menang? Tentulah keluarga Jamil..


Kain rentang ni takde dalam bajet awal, tapi saya rasa tak lengkap tanpanya. Jadi saya tempah dengan harga RM70 saja. Gambar arwah Yai tu dah 14 tahun dalam album, tapi gambar Nyai tu gambar terbarunya. Tak puas-puas saya tatap 'banner', rasa sentimental pun ada juga.

Saya dan adik Nor merupakan cucu Nyai yang terakhir pulang ke rumah. Hawa balik awal sedikit kerana anaknya dah mengamuk sebab mengantuk. Masa tu dah hampir pukul 2 lebih. Yang lain-lain lagilah awal...


Okay, itulah kisah Hari Keluarga Hj Ghani. Cik Siti tanya saya, tahun depan nak masak apa pulak? Amboi amboi amboi, seronok sakan lah tu.. Wak Long Samsuri pun kata dia gembira cuma ralat sikit sebab ada sepupu-sepupu berdekatan yang telah dijemput tidak dapat hadir..


Tak pelah, Insyaallah ada rezeki kita jumpa lagi. Kepada sahabat-sahabat yang tak pernah buat majlis 'Family Day', cubalah buat. Pertama, kita menyatukan ahli keluarga yang sesekali bertemu. Kedua, tentulah ganjaran besar Allah swt beri kerana kita menggembirakan orang tua, iaitu ibu bapa kita, dan ibubapanya juga, sementara masih hidup.. Fikirkan.. dan lakukanlah..
Saya dah berangan-angan nak buat majlis ulang tahun perkahwinan ibu bapa mertua saya ke 50... Insyaallah.


Tuesday, March 10, 2009

Hari keluarga Hj Ghani bin Kasim - 28 Februari 2009


Assalamualaikum dan apa khabar..


Lama tak sembang-sembang di blog, sebenarnya sibuk buat persiapan untuk Hari Keluarga Yai dan Nyai. Awalnya idea terdetik ketika menulis artikel tentang Nyai tahun lepas, tapi tak sangka boleh menjadi kenyataan sebab tak pernah buat sebelum ini.


Akhirnya, saya berbincang dengan adik-adik dan sepupu-sepupu dan setelah diubah tarikh sebanyak 3 kali, kami berjaya juga melangsungkan perjumpaan ini. Tujuan utama adalah untuk meraikan Nyai yang telah berumur 95 tahun dan juga merapatkan hubungan silaturrahim antara ahli keluarga. Seramai lebih kurang 100 orang anak-anak, cucu-cucu dan cicit hadir juga beberapa saudara terdekat Nyai yang telah kami jemput tanpa pengetahuannya. Jom tengok apa jadi, tapi sorilah.. gambar tak cantik sangat sebab kamera buat hal..
Untuk makluman keluarga Ghani adalah dari sebelah ibu saya dan keturunan Jawa tulin. Tapi sayang, cucu cicit tak reti dah cakap Jawa..


Tarikh 28 Februari 2009 menjadi tarikh keramat. Kami sengaja memilih untuk mengadakan majlis dirumah Nyai sendiri sebagai mengenang tanah kelahiran emak dan adik beradiknya. Mula berkumpul selepas Asar dan majlis dimulakan dengan solat maghrib berjamaah.



Walaupun mula agak lewat kerana Wak Long saya tidak berapa sihat, tetapi berzanji dan marhaban dapat diadakan sesama ahli keluarga diketuai oleh abah saya, Wak Jamil.


Antara jemputan yang hadir - cuma saudara Nyai terdekat dan rakan baiknya. Kami jemput secara rahsia buat surprise untuk Nyai.



Gambar ini ialah kolaj yang disediakan oleh adikku, Acik Kalimah, yang menunjukkan bagaimana rupa bentuk rumah Nyai dan halaman yang dipenuhi dengan pokok buah-buahan. Ada jambatan kayu, bilik mandi, paip JKR tepi jalan besar pun ada. Cuba perhati betul-betul - nampak tak gambar budak-budak dalam bakul? Ha konon-konon itulah saya dan adik-adik dalam bakul besar basikal aruah Yai. (Kalau nak tau cerita lanjut buka semula artikel sebelum ni pasal Nyai)



Wak Long Samsuri yang merupakan anak tertua yang masih hidup sedang menceritakan kisah aruah Yai semasa hayatnya. Rupanya arwah Yai dulu merupakan pendekar silat dan pernah membuka gelanggang silat di kampung. Tapi sayang tiada seorang pun anaknya yang diturunkan ilmu persilatan itu.



Nyai sedang memotong pulut kuning disisi Wak Long Samsuri. Nyai tau ada sesuatu akan dilangsungkan di rumahnya apabila khemah dipasang, tapi mungkin dia tidak menyangka majlis itu adalah untuk meraikannya. Jelas kelihatan Nyai sangat gembira dan terharu atas sambutan yang tidak pernah diterima seperti ini.


