Ads

Tuesday, May 12, 2009

Che Mid sambut Hari Ibu

Selamat Hari Ibu untuk diri sendiri dan ibu-ibu semua!!. Dalam keceriaan meraikan hari ibu, kadang-kadang bertanya sendiri - adakah aku ini layak digelar ibu yang baik? Rasanya masih jauh perjalanan dan banyak yang harus dilakukan.


Apakah anak-anak membesar sihat di depan mata sudah cukup menggembirakan hati seorang ibu? Atau keputusan peperiksaan cemerlang menandakan kita ibu berjaya? Pastikah doa dan amalan soleh anak nanti sampai ke pangkuan kita di alam kubur nanti?? Mungkin salah satu caranya adalah dengan berbakti kepada ibu kita sendiri sebaik yang boleh, seikhlas yang boleh. Mudah-mudahan Allah akan memberkati kita dengan menganugerahkan anak soleh pula. Amin.
Berbalik kepada bab makan-makan di Hari Ibu ni, saya telah menyediakan menu tak berapa istimewa untuk makan tengahari. Jom makan tengahari!! Masak sendiri...
Ikan cencaru bakar - 3 ekor je..
Sambal asam yang ku 'adjust' sendiri. Cili padi, bawang putih dan belacan ditumbuk. Lepas tu tambah kicap manis, jus limau nipeh, bawang besar yang dipotong kecil-kecil dan sedikit garam.
Sup tulang campur sedikit daging yang dipotong nipis-nipis. Tambah kentang, suun, tomato dan tabur dengan daun sup serta bawang goreng. Kalau nak pedas masa makan nanti, bubuh sambal kicap untuk ikan bakar tadi pun boleh lah..



Sayur pulak.. pak choi goreng 'chinese' style.. pecah-pecah bawang putih dengan halia, goreng sekejap. Tambah sos tiram, kiub ayam dan garam sikit. Masukkan segelas air dan biarkan mendidih. Lepas tu masukkan pak choi.. balik-balikkan lebih kurang dan angkat. Susun macam dalam gambar tu.

Cara memakannya : Mula-mula masukkan sesenduk nasi dalam pinggan atau mangkuk.. kemudian banjirkan nasi tu dengan sup panas dengan tulang dan isinya sekali. Ambil piring, letak seekor ikan cencaru yang telah disiat jaketnya dan lumur dengan sambal kicap. Dah tu makanlah.. sayur pak coi makan macam orang Cina makan.. ambik sikit dan terus suap dalam mulut.. Fuhh nikmatnya.. !! Apa omputeh kata.. 'simple but nice'..



Untuk cuci mulut pulak, agar-agar lapis cokelat dan cocktail. Masak agar-agar tu sampi mendidih, masukkan 2 cawan gula, satu tin susu cair. Pas tu bahagikan kepada dua bahagian. Satu bahagian masukkan 2 pkt oligo coco ( ha ha.. sebab tak de milo), sebahagian lagi masukkan setin campuran buah-buahan. Jadikan 2 lapisan dalam acuan dan sejukkan.


Menu makan malam... kami sekeluarga makan di luar. Kami ke Shah Alam dulu, hubby cari satu barang... lepas tu dia tanya mana nak makan.. saya kata nak makan di Muara Ikan Bakar di Esplanade, tapi jauh sangat dari Shah Alam. Lagi pun kan siang tadi dah makan ikan bakar... a ah ya tak ya jugak.. Faris ajak ke Pizza Hut sebab dia nak makan lasagna.. e eh ibu punya mother's day.. dia pulak lebih-lebih. Akhirnya kami ke kedai steamboat di Tesco dekat umah je...


Kek ni beli Alam Sentral.. beli yang potong-potong punya, boleh pilih sendiri-sendiri punya selera..



