Ads

Thursday, August 11, 2011

Semua Anak Adam Buat Salah

Malaysia Hari Ini pagi tadi. Soal jawab dengan Ustaz Hasan Din al-Hafiz lagi. Kali ni bercakap tentang taubat.

Ada kisah seorang tua yang menunggu ajal saja lagi. Setiap kali selepas solat, dia akan berdoa sambil menangis. Apabila ditanya apa yang didoanya, dia berkata," Aku mohon Allah ampunkan dosaku". Kenapa engkau menangis?. Katanya," Kalau Allah tidak menerima taubatku melalui doaku, semoga Allah akan terima taubatku melalui airmataku."

Semua anak Adam buat salah. Apa yang harus dilakukan sepanjang kita hidup sehingga hampir ajal tiba ialah memohon ampun dan sentiasa bertaubat. Biarlah kita mati nanti dalam keadaan bersih tanpa dosa. Kerana Allah kata ada manusia yang masuk syurga tanpa dihisab. Mungkin kita ditarik nyawa selepas Allah makbulkan doa taubat kita, atau selepas mengerjakan haji yang mabrur atau selepas berpuasa Ramadhan dan beroleh keampunan... 
Menjawab satu lagi soalan, mengapa ada orang yang bersolat tetapi masih melakukan maksiat seperti tidak menutup aurat? Jawapan beliau ialah mungkin solatnya itu tidak berperanan sebagai pencegah mungkar dan maksiat. 

Jadi sebagai manusia kita harus memperbaiki solat dari semasa ke semasa sehinggalah kita dapat merasai seolah-olah Allah berada di hadapn kita sewaktu kita solat. Contohnya, kalau solat kita terlalu laju, perlahankan.. atau pastikan diri kita benar-benar bersih sebelum solat, apatah lagi membaiki bacaan dan makna bacaan dalam solat.


Tuesday, August 9, 2011

Puasa Ya, Solat Tidak

Salam everyone!!

Alhamdulillah, Che Mid makin sihat walaupun belum seperti dulu. Ni tengah cuba nak ceriakan diri...

Sebelum teruskan entri hari ini, Che Mid nak minta tolong sikit ni. Blog ini dah tak boleh 'upload' gambar sebab Blogger kata Picasa Web Album dah maksimum. Jadi kena 'upgrade' dan bayar kalau nak sambung lagi.. Ada ke cara lain nak upload photo? Kalau boleh nak yang free la kan.. Che Mid selalu tepek gambar, rasa macam tak lengkap pulak la..

_____________________________________________________________________

Pagi tadi dalam Malaysia Hari Ini, Ustaz Hasan Din al-Hafiz ada bagi tazkirah Ramadhan. Beliau memohon maaf kerana nak tegur sedikit.

 Dia kata dia tak pernah jumpa orang yang solat tapi tak puasa, tapi dia selalu jumpa orang yang puasa tapi tak solat. KENAPA?

Sebab utama ialah kerana ibu bapa terlalu memaksa anak untuk berpuasa. Contohnya, umur lima tahun dah dikejut supaya bersahur, dokong anak ke dapur, suapkan kalau boleh. Bila mereka lapar, kita pujuk supaya mereka bertahan sehingga waktu berbuka. Siap bagi upah bilangan hari berpuasa. Didikan itu memang betul, tak de apa salahnya.

TAPI sepatutnya ia mesti diiringi dengan solat sekali. Ingatkan anak untuk solat. Katakan padanya walaupun puasa tetap kena solat. Kalau tidak, setiap tahun kita didik anak untuk puasa. Bila dewasa anak akan pentingkan puasa dari bersolat sedangkan kedua-duanya wajib. Kalau boleh latih bersolat dahulu, barulah berpuasa. Barulah anak tahu solat sangat penting kerana wajib dilakukan setiap hari, puasa pula setahun sekali.