Lima orang anak dari sembilan yang dilahirkan, bersama-sama memotong pulut kuning tanda penghargaan dan kasih sayang pada emak tercinta. Ya, satu-satunya emak dimuka bumi ini.



Nyai menerima hadiah berupa pokok bonsai. Cucu yang bertanggung jawab untuk menyediakan hadiah pening kepala memikirkan apa hadiah sesuai untuk Nyai. Akhirnya Hawa dan adik-adiknya memilih pokok bonsai ini kerana tau Nyai sangat minat berkebun. Kelakarnya, Nyai asyik membelek-belek daun dan batang pokok bonsai tu. Dia tak pasti pokok betul atau pokok tiruan!!



Anak- anak menerima hadiah dari cucu-cucu tapi disampaikan oleh Nyai. Hadiah berupa 1 set lampu tidur, ooi romantiknya..
Kejutan untuk birthday girls and boys yang lahir pada bulan Februari. Wak Awa sediakan cup cake berlilin tertera nama masing-masing. Lepas tu tiup dan makan sendiri.

Ini pasangan yang menyambut ulang tahun perkahwinan pada bulan Februari. Pasangan Hany dan suami ( tapi suami MIA, diganti dengan anak lelakinya) dan pasangan Yanti dan Azwar. Wak Awa siapkan cup cake tapi kena suapkan pada pasangan masing-masing.


Sebagai penutup majlis, bergambar bersama Nyai dan anak-anak (duduk) dan menantu (berdiri). Saya amat berbangga dengan sokongan mereka dari awal hingga akhir majlis. Terima kasih tak terhingga buat Wak Long & Wak Usu, Emak & abah, Cik Nang & Cik Ema, Cik Usop & Cik Leha (tuan tumah) dan Cik Siti & Cik Hanif. Sesungguhnya majlis ini amat bermakna untuk kita dan akan menjadi kenangan manis hingga ke akhir hayat.


Bergambar bersama cucu-cucu lelaki. Ramai juga yang berpakaian ikut tema - kain pelekat dan t-shirt pagoda; macam dulu-dulu..


Tiba giliran cucu-cucu perempuan. Siap berbaju kurung dan berkain batik. Kami dari 4 ibu yang berlainan, tapi dah nama sepupukan, rupa pun dekat-dekat sama gak.. cun cun dan lawa-lawa.. ewah-ewah..

Scene paling kecoh ialah ketika bergambar dengan cicit-cicit.. Bertuah dapat tengok cicit membesar depan mata. Namun saya tahu, jauh di dalam hatinya Nyai teringatkan arwah suaminya.. yang telah terpisah oleh kematian sejak 14 tahun dahulu.




Nyai bersama adik tunggalnya, Embah Sarah dan anak-anaknya. Mereka adalah kaum kerabat yang paling rapat dengan kami.





Satu lagi memori manis, selepas tamat majlis. Belakang kanan Zila (sepupu), emak, saya, Hawa dan anak daranya (sepupu), Wak Usu Rahimah (emak Hawa) dan Cik Siti ( makcik)




Photo of the nite - tentulah gambar saya dan kakak sepupuku Hawa. Kami berdualah orang tersibuk malam itu. Alhamdulillah majlis berjalan lancar walaupun terlewat dan semua orang nampaknya puas hati dan bergembira. Mungkin lain kali ada lagi... di lain tempat kut..

Saturday, February 14, 2009

Bertuahnya Wira dan Wirawati PLKN

Hai murid-murid, cikgu nak tunjuk gambar-gambar aktiviti di sepanjang Program Intergrasi PLKN tempohari. Tarikh 2 - 6 Februari 2009 mencatat kenangan manis kerana berkesempatan menjadi cikgu kepada wira dan wirawati Kem PLKN Kuala Kubu Bahru, Selangor.



Sedikit info tentang Program Intergrasi (PI) - salah satu modul di dalam PLKN. Selama 5 hari, wira dan wirawati akan belajar dan mendalami tentang Kebudayaan, Keagamaan dan Peranan Lelaki dan Wanita. Antara yang dipelajari ialah pengetahuan umum tentang setiap agama di Malaysia, pantang larang setiap kaum, kesenian, kelahiran dan kematian dan macam-macam lagi.
Objektifnya ialah untuk meningkatkan kefahaman tentang sesama kaum dan agama dan mengujudkan keharmonian antara setiap rakyat negra ini.
Memang mengujakan dapat menjadi sebahagian dari program ini.




Ilustrasi yang dicipta oleh Cikgu Azrye yang menunjukkan gambar setiap guru Program Intergrasi. Lapan orang kesemuanya termasuk seorang Ketua Jurulatih.


