Ads

Monday, September 19, 2011

Salah Alamat La Pulak

Assalamualaikum sahabat sekalian,

Kepada sesiapa yang bermasaalah untuk link 'rumah' baru Che Mid, maaf le sangat-sangat, memang salah tuan rumah beri alamat tak betul. Al-maklum, empunya dah tua-tua ni, otak kata lain, tangan taip lain..

Cuba ke che-mid.blogspot.com. Insyaallah, kali ini berjaya!!

Sunday, September 18, 2011

Pengumuman Pindah Ke 'Rumah Baru'

Salam Hari Raya dan Salam Hari Malaysia. Che Mid dengan rasminya telah berpindah ke rumah baru di che-mid@blogspot.com mulai semalam, 16 September 2011.

 Che Mid mohon sangat-sangat para pembaca tersayang terus mengikuti blog baru ni. Jangan putuskan silaturrahim yang telah di bina selama ini. Juga buat 'follower' baru dan terkini, maaf banyak-banyak, baru kenal dah pindah pulak.  Teruskan follow okay. Che Mid tunggu di sana!! 

Thursday, August 11, 2011

Semua Anak Adam Buat Salah

Malaysia Hari Ini pagi tadi. Soal jawab dengan Ustaz Hasan Din al-Hafiz lagi. Kali ni bercakap tentang taubat.

Ada kisah seorang tua yang menunggu ajal saja lagi. Setiap kali selepas solat, dia akan berdoa sambil menangis. Apabila ditanya apa yang didoanya, dia berkata," Aku mohon Allah ampunkan dosaku". Kenapa engkau menangis?. Katanya," Kalau Allah tidak menerima taubatku melalui doaku, semoga Allah akan terima taubatku melalui airmataku."

Semua anak Adam buat salah. Apa yang harus dilakukan sepanjang kita hidup sehingga hampir ajal tiba ialah memohon ampun dan sentiasa bertaubat. Biarlah kita mati nanti dalam keadaan bersih tanpa dosa. Kerana Allah kata ada manusia yang masuk syurga tanpa dihisab. Mungkin kita ditarik nyawa selepas Allah makbulkan doa taubat kita, atau selepas mengerjakan haji yang mabrur atau selepas berpuasa Ramadhan dan beroleh keampunan... 
Menjawab satu lagi soalan, mengapa ada orang yang bersolat tetapi masih melakukan maksiat seperti tidak menutup aurat? Jawapan beliau ialah mungkin solatnya itu tidak berperanan sebagai pencegah mungkar dan maksiat. 

Jadi sebagai manusia kita harus memperbaiki solat dari semasa ke semasa sehinggalah kita dapat merasai seolah-olah Allah berada di hadapn kita sewaktu kita solat. Contohnya, kalau solat kita terlalu laju, perlahankan.. atau pastikan diri kita benar-benar bersih sebelum solat, apatah lagi membaiki bacaan dan makna bacaan dalam solat.


Tuesday, August 9, 2011

Puasa Ya, Solat Tidak

Salam everyone!!

Alhamdulillah, Che Mid makin sihat walaupun belum seperti dulu. Ni tengah cuba nak ceriakan diri...

Sebelum teruskan entri hari ini, Che Mid nak minta tolong sikit ni. Blog ini dah tak boleh 'upload' gambar sebab Blogger kata Picasa Web Album dah maksimum. Jadi kena 'upgrade' dan bayar kalau nak sambung lagi.. Ada ke cara lain nak upload photo? Kalau boleh nak yang free la kan.. Che Mid selalu tepek gambar, rasa macam tak lengkap pulak la..

_____________________________________________________________________

Pagi tadi dalam Malaysia Hari Ini, Ustaz Hasan Din al-Hafiz ada bagi tazkirah Ramadhan. Beliau memohon maaf kerana nak tegur sedikit.

 Dia kata dia tak pernah jumpa orang yang solat tapi tak puasa, tapi dia selalu jumpa orang yang puasa tapi tak solat. KENAPA?

Sebab utama ialah kerana ibu bapa terlalu memaksa anak untuk berpuasa. Contohnya, umur lima tahun dah dikejut supaya bersahur, dokong anak ke dapur, suapkan kalau boleh. Bila mereka lapar, kita pujuk supaya mereka bertahan sehingga waktu berbuka. Siap bagi upah bilangan hari berpuasa. Didikan itu memang betul, tak de apa salahnya.