Ya tak ya jugakkan, Che Mid sendiri pun bagi upah pada anak yang berpuasa, tapi rasanya tak pernah bagi upah bila anak solat. Naluri seorang ibu yang cepat kasihan pun antara kelemahan kita jugakan.. puasa pun nampak macam tak larat, ni nak suruh solat pulak.. Renung-renungkan...

Saturday, August 6, 2011

Terima kasih Sahabat

Sudah beberapa hari aku post entri terdahulu, namun masih ada lagi yang membaca dan meninggalkan komen. Syukran jazilan kathiro kepada sahabat blogger termasuk juga pembaca senyap blog ini, khusus kepada mamamaman, Rahayu aka Mak Chu, Adnazthie, Nizam, Anaa, Azmask, Marie, ajumohit, Fadzil Amir, syariza09, sayangsayangibu, Lia, Izan, kak imun, Sang Pemerhati, Norliza_Osman, surisolehah, Niezaman, Sonata anak kancil, yus, kakzakie mama ju,Lina Rahim, indahhouse dan fzi.  Ada juga yang meninggalkan jejak di muka buku. Setiap satu komen anda adalah sangat berharga!!

Terasa benar nikmat mempunyai blog sendiri walaupun peminat tak seberapa.  Dulu sekadar suka-suka, kini ternyata blog ini telah menjadi pengubat lara dan tempat mengadu. Walau kebanyakannya tidak pernah bertemu muka, tapi terasa amat dekat di hati. Di saat seperti ini, memang aku sangat-sangat perlukan nasihat, kata-kata semangat. Aku juga mengaku, saat ini aku berasa 'keseorangan' dan 'sunyi'. Semangatku tenggelam timbul, terasa mudah benar menangis dan mudah marah...

Mulanya, rasa serba salah nak cerita tentang hal ini. Takut disalah erti dan membuka aib sendiri. Tapi pengalaman ini mungkin boleh juga menjadi pengalaman orang lain. Kalau umur panjang, kita akan tahu bagaimana akhiran alkisah penyakitku ini nanti. Lantaran emosi yang tidak menentu, aku memilih untuk melambatkan entri ini.

Balik dari Klang, tubuhku masih berasa sakit-sakit badan. Kadang-kadang terasa seperti ada sesuatu bergerak-gerak di tulang belikat. Lutut terasa panas dan kebas-kebas. Sekejapan badan meremang dan seram sejuk. Ditambah lagi dengan datang bulan, tak boleh solat... asyik rasa semacam je. Pelik juga ya... katanya benda-benda halus ni dirantai masa bulan puasa ni, tapi kenapa aku masih merasa seperti ini. Faris pun ada terdengar suara memanggil namanya, bunyi orang berjalan tengah-tengah malam dsb..  Setelah dirujuk kepada yang arif,  rupanya yang dibelenggu itu iblis dan puak-puaknya. Jin tetap bebas bermaharajalela dan terus mengganggu manusia.

Terima kasih juga kepada sayangsayangibu dan Norliza_Osman yang mencadangkan tempat berubat. Insyaallah bila diperlukan nanti, aku akan hubungi kalian.  Buat masa ini aku masih mandi limau purut dan memantau keadaan diriku. Farhan, anak sulungku, juga boleh merawatku sikit-sikit. Dia yang membantu mengurangkan gangguan di tubuhku dari jauh. Aku akan memberitahu Farhan apa yang aku rasa dan bahagian badanku yang terasa diganggu, dia akan merawat dari Klang. Jam 2 atau 3 pagi dia akan sms bertanya khabarku. " Ibu rasa macamana sekarang?, Ibu ok ke?"  Sanggup dia berjaga malam untuk mengubatiku. Hikmahnya, kami menjadi semakin rapat. Alhamdulillah. Selepas Ramadhan ini, aku akan meneruskan rawatan di Sungai Buluh.

Jika benar saka itu sudah tiada, Insyaallah aku akan semakin sihat. Namun aku mesti berhati-hati kerana jin dan syaitan ini tidak pernah leka dan berputus asa. (Aku tidak suka menyatakan ini - Nyai masih hidup, mungkin ujiannya lain, bila dah meninggal nanti, mungkin ujian lain menanti).