Kami bergambar di luar pagar kem sebelum bertolak pulang. Yang terbaring itu ialah Cikgu Peter (KJ).



Dari kiri; Cikgu Jamal, Cikgu Azman, Saya, Cikgu Rozelina, Cikgu Sarimah, Cikgu Azrye dan Cikgu Beh. Cikgu Peter tiada dalam gambar kerana sedang bersama Kem Komandan.




Pemandangan dalam dorm jurulatih. Kami tinggal bersama jurulatih tetap, jadi dapatlah berkenalan dengan mereka. Sayang tiada gambar untuk dikongsikan kerana masing-masing berselisih jadual.





Ketika ini adalah malam terakhir di kem. Cikgu-cikgu menyediakan program penutup iaitu pertandingan permainan tradisi. Galah panjang, dam haji, konda kundi dan teng-teng menjadi pilihan kami. Kami terpaksa menyediakan gelanggang menggunakan 'masking tape'. Berpuluh-puluh pita digunakan sehingga ada cikgu terpaksa meredah hujan lebat di tengah-tengah malam untuk mencari pita di 7 Eleven KKB. Keadaan hujan lebat menyebabkan ada bahagian lantai yang licin. Buah dam haji adalah wira dan wirawati sendiri .. emm bayangkanlah berapa besar lantai dam..


Gambar atas ialah gambar cikgu-cikgu dan wira yang bertugas malam. Rancak betul mereka membantu, tambah syok lagi mereka adalah murid-murid saya, dari kumpulan Charlie..






Leka buat kerja sambil bergurau senda, tak sedar jam sudah melangkau 3 pagi. Sempat bergambar sebelum pulang ke dorm masing-masing. Esoknya, pertandingan berlangsung dengan meriahnya, tapi sayang tersalah beli bateri untuk kamera... jadi dengan sedihnya.. tiada gambar masa main-main.. RUGI BESAR!!



Sekarang kita tengok pula macamana telatah cikgu dan wira/wirawati di dalam kelas. Tidak disediakan meja, cuma kerusi. Jadi kami semua duduk atas lantai sajalah. Mereka takpelah, pakai uniform, cikgu ni ha.. diwajibkan pakai baju kurung..terpaksalah jadi perempuan melayu terakhir.. maklumlah program intergrasikan..




Setiap kali sebelum masuk ke kelas, wira dan wirawati akan berbaris di dewan makan. Kehadiran akan dikira dan pengumuman (jika ada) akan dilakukan ketika ini. Mereka dibahagikan kepada 4 kompeni iaitu Alpha, Beta, Charlie dan Delta.




Lebih kurang 400 peserta kumpulan 1/2009. Kebanyakan peserta kem adalah dari Sabah, Sarawak, Selangor, Kuala Lumpur dan Perak.


Kumpulan kaum dari Sarawak membentangkan salah satu hasil perbincangan.


Rakan-rakan yang lain memberi sokongan. Tepuk-tepuk hebat!!




Ini adalah aktiviti sebelah petang, selepas minum petang dan solat Asar. Tengok tu, saya nak tangkap gambar ketika mereka berbaris, tapi budak-budak ni sibuk berposing.. nak lepas tension ke!!



Ketika ini, kumpulan India sedang mempersembahkan lagu perayaan Deepavali. Yang bestnya, kawan-kawan lain pun nak ikut nyanyi jugak.. riuh rendah dibuatnya kelas!!


Kumpulan kaum Cina sedang menunjukkan adat minum teh ketika upacara perkahwinan.



Sekali lagi kumpulan kaum India beraksi. Kali ini menunjukkan adat pengebumian pula.



Hero-hero dari Sarawak yang sentiasa ceria dan aktif dalam kelas. Antaranya Ghias, Roslan, Kenneth dll. Maaf, cikgu tak ingat semua nama..



Cikgu dan murid-murid lelaki bergambar kenangan. Jesse, Sanjay, Jeffrey, Wing Keong antara nama yang dapat cikgu ingat.


I really had a good time with you guys!, Semoga menjadi orang yang berguna dan berjasa kepada negara, agama dan bangsa.


Wirawati jelita mengelilingi cikgu yang tak kurang lawanya.. he he. Tu kat belakang, ada yang tumpang sekaki pulak!!


Bama, Missy, Chin Ru, Mee Ye, Grace, Mas, Ain, Siti dan lain-lain.


Kompeni Charlie di tempat perhimpunan. Memang meletihkan kerana terpaksa bangun jam lima pagi setiap pagi serta jadual yang padat hingga ke malam. Namun ia membuahkan hasil lumayan apabila anak bangsa menjadi berdisiplin dan memiliki kualiti dan ilmu terpuji sebagai bekal masa depan. Tahniah!!
Insyallah ada rezeki, saya akan kembali ke kem untuk kumpulan 2 pula. Tepuk-tepuk hebat!