TAPI sepatutnya ia mesti diiringi dengan solat sekali. Ingatkan anak untuk solat. Katakan padanya walaupun puasa tetap kena solat. Kalau tidak, setiap tahun kita didik anak untuk puasa. Bila dewasa anak akan pentingkan puasa dari bersolat sedangkan kedua-duanya wajib. Kalau boleh latih bersolat dahulu, barulah berpuasa. Barulah anak tahu solat sangat penting kerana wajib dilakukan setiap hari, puasa pula setahun sekali.

Ya tak ya jugakkan, Che Mid sendiri pun bagi upah pada anak yang berpuasa, tapi rasanya tak pernah bagi upah bila anak solat. Naluri seorang ibu yang cepat kasihan pun antara kelemahan kita jugakan.. puasa pun nampak macam tak larat, ni nak suruh solat pulak.. Renung-renungkan...

Saturday, August 6, 2011

Terima kasih Sahabat

Sudah beberapa hari aku post entri terdahulu, namun masih ada lagi yang membaca dan meninggalkan komen. Syukran jazilan kathiro kepada sahabat blogger termasuk juga pembaca senyap blog ini, khusus kepada mamamaman, Rahayu aka Mak Chu, Adnazthie, Nizam, Anaa, Azmask, Marie, ajumohit, Fadzil Amir, syariza09, sayangsayangibu, Lia, Izan, kak imun, Sang Pemerhati, Norliza_Osman, surisolehah, Niezaman, Sonata anak kancil, yus, kakzakie mama ju,Lina Rahim, indahhouse dan fzi.  Ada juga yang meninggalkan jejak di muka buku. Setiap satu komen anda adalah sangat berharga!!

Terasa benar nikmat mempunyai blog sendiri walaupun peminat tak seberapa.  Dulu sekadar suka-suka, kini ternyata blog ini telah menjadi pengubat lara dan tempat mengadu. Walau kebanyakannya tidak pernah bertemu muka, tapi terasa amat dekat di hati. Di saat seperti ini, memang aku sangat-sangat perlukan nasihat, kata-kata semangat. Aku juga mengaku, saat ini aku berasa 'keseorangan' dan 'sunyi'. Semangatku tenggelam timbul, terasa mudah benar menangis dan mudah marah...

Mulanya, rasa serba salah nak cerita tentang hal ini. Takut disalah erti dan membuka aib sendiri. Tapi pengalaman ini mungkin boleh juga menjadi pengalaman orang lain. Kalau umur panjang, kita akan tahu bagaimana akhiran alkisah penyakitku ini nanti. Lantaran emosi yang tidak menentu, aku memilih untuk melambatkan entri ini.

Balik dari Klang, tubuhku masih berasa sakit-sakit badan. Kadang-kadang terasa seperti ada sesuatu bergerak-gerak di tulang belikat. Lutut terasa panas dan kebas-kebas. Sekejapan badan meremang dan seram sejuk. Ditambah lagi dengan datang bulan, tak boleh solat... asyik rasa semacam je. Pelik juga ya... katanya benda-benda halus ni dirantai masa bulan puasa ni, tapi kenapa aku masih merasa seperti ini. Faris pun ada terdengar suara memanggil namanya, bunyi orang berjalan tengah-tengah malam dsb..  Setelah dirujuk kepada yang arif,  rupanya yang dibelenggu itu iblis dan puak-puaknya. Jin tetap bebas bermaharajalela dan terus mengganggu manusia.

Terima kasih juga kepada sayangsayangibu dan Norliza_Osman yang mencadangkan tempat berubat. Insyaallah bila diperlukan nanti, aku akan hubungi kalian.  Buat masa ini aku masih mandi limau purut dan memantau keadaan diriku. Farhan, anak sulungku, juga boleh merawatku sikit-sikit. Dia yang membantu mengurangkan gangguan di tubuhku dari jauh. Aku akan memberitahu Farhan apa yang aku rasa dan bahagian badanku yang terasa diganggu, dia akan merawat dari Klang. Jam 2 atau 3 pagi dia akan sms bertanya khabarku. " Ibu rasa macamana sekarang?, Ibu ok ke?"  Sanggup dia berjaga malam untuk mengubatiku. Hikmahnya, kami menjadi semakin rapat. Alhamdulillah. Selepas Ramadhan ini, aku akan meneruskan rawatan di Sungai Buluh.

Jika benar saka itu sudah tiada, Insyaallah aku akan semakin sihat. Namun aku mesti berhati-hati kerana jin dan syaitan ini tidak pernah leka dan berputus asa. (Aku tidak suka menyatakan ini - Nyai masih hidup, mungkin ujiannya lain, bila dah meninggal nanti, mungkin ujian lain menanti).