Sementara menunggu 'boat' dipanaskan... kami pekena kek dulu. Telah gambar ni... dikaburi oleh kepulan 'steam' dari 'boat'.. hi hi


Pakej 4 orang makan. Setiap orang ada 'boat' sendiri-sendiri. Tapi sebenonya.. Farah sorang yang suka 'boat-boat' ni.. Maka banyaklah 'side order' lainnya.. kuetiaw goreng dan nasi goreng ayam pandan untuk anak-anak. Habih.. sape nak perabih 'steamboat' ni.. ?? Mak bapak jugak susah..



Masa makan kek.. muka tak berapa ada mood sebab nak makan kat tempat lain lah tu..



Ibu dan abah membelasah udang, crab meat, balls dan tah ape-ape benda pelik lagi..


Dah ceria balik dah muka tu. Farah dapat aiskrim..dan Ayan dah habih makan nasi goreng..


Saturday, May 9, 2009

Salam Hari Ibu buatmu di alam barzakh

Hari Ibu disambut di seluruh dunia pada setiap bulan Mei. Namun mulai tahun ini, bulan Mei ini juga akan dikenang sebagai hari pulangnya ke rahmatullah, 'bekas' ibu mertuaku, Puan Hajjah Rokiah bt Haji Saion pada hari Khamis, 7 Mei 2009.
Mak adalah ibu mertuaku ketika aku menjadi isteri kepada anaknya, Norazman, yang juga ayah kepada Farhan. Aku pernah tinggal sebumbung dengan Mak sehingga aku melahirkan Farhan pada 1991. Memang banyak suka duka yang kami lalui bersama sepanjang tempoh tinggal bersamanya. Izinkan kucoretkan sedikit kenangan bersama arwah Mak berdasarkan ingatan terhadap wanita berhati mulia ini.
Mak meriba Farhan ketika berumur setahun. Inilah satu-satu gambar Mak yang aku simpan.
Mak dilahirkan pada 26 Februari 1943 di Banting, Selangor. Mak mempunyai tiga orang anak iaitu Kak Ina, Azman dan Zali. Azman, ayah Farhan, telah meninggal dunia pada tahun 2002. Suami Mak pula meninggal dunia setahun sebelum itu. Mak masih mempunyai ibu yang telah uzur dan sangat tua.
Mak merupakan isteri pertama kepada suaminya yang mempunyai empat orang isteri. Mak pernah bercerita tentang bagaimana siksanya ketika mula-mula dimadukan. Pernah memohon berpisah dari suami, tetapi suaminya menyatakan bahawa walaupun apa pun berlaku, ia tidak akan sekali-kali menceraikan Mak. Terbukti, memang Abah terus hidup bersama Mak hingga ke akhir hayatnya. Ternyata, cinta pertama bertahan hingga ke mati.
Madu keduanya tinggal serumah dengan Mak bersama tiga orang anak kerana dia tahu, suaminya akan tetap pulang ke rumah itu. Dua lagi madunya tinggal di Bukit Cheding dan Negeri Sembilan. Kalau tak silap, Abah mempunyai 16 orang anak dari empat isteri-isterinya.
Mak melayan Abah dengan penuh setia dan taat. Walau apa yang Abah lakukan Mak tetap menghormati Abah sebagai suami. Dia akhirnya redha dan akur dengan takdir dan ujian Allah swt anugerahkan kepadanya. Ketika Abah bersama Mak, Abah akan dilayan bagaikan Raja. Aku pernah bertanya, " Macamana Mak hadapi semua ini?", Mak kata, " Bila Abah di rumah Mak, dia adalah suami Mak. Tapi bila dia keluar rumah, dia bukan suami mak lagi."
Untuk menampung kehidupan, Mak membuka gerai makanan. Awal pagi Mak bangkit dari tidur untuk menyediakan kuih muih jualan. Selepas Subuh Mak akan mengayuh basikal ke gerai di seberang jalan. Mak tahu, dia tidak boleh bergantung kepada pendapatan suami yang tidak menentu ditambah dengan 'keluarga besar' Abah.