Walaupun suamiku mengambil sikap berdiam diri tanpa bertanya langsung tentang keadaanku sekarang, namun aku tidak berkecil hati. Aku tahu dia sangat sayangkan aku. Mungkin dia masih lagi bersikap 'denial' dan kurang percaya tapi aku punya emak, abah, anak-anak, adik beradik dan sahabat blogger yang boleh dijadikan tempat untuk aku mengadu dan membantu.

Alhamdulillah, sejak semalam, emosiku semakin ok. Sekarang ini pun, aku rasa seolah-olah dalam tubuh ini ada sesuatu yang 'menunggu' untuk keluar. Terutama bilamana marah, atau sedih. Jadi aku harus mengawal perasaan dengan berzikir banyak-banyak seperti yang kunang-kunang ingatkan. Sudah mula bersemangat untuk menyediakan juadah berbuka dan bersahur. Tak sabar rasanya untuk aku bersolat dan membaca al-Quran semula.

Sahabat, doakan aku terus kuat sehingga aku benar-benar sembuh nanti ya! Illaliqa', Ma'assalamah.




Tuesday, August 2, 2011

Aku Sakit??

Che Mid pasti ramai ternanti-nanti entri terbaru seperti yang dijanjikan. Cuma ingin Che Mid berpesan pada sahabat semua untuk berlapang dada dan sama-sama mendoakan yang terbaik untuk Che Mid. Mungkin ada yang berbeza pendapat, malah Che Mid sendiri pun bagai tak percaya tapi mungkin Allah sedang menunjukkan rasa sayang pada Che Mid melalui ujianNya.

Sebelum meneruskan bicara Che Mid ingin mengimbas sedikit apa yang Che Mid lalui sebelum insiden di malam Che Mid hampir dirasuk tempohari. Terima kasih kerana sudi membaca dan meninggalkan komen. Saat ini memang Che Mid perlukan dorongan kalian.  (Mohon izin menukar gantinama kepada 'aku').

__________________________________________________________________________

Aku mula perasan ada sesuatu tidak kena dengan hubungan ku suami isteri. Semakin hari semakin hambar. Dia kata aku tak layan dia, aku kata dia tak layan aku. Dia tak pernah lupa menyambut harijadi ku, tapi kali ini  ucapan pun tidak apatah lagi hadiah. Sehari sebelum aku 'tersampuk' dia sanggup biarkan aku membersihkan halaman selama 3 jam berseorangan!.  Dulu dia tak macam ni.. Yang paling ketara sekali, selepas aku terkena ' sampuk' .. dia langsung tidak menyentuh aku atau bertanya sepatah pun tentang itu. Cuma duduk sendirian di ruang tamu dengan wajah tak suka. 

 Keadaan rumahku pula seolah-olah 'keras'. Pernah Faris terjaga pukul 3 pagi setelah terdengar pintu bilik diketuk bertalu-talu dan dicakar-cakar. Selalunya kalau ditinggal 'outstation' aku masih boleh lena tidur, tapi minggu lepas amat menyeksakan. Malam ketiga, aku benar-benar tak boleh lelap. Cuba sedaya upaya untuk tidur, Deeja pula merengek. Rasa panas seluruh badan. Jam 2 pagi aku bangun dan bersolat sunat, disambung dengan membaca al-Quran hingga menjelang subuh.
___________________________________________________________________

Aku tiba di Klang pagi Khamis lepas. Tujuan asal untuk menziarahi Nyai yang sakit dan membeli belah sempena Raya bertukar menjadi sesi rawatan. Mak, abah dan keluarga agak gempar mendengar ceritaku. Tanpa menunggu lama, emak meminta aku berubat dengan perawat yang juga mengubat Nyaiku. 