Walaupun suamiku mengambil sikap berdiam diri tanpa bertanya langsung tentang keadaanku sekarang, namun aku tidak berkecil hati. Aku tahu dia sangat sayangkan aku. Mungkin dia masih lagi bersikap 'denial' dan kurang percaya tapi aku punya emak, abah, anak-anak, adik beradik dan sahabat blogger yang boleh dijadikan tempat untuk aku mengadu dan membantu.

Alhamdulillah, sejak semalam, emosiku semakin ok. Sekarang ini pun, aku rasa seolah-olah dalam tubuh ini ada sesuatu yang 'menunggu' untuk keluar. Terutama bilamana marah, atau sedih. Jadi aku harus mengawal perasaan dengan berzikir banyak-banyak seperti yang kunang-kunang ingatkan. Sudah mula bersemangat untuk menyediakan juadah berbuka dan bersahur. Tak sabar rasanya untuk aku bersolat dan membaca al-Quran semula.

Sahabat, doakan aku terus kuat sehingga aku benar-benar sembuh nanti ya! Illaliqa', Ma'assalamah.




Tuesday, August 2, 2011

Aku Sakit??

Che Mid pasti ramai ternanti-nanti entri terbaru seperti yang dijanjikan. Cuma ingin Che Mid berpesan pada sahabat semua untuk berlapang dada dan sama-sama mendoakan yang terbaik untuk Che Mid. Mungkin ada yang berbeza pendapat, malah Che Mid sendiri pun bagai tak percaya tapi mungkin Allah sedang menunjukkan rasa sayang pada Che Mid melalui ujianNya.

Sebelum meneruskan bicara Che Mid ingin mengimbas sedikit apa yang Che Mid lalui sebelum insiden di malam Che Mid hampir dirasuk tempohari. Terima kasih kerana sudi membaca dan meninggalkan komen. Saat ini memang Che Mid perlukan dorongan kalian.  (Mohon izin menukar gantinama kepada 'aku').

__________________________________________________________________________

Aku mula perasan ada sesuatu tidak kena dengan hubungan ku suami isteri. Semakin hari semakin hambar. Dia kata aku tak layan dia, aku kata dia tak layan aku. Dia tak pernah lupa menyambut harijadi ku, tapi kali ini  ucapan pun tidak apatah lagi hadiah. Sehari sebelum aku 'tersampuk' dia sanggup biarkan aku membersihkan halaman selama 3 jam berseorangan!.  Dulu dia tak macam ni.. Yang paling ketara sekali, selepas aku terkena ' sampuk' .. dia langsung tidak menyentuh aku atau bertanya sepatah pun tentang itu. Cuma duduk sendirian di ruang tamu dengan wajah tak suka. 

 Keadaan rumahku pula seolah-olah 'keras'. Pernah Faris terjaga pukul 3 pagi setelah terdengar pintu bilik diketuk bertalu-talu dan dicakar-cakar. Selalunya kalau ditinggal 'outstation' aku masih boleh lena tidur, tapi minggu lepas amat menyeksakan. Malam ketiga, aku benar-benar tak boleh lelap. Cuba sedaya upaya untuk tidur, Deeja pula merengek. Rasa panas seluruh badan. Jam 2 pagi aku bangun dan bersolat sunat, disambung dengan membaca al-Quran hingga menjelang subuh.
___________________________________________________________________

Aku tiba di Klang pagi Khamis lepas. Tujuan asal untuk menziarahi Nyai yang sakit dan membeli belah sempena Raya bertukar menjadi sesi rawatan. Mak, abah dan keluarga agak gempar mendengar ceritaku. Tanpa menunggu lama, emak meminta aku berubat dengan perawat yang juga mengubat Nyaiku. 

Menurutnya, tubuhku telah dimasuki makhlus halus. (Sedang aku menulis ini, seluruh tubuhku meremang..) Satu, makhlus 'dihantar' kepada suamiku tapi turut masuk ke tubuhku. Kedua dan paling 'power', aku mahu diwariskan saka Nyai. Oleh kerana saka dalam tubuh Nyaiku cuba dibuang, maka aku dicari untuk menggantikannya. Perawat itu memberi aku limau purut untuk mandi selama 3 pagi. Beras dan garam bercampur lada hitam juga disiapkan untuk aku memagar rumah di Sg Petani. (Sepanjang sesi rawatan berlangsung, tubuhku terasa panas dan sakit-sakit.  Nyaiku yang ada di situ memerhatikan aku dengan padangan amat tajam.. yang masih ternampak-nampak hingga sekarang.)