Farhan bermanja dengan Zali, pakcunya. Gambar ini diambil pada tahun 1992
Mak terlalu sayangkan anak-anaknya. Dengan cara tersendiri Mak mendidik Kak Ina, Man dan Zali. Pada merekalah Mak tumpahkan seluruh kasih sayang. Anak-anaklah menjadi saksi dan penawar penderitaan Mak, dan anak-anak jugalah penguat semangat Mak untuk terus hidup.
Mak juga menjaga beberapa orang anak tirinya yang kadangkala tinggal bersama. Aku masih ingat lagi, Mak menjaga dua orang anak tirinya ketika bersunat. Salah seorang dari mereka tertumpahkan air minuman. Lantas Mak mengelap air di atas lantai tanpa marah sedikit pun. Begitulah mulianya hati Mak. Memang, sekali sekala Mak mengeluh dan mengadu penat dan kesempitan itu dan ini. Tapi Mak tidak sekali-kali membenci anak-anak tiri atau madu-madunya. Mak menerima seadanya dan seboleh mungkin tidak mahu mengambil tahu hal-hal mereka. Malah, peliknya bila Abah pula yang mengadu tentang mereka pada Mak.... dan acap kali juga Mak yang menghulurkan bantuan pada Abah untuk menyelesaikan masalah mereka!
Sepanjang aku tinggal bersamanya dulu, tidak pernah sekalipun aku mendengar anak-anak meninggikan suara pada Mak atau Abah. Begitu juga dengan anak-anak tiri Mak. Kak Ina dan keluarganya tinggal dengan Mak sehingga sekarang. Zali menetap di Shah Alam. Aku dapat melihat Kak Ina dan Zali berkhidmat sebagai anak hingga ke saat-saat akhir hidup Mak. Mereka suami isteri menjaga Mak di hospital, membaca yasin, memandi dan mengafankan Mak. Sentiasa di sisi jenazah hingga ke liang lahad. Mereka berdua memang terlalu akrab dan terlalu sayangkan Mak.
Kusedar kini bahawa bukan bilangan anak yang banyak boleh menjamin kebahagiaan seorang ibu. Didikan ibu itulah yang menentukan anak akan disamping waktu susah senang, tika hidup atau menghampiri malaikal maut. Bukan kuantiti tapi kualiti.
Selepas Abah meninggal, aku percaya Mak menumpukan banyak masa Mak dengan beribadah dan bermesra dengan cucu-cucunya. Ketika Mak menunaikan haji di Mekahlah, anak keduanya meninggal dunia. Semenjak itu jualah, hubunganku dengan Mak bersambung kembali sejak aku berpisah dengan anaknya. Sejak itu jugalah Mak dapat bertemu kembali dengan Farhan - cucu yang terlalu dirinduinya.


Kini Mak pergi buat selamanya diusia 66 tahun. Allah swt memberi Mak sakit cuma tiga hari. Mak pitam setelah mengadu sakit perut. Dua malam di hospital lalu Mak menghembuskan nafas terakhir ketika anak-anak mengalunkan Yaasin di sisinya. Begitu mudah dan barokah!. Begitu jua ketika pengebumian - tiada yang tertangguh. Sejurus meninggal waktu tengahari, Mak dimandi dan dikafan di Hospital Besar Klang, terus di bawa ke Banting dan disolat jenazah dan ditahlilkan dikelilingi madu-madu, anak-anak tiri, adik-adik dan saudara mara. Mujur, aku dan Farhan sempat tiba sejurus sebelum jenazah diusung. Kucium pipi dan dahi Mak. Kulihat Mak begitu tenang dan polos, bagai tidak sabar mahu ke 'sana'. Menjelang 6 petang, Mak selesai disemadikan tidak jauh dari tempat suami dan anaknya.
Tidak banyak airmata yang mengalir walau terkejut dengan pemergian Mak secara tiba-tiba. Seolah-olah redha dan merestui Mak dijemput Ilahi. Innalilahi Wainnahiroji'un. Al - Fatihah.