Menurutnya, tubuhku telah dimasuki makhlus halus. (Sedang aku menulis ini, seluruh tubuhku meremang..) Satu, makhlus 'dihantar' kepada suamiku tapi turut masuk ke tubuhku. Kedua dan paling 'power', aku mahu diwariskan saka Nyai. Oleh kerana saka dalam tubuh Nyaiku cuba dibuang, maka aku dicari untuk menggantikannya. Perawat itu memberi aku limau purut untuk mandi selama 3 pagi. Beras dan garam bercampur lada hitam juga disiapkan untuk aku memagar rumah di Sg Petani. (Sepanjang sesi rawatan berlangsung, tubuhku terasa panas dan sakit-sakit.  Nyaiku yang ada di situ memerhatikan aku dengan padangan amat tajam.. yang masih ternampak-nampak hingga sekarang.)

Malamnya, aku dibawa oleh anakku Farhan berjumpa seorang lagi perawat, yang juga bekas adik iparku. Dia juga mengesahkan yang saka Nyai sedang cuba menguasaiku. 'Benda' itu kata yang dia suka dengan aku dan akulah orangnya yang akan diwariskan. Mungkin sebab aku cucu sulung dan memang rapat dengan Nyai.

Dalam tubuhku bukan hanya satu atau dua ekor makhluk halus... tetapi ribu...! Selama hampir 1 jam proses mengeluarkannya dari tubuhku tapi gagal, kerana semakin dikeluarkan, semakin banyak yang masuk ke tubuhku.. memenuhi saraf ku. Masyaallah! Perawat itu berkata aku memerlukan masa yang lama untuk membersihkan makhluk halus yang bersarang, tidak cukup dengan sekali rawatan saja. Aku perlu kuatkan semangat dan terus mandi limau purut. 

Suamiku turut dirawat sekali. Dia jenis yang tidak mahu percaya hal seperti ini, tapi Alhamdulillah aku lihat perubahan ketara. Dia lebih ceria, mesra dan nampak lembut denganku juga anak-anak. Kami anak beranak terasa amat rapat sepanjang kami di kampung. Ke mana-mana bersama, walaupun aku kurang sihat tapi aku gembira. Terima kasih Ya Allah!

Adik-beradik emak pun tidak duduk diam. Mereka berpakat untuk berjumpa seorang lagi perawat untuk mengeluarkan saka yang masih ada di tubuh Nyai. (Aku tak ikut serta). Ketika sesi soal jawab, makhluk halus tu kata memang dia suka aku dan suami porak poranda. Aku juga kononnya dianugerahkan kebolehan untuk menundukkan orang lain..Menurut emak, perawat itu telah berjaya mengeluarkan benda halus dari tubuhku dengan susah payah. Aku juga dinasihati supaya tidak mendekati Nyai..

Bagaimana keadaanku sekarang?  Sebelum berubat aku rasa sihat, takde masalah pada fizikalku. Selepas rawatan, badanku menjadi lemah, akan meremang dan seram sejuk terutama bila teringat atau bercakap tentang ini. Jujurnya, semua perawat mengatakan kes aku berat, walaupun ada yang mengaku berjaya mengeluarkannya. Tapi, hati aku sendiri meraguinya.. Di bulan Ramadhan ini, mungkin tidak ada apa-apa, dan Nyai masih bernafas lagi. Hati aku berkata, ujian sebenar akan berlaku selepas Ramadhan nanti atau selepas Nyai meninggal... 

Apa yang aku rasa? Bersyukur kerana hubungan aku dan suami nampak ok. Semoga semakin baik lagi. Sedikit marah dengan Nyai kerana menyimpan saka dan menyusahkan anak cucunya sekarang. Satu perkara yang tidak pernah terlintas akan berlaku, yang selama ini aku baca atau tengok tv, kini aku mengalaminya. Semoga Allah ampun dosa-dosanya.  Tapi aku redha Ya Allah, Kun Faya Kun...jika itu yang dijadikan untukku..Aku memandang positif setiap yang berlaku dan percaya setiap sesuatu ada hikmahnya.