Malamnya, aku dibawa oleh anakku Farhan berjumpa seorang lagi perawat, yang juga bekas adik iparku. Dia juga mengesahkan yang saka Nyai sedang cuba menguasaiku. 'Benda' itu kata yang dia suka dengan aku dan akulah orangnya yang akan diwariskan. Mungkin sebab aku cucu sulung dan memang rapat dengan Nyai.

Dalam tubuhku bukan hanya satu atau dua ekor makhluk halus... tetapi ribu...! Selama hampir 1 jam proses mengeluarkannya dari tubuhku tapi gagal, kerana semakin dikeluarkan, semakin banyak yang masuk ke tubuhku.. memenuhi saraf ku. Masyaallah! Perawat itu berkata aku memerlukan masa yang lama untuk membersihkan makhluk halus yang bersarang, tidak cukup dengan sekali rawatan saja. Aku perlu kuatkan semangat dan terus mandi limau purut. 

Suamiku turut dirawat sekali. Dia jenis yang tidak mahu percaya hal seperti ini, tapi Alhamdulillah aku lihat perubahan ketara. Dia lebih ceria, mesra dan nampak lembut denganku juga anak-anak. Kami anak beranak terasa amat rapat sepanjang kami di kampung. Ke mana-mana bersama, walaupun aku kurang sihat tapi aku gembira. Terima kasih Ya Allah!

Adik-beradik emak pun tidak duduk diam. Mereka berpakat untuk berjumpa seorang lagi perawat untuk mengeluarkan saka yang masih ada di tubuh Nyai. (Aku tak ikut serta). Ketika sesi soal jawab, makhluk halus tu kata memang dia suka aku dan suami porak poranda. Aku juga kononnya dianugerahkan kebolehan untuk menundukkan orang lain..Menurut emak, perawat itu telah berjaya mengeluarkan benda halus dari tubuhku dengan susah payah. Aku juga dinasihati supaya tidak mendekati Nyai..

Bagaimana keadaanku sekarang?  Sebelum berubat aku rasa sihat, takde masalah pada fizikalku. Selepas rawatan, badanku menjadi lemah, akan meremang dan seram sejuk terutama bila teringat atau bercakap tentang ini. Jujurnya, semua perawat mengatakan kes aku berat, walaupun ada yang mengaku berjaya mengeluarkannya. Tapi, hati aku sendiri meraguinya.. Di bulan Ramadhan ini, mungkin tidak ada apa-apa, dan Nyai masih bernafas lagi. Hati aku berkata, ujian sebenar akan berlaku selepas Ramadhan nanti atau selepas Nyai meninggal... 

Apa yang aku rasa? Bersyukur kerana hubungan aku dan suami nampak ok. Semoga semakin baik lagi. Sedikit marah dengan Nyai kerana menyimpan saka dan menyusahkan anak cucunya sekarang. Satu perkara yang tidak pernah terlintas akan berlaku, yang selama ini aku baca atau tengok tv, kini aku mengalaminya. Semoga Allah ampun dosa-dosanya.  Tapi aku redha Ya Allah, Kun Faya Kun...jika itu yang dijadikan untukku..Aku memandang positif setiap yang berlaku dan percaya setiap sesuatu ada hikmahnya.





Wednesday, July 27, 2011

Apa Dah Jadi Dengan Aku Ni???

Hari Isnin malam Selasa, jam 10.30 malam.

Aku, suami, Faris dan Deeja baru saja sampai di rumah selepas pulang membeli barang dapur dan mengambil Faris balik tuisyen.

Masuk saja ke rumah, aku terus ke bilik air, Deeja mengekoriku ke bilik. Faris duduk di sofa sambil membelek suratkhabar. Suami di luar sedang memakir kereta. Tiba-tiba terdengar suami membunyikan hon kereta bertalu-talu. " Ini mesti ada tak kena ni.."

Rupanya, Deeja keluar rumah seorang diri. Mungkin abahnya ternampak Deeja di luar, tu yang dia membunyikan hon kuat-kuat. Lantas aku mengambil Deeja dari Faris dan membawanya ke bilik air. Sedang aku memandikannya, suami datang ke bilik air. " Ke mana tadi! Nape tak tutup gril, anak keluar la...!". Jerit suami sekuat hati. Memang salah aku sebab tak tutup gril di pintu tadi. Pantang suami bila nak 'reverse' kereta Deeja ada di luar, takut terlanggar!. Tapi entah kenapa, aku meninggi suara menjawab balik. "Kat bilik air.. kencing.. napenya!!".