Wednesday, May 6, 2009

Ketam Masak lemak Cili Api

Lama tak masak lemak ketam. Ni.. nampak macam segar aje, jadi che mid beli 1 1/2 kg. Masak untuk keluarga dan bagi mak sikit. Ketam ni memang kesukaan mak. Saja tengok myresepi.net dan tirulah. Ketam yang dah dicuci bersih. Patahkan kakinya dan ketuk sikit supaya mudah nak membahamnya nanti.
Bahan-bahannya pula cili api dalam 15 biji, bawang besar, bawang putih, kunyit hidup, seinci halia dikisar dan masukkan dalam kuali. Guna kuali lagi senang daripada periuk .. senang nak menggodek ketam tu nanti. Tambah air lagi dan biarkan mendidih sambil dikacau. Serai dititik dan asam keping pun masukkanlah jugak.

Stand by santan pekat. Che mid beli RM2. Oleh sebab tak guna santan cair, lebihkan air ketika merebus bahan kisar awal tadi. Masukkan ketam dan santan, kacau perlahan. Akhir sekali masukkan daun kunyit yang telah dipotong halus dan tomato yang dipotong enam. Rasa garam dan pedasnya.


Bila dah sedang elok masaknya...emm.. yummy!!




Yum.. yam!! mak mesti suka ni...



Suamiku lagilah suka... selalunya bila makan ketam di rumah, tak payah banyak lauk lain.. sibuk meratah ketam je..






Monday, May 4, 2009

Integrasi PLKN sesi 2/2009

Sesi 2/2009 telah pun diadakan dari 20 - 24 April 2009. Seperti sebelumnya saya ditempatkan di Kem Kuala Kubu Bharu untuk mengajar wira dan wirawati selama lima hari.


























Khusus untuk tatapan para cikgu - Cikgu Rose, Linda , Amal dan Syikin - lima guru perempuan dari 8 orang cikgu. Gembira dapat berkenalan dengan cikgu semua. Harap dapat jumpa lagi di sesi lain pula.




Juga untuk tatapan pelatih dari kelas DELTA 2. Seramai 47 orang dari DELTA 2 terdiri dari anak-anak Selangor, Kuala Lumpur, Perak, Sabah dan Sarawak. Cikgu harap kamu dapat 'copy' gambar-gambar di sini untuk simpanan dan kenangan.






Gambar-gambar di atas menunjukkan aktiviti kumpulan ketika menunjukkan adat perkahwinan kaum masing-masing.








Kaum Cina beraksi selepas demonstrasi kelahiran dan kematian orang Cina. Siap bawa teddy bear!!








Kumpulan India sedang menarikan bharatanatiam..







Lihatlah ... integrasi kaum begitu terserlah. Tiada lagi batasan pemisah setelah kita saling mengenali budaya dan agama masing-masing. Memang kita orang Melayu, India, Cina, Kadazan, Bajau atau Orang Asli.. tapi yang penting kita ORANG MALAYSIAkan!!



Cikgu sangat berbangga dapat bersama kamu semua kali ini. Seperti yang cikgu juga telah nyatakan dalam kelas, kamu semua pandai membawa diri dalam kelas, mudah mengikut arahan dan tidak nakal. Walaupun dalam keadaan kurang sihat akibat kemalangan, kamu semua telah memudahkan tugas cikgu kerana dapat melakukan tugasan yang diberi dengan baik.




Inilah wajah-wajah anak-anak bertuah!! Bersyukurlah kerana kamu dilahirkan di bumi Tanah Melayu ini..

















Ahli kumpulan berbalas pantun. Kalau tak silap dari kiri - Yani, Zikri, Aini dan Fira..



Hanya 4 orang dari kaum India - Deen, Kesavan, Yes dan Seelan. Anda memberikan input yang sangat berguna. Teruskan menjadi insan cemerlang selepas tamat PLKN nanti.



Ketua Wirawati bergaya dengan pakaian punjabi ketika upacara penutup program integrasi.












Rizwan - orang kuat DELTA 2 mewakili kelas sebagai naib jihan keseluruhan program integrasi.



Gabungan DELTA 1 dan DELTA 2 bergambar ramai selepas tamat program integrasi bersama saya dan Cikgu Peter Leong.


YEAH!!! DELTA!!!