Suami keluar dari bilik sambil membebel tak tahu butir. Ketika sedang mengelap badan Deeja di atas tilam, Deeja menanggalkan strip diaper pulak, jadi tak boleh dilekat, terpaksa ambil yang lain. Entah kenapa. aku menjerit sekuat hati menengking Deeja. Deeja terkejut besar terus menangis kuat. Sambil menyiapkan Deeja, aku berasa semakin marah. Hatiku memberontak tak dapat menerima suami memarahi aku tadi. Itu pun nak marah-marah! (Kami suami isteri jarang sangat bergaduh atau meninggi-ninggi suara. Entah kenapa malam ni, serba tak kena..)

Keluar dari bilik aku terus ke dapur untuk membuat susu Deeja, dengan tekad kalau terserempak suami akan aku herdik dia pula. Dia takde di dapur. Dalam masa aku mencuci botol, mengisi air suam dan mengisi susu, aku terasa seluruh tubuhku menggeletar... semakin lama semakin kuat. Perasaan marahku semakin meluap-luap. " Eh, kenapa dengan aku ni...". Ketika itu, tumpuanku hanya pada suami, aku mahu mengamuk!!

Aku memegang botol susu dan berjalan ke ruang tamu... bukan mencari Deeja... tapi suamiku. Badanku betul-betul menggeletar. Aku rasa 'besar' dan 'keras'... (tak tau macam mana nak jelaskan)..Tapi akalku berkata, " Mesti lakukan sesuatu, aku tak boleh kawal badan aku ni..." Rasa seperti aku akan menjerit dan mengeluarkan suara garau!!

Aku berpegang pada sofa, " Bang, tolong Ida bang..". Suamiku buat selamba..tak sedar perubahanku. "Bang.. tolong bang.." Aku tergigil-gigil  merayu sambil terjelepuk di atas lantai. Masa tu Deeja dah menjerit ketakutan... Suamiku ikut menjerit, " Ida, nape ni.. Allah hu Akbar!!".  Sebelah tangannya mengelek Deeja, sebelah lagi cuba memegang aku yang menggelupur tak tentu arah..

Suasana jadi kelam kabut. Aku sedaya upaya cuba beristighfar dan mengucap tapi leherku terasa seperti terjerut. Namun, otakku ligat berfikir, nak buat macam ni sebab aku tahu suami tak boleh apa-apa kerana Deeja dalam dokongannya. Aku gagahkan bersuara, menyuruh suamiku memanggil Faris yang ada dibiliknya. 

Faris terus meraung, " Bu, nape ni..?". Cuba merangkul aku tapi aku tak mampu berkata lagi.. Istighfar sudah boleh kulafaz.., tapi mengucap masih sangat sukar... Faris pun ikut menangis sambil terus menyuruhku mengucap. Tersekat-sekat suaraku menyuruh Faris mengambil air dan suruh dia baca Fatihah. Selepas meneguk air tu, barulah aku boleh mengucap dengan lancar. Kemudian, aku suruh dia sapukan air diwajahku tiga kali, barulah aku benar-benar sedar. 

Faris memapah aku bersandar di sofa. Badanku terasa sangat lemah dan tidak bermaya. Selepas beberapa lama, aku gagahkan diri untuk mandi dan bersyolat Isya' dan solat sunat serta membaca Yasiin. Mohon perlindungan Allah swt, dari gangguan.... iblis??? AKU TAK TAHU!!




Monday, July 25, 2011

Mana Susu Abah?

Deeja minum susu ibu, tapi juga minum susu formula jenis Fernleaf 1+ Kurang Manis perisa madu.

Abahnya minum susu Fernleaf Omega 3

Kami beli jenis pek supaya boleh diisi semula dalam tin yang lama. Kat Tesko hari tu, beli satu pek susu Deeja dan satu pek susu abahnya. Rupa kedua-dua pek susu tu lebih kurang macam ni.. (gugel je..)


Warna kedua-dua jenis susu tu kan lebih kurang sama je... ada kale kuning kuning dan biru biru kan..

Satu hari abahnya baru balik dari outstesen..

Abahnya    -   Buat air abang ya, bubuh susu yang baru beli hari tu...

Che Mid    -  Ok.. ( bersemangat melayan suami, almaklum baru balik lepas 5 hari tak ketemu..) Carik punya carik.. mana peginya susu dia ni.. 

Che Mid    -  Dua hari lepas dah bukak dah susu Deeja, susu abang memang tak buka lagi. ( Tangan buka kabinet, jumpa satu pek susu)

Che Mid   - Eh, nape ini susu Deeja jugak... (Jeng jeng jeng...)

Maknanya dah dua hari Che  Mid bagi Deeja minum susu abahnya. Fernleaf Omega 3..Patutlah nampak lain macam je susu tu, agak lembab dan halus! Deeja pulak stedi je minum, laju je.. tak pulak sakit perut ke apa..

Abahnya dah pandang muka kelat semacam je..  Tak boleh la marah-marah, baru balik kan..

Pengajarannya - Baca tulisan atas pek tu, jangan nak main capai je...





Che Mid pun dapat award gak..!


Terima kasih daun keladi pada Kakzakie atas kesudian memanjangkan award ini pada blog Che Mid yang tak seberapa ini. Teramat besar hati sekali terpilih kerana seperti diketahui Kakzakie mempunyai followers yang amat ramai dibandingkan dengan blog ni yang masih merangkak mencari peminat.


Teringin berkongsi award tapi tak pandai nak link. Jadi pada tuan rumah berikut sila ambil award di atas dengan segala hormatnya.


Jejaka Desa

Adnazthie

Lina Rahim

Indahhouse

Sang Pemerhati

Sonata Kancil Biru


Anis The Bumble Bee


Teratak Amir Amira


Terima kasih pada anda semua kerana sudi mengikuti blog ini. Harap terus setia....Blog ini juga mencecah 100 pengikut - satu pencapaian besar buat Che Mid yang terpaksa mencuri masa BW kerana 'bersaing' dengan Deeja yang sentiasa mahu sepenuh perhatian dari ibunya.

Friday, July 22, 2011

Diraikan di Jeram Ikan Bakar

Che Mid telah diraikan di satu majlis makan malam anjuran Persatuan Penduduk rumah Che Mid di Klang. Hadiah penghargaan Che Mid terima kerana pernah memegang jawatan Ketua Jiranita taman perumahan tu. Tapi, sedihnya, gambar tak 'clear' pulak. Puas dah senyum sumbing, che abang tangkap tak kena gaya... apa pun kita layan gambar lain la ya..


 Hampir 300 orang dari kalangan penduduk dan keluarga. Pihak persatuan turut menyediakan bas untuk ke Jeram Ikan Bakar; kira-kira 40 minit dari taman kami.

 Farah turut menerima sumbangan pelajar cemerlang PMR 2010. Boleh shoping ye ye!

Bersama Ustazah Salmah, pengajar Fardhu Ain. Termimpi-mimpi Che Mid rindukan dia, eh dia kata dia pun mimpikan Che Mid juga.

Gang lama dan selamanya - dari kiri Ruziah, Kak Eda dan mak nenek mendokong Deeja. Deeja ok tak nangis cuma excited ke sana ke mari..

Seorang lagi orang Helwa - Zainon, pembaca setia blog Che Mid..

Tok Ketua Kampung juga mengumumkan bahawa taman kami, selain dari mempunyai anak-anak cemerlang dalam akademik, juga telah melahirkan seorang HAFIZ. Alhamdulillah..Semoga taman ini terus maju ke hadapan ditunjangi oleh para ajk yang begitu bersemangat, sabar dan tabah mengharungi cabaran. 

Tuesday, July 19, 2011

Ikan Bakar Tasik Raban

Perjalanan balik dari Klang minggu lepas, kami ikut jalan dalam. Keluar lebuh raya Utara Selatan melalui Kuala Kangsar dan terus menghala ke Gerik- Baling. Sampai di kawasan Tasik Raban, kami berhenti makan tengahari walaupun tak berapa lapar.

 Inilah dia - Restoran Tasik Raban - Che Mid memang teringin nak makan kat sini. Orang kata sedap banget! Tengok dari jumlah kenderaan yang parkir, memang betullah jadi tumpuan walaupun terletak di kawasan kampung dan hutan yang sunyi.. Berlatarbelakangkan gunung ganang..

 Che Mid sampai dalam pukul 2 lebih. Banyak lauk dah habis. Tu pun tengoklah... berderet lagi lauk pauk terutama ikan sungai..

 Sebesen besar sambal tempoyak!! Boleh tak bayangkan berapa banyak ulamannya!!

 Inilah tarikan utama !! Ikan sungai bakar. Ramai pelanggan makan, tentu sedap, mesti cuba. Sape tak makan ikan sungai, jangan jual mahal taknak makan. Menyesal nanti!!

 Che Mid ditanya, " Akak nak ikan talapia sungai ke talapia bela? Kalau talapia sungai harganya RM38 sekilo. Kalau ikan talapia bela punya, RM28 sekilo.." Che Mid pilih yang mahal! Sesekali datang, tentu nak rasa yang terbaik. Ikan dibakar dahulu, baru dicurah kuah atasnya. Pekerja tu akan tarik tulang tengah ikan dulu. Lepas tu dia akan  mengacau kuah dalam bekas besar, nampak macam berminyak-minyak. " Kuah ni dimasak dulu ke dik?". " Ya, kak. Siap bubuh rempah, halia, serai macam-macam lagi."

 Wah! Terserlah kesegaran ikan sungai ... Takdenya hanyir ke bau rumput ke.. yang ada.. DILISYES, MERBELES! Ayan yang tak makan ikan pun suka sangat makan talapia ni!

 Tengok belakang tu, punyalah ramai orang... Ha, Deeja pun nak makan gak, tapi tak nak suap.. nasi banyak ke meja dari ke mulut! Bayaran makan untuk 6 orang cuma RM58 je..

Lepas makan, Deeja kena buli dengan abang dan kakak, disuruh makan limau..


Akhirnya, kena mandi di sinki!! Tentu tuan kedai jeling marah!! Sorilah cik, anak saya ni dah comot sangat!

Saturday, July 16, 2011

"Aku Dah Tak Mahu Hidup Lagi"


Nyaiku sayang

Matamu memandang, tapi sudah tiada sinar
Telingamu mendengar tapi apakah kau masih mahu mendengar
Mulutmu bungkam, tentu kau sudah malas berbicara
Jadi, apa lagi yang kau tunggu....

Gambar atas ni di ambil hujung minggu lepas.
Nyai tak cakap banyak, bila aku salam dia kata, " Nyai demamlah..." Perlahan dan lemah je suaranya.
Diajak makan tak mahu, diajak minum menggeleng.
Asyik diam tanpa kata...

Aku tak sempat (takde masa) berbual dan bertanya khabar kerana sibuk melayan orang lain yang lebih banyak bertanya itu ini, dari masa aku tiba hingga ke tengah malam
Esok paginya, Nyai cuma minta aku tambah air kosong dalam minumannya. Dia kata, " Manis sangat..."
Itulah kata-kata akhir yang aku dengar (tanpa aku melihat wajahnya)
Aku bertolak pulang ke SP tanpa melihat wajahnya kerana Nyai telah di hantar ke rumah makcik

Semalam Nyaiku nazak, semua adik beradikku berada di sisi, kecuali aku
Sebenarnya Nyai sudah beberapa kali tenat, dihantar ke doktor, disuruh bawa balik (takde harapan) kerana usia Nyai dah menjangkau 100

Nyai,
Pada saat ini aku ingin sekali berada di sisimu, membelai dan betul-betul menatap wajah tua mu
Aku tau, Nyai hanya menunggu hari untuk pergi. " Atok dah datang suruh Nyai ikut, tapi tangan tak dapat capai.."

Ya Allah, 
Kau kasihanilah Nyaiku. Ampunilah segala dosa-dosanya. Permudahkanlah segala urusannya,
 Ya Allah,
 Permudahkanlah sisa-sisa hidupnya dan permudahkanlah pemergiankannya kembali kepadaMu.

Aku tak tahu doa ini wajar atau kurang ajar, tapi aku kesian dan sedih sangat menatap gambar di atas, seolah-olah mengatakan, " Aku dah tak mahu hidup lagi.."

Friday, July 15, 2011

Dah Eksiden Pun Relak Je

Suatu pagi Jumaat di Klang.

Di kampung Che Mid, Meru, ada pasar minggu setiap Jumaat pagi. Dari Che Mid kecik dah ujud pasar ni, cuma sekarang dah berubah lokasi dan bertambah besar. Kalau Che Mid balik kampung dan kebetulan hari Jumaat, memang tak miss la nak berkunjung ke pasar tu..

Dalam kereta balik dari pasar Jumaat. Ayan memandu, Faris duduk depan. Che Mid, mak nenek dan Deeja duduk di belakang. Mak nenek ajak singgah ke rumah sahabatnya kerana ada urusan sedikit. Sejurus selepas itu, kami bergerak ke jalan besar untuk balik ke rumah.

Jalan Meru sekarang ni memang teramat sibuk terutama waktu puncak. Kalau tak berani memang terpaksa menunggu lama sebelum melintas. Kami mahu melintas ke kanan. Satu persatu kenderaan berlalu. Ayan terus menunggu sambil bersedia untuk 'celok' ke kanan jika ada peluang.

Di seberang jalan, ada satu kelisa juga stenbai untuk melintas, tapi Ayan tak peduli atau mungkin tak perasan. Pandangan ke dua-dua pemandu (Ayan dan pemandu kelisa) betul-betul tertumpu pada trafik dan cuba melintas sebaik berpeluang.

Ada satu lori besar, nampak macam tak berapa laju.. jadi Ayan pun terus pecut ke depan dan belok ke kanan. Pada masa yang sama, si kelisa tu jugak bergerak laju ke tengah jalan ( nasib baik menghala ke kiri ). Satu nak ke kanan, satu nak ke kiri. Hampir bertembung di tengah jalan! Che Mid menjerit sekuat hati tapi Ayan cuma mampu mengelak dan terus bergerak ke kanan. Tak boleh berhenti mengejut sebab lori besar semakin hampir ke arah kami. Akhirnya, kedengaranlah bunyi kuat.. Dah kena dah...


Kami pun berhenti di tepi jalan dan bertemu dengan pemandu kelisa tu. Kedua-dua kereta rosak sedikit. Kami sama-sama mohon maaf atas kelalaian dan mengaku dah tak boleh nak elak... masing-masing setel sendiri,

Anakku Faris - Sebelum kemalangan, Faris asek membuta je dalam kereta, tak peduli apa jadi.. Masa kami berbincang dengan pemandu kelisa tu, dia tak peduli.. tiduuuur....


Tiba di rumah, Che Mid tanya Faris, " Faris tadi tak nampak ke kereta kelisa tu? Kan Faris duduk depan.." 
Faris menjawab dengan penuh keselambaan, " Faris tadi kan tidur.. Lepas tu Faris dengar ibu menjerit, Faris pun bukak mata.. nampaklah kereta kelisa kat depan.. aaah.. ni mesti eksiden lagi la ni,..Faris pun tidur baliklah..." Aitt! Orang macam ni pun ada ke !

Thursday, July 7, 2011

Saya Tengah Diet

Seorang makcik di sebuah kantin sedang sibuk melayan kerenah pelanggannya membungkus lauk-pauk. Orang ramai sedang berbaris!!

Pelanggan lelaki     :  " Makcik, saya nak nasi putih lauk telur goreng dengan kari ayam. Kuah kari kasi banjir.
                                  Bungkus!

Mak cik                : " Itu aja!"

Pelanggan lelaki     : " Hmm! Tu je!"

Mak cik                :  " Ok, siap, RM3.00 saja"

Pelanggan lelaki tu pun berlalu. Tiba pula pelanggan perempuan. Dia tersenyum sambil menyapa.

Pelanggan perempuan :

" Makcik, saya nak lauk ikan terubuk bakar. Bagi bahagian ekor ya! Tak nak yang besar, bagi yang sedang-sedang je. Saya tak boleh makan bahagian kepala, geli!!. Lepas tu bungkus lauk sayur pucuk manis masak lemak. Kuah asing ya? Nanti kejap! Kuah masak lemak pucuk manis ni pakai santan, kan? Tak naklah mak cik, saya tengah dietlah tak boleh makan lemak-lemak. Kalau macam tu makcik bungkus saya sambal paru jelah, jangan letak banyak sangat minyak. Sayur pulak makcik bungkus saya ulam-ulam jelah. Ulam-ulam tu ambil yang hijau-hijau ya mak cik. Mak cik tau tak ulam-ulam hijau baik untuk awet muda? Makcik tengoklah kulit saya ni nampak remaja je walaupun anak dah tiga, tapi tak nak ulam jantung pisang, nanti anginnn... kentut-kentut tak vouge pula! Petai? Please... saya orang bandar tak makan petai-petai ni! Eww.. Hah, saya nak nasi separuh aje makcik. Lauk-lauk semua asing macam saya cakap tadi tau! Err.. beri tisu ekstra ya makcik!"

Sambil pelanggan perempuan itu mengelap-ngelap mukanya dengan tisu, dia sempat membelek-belek lauk dalam dulang beberapa kali sambil menjilat-jilat bibirnya dan menghisap jarinya yang terpegang ikan terubuk bakar tadi.

Sebelum beredar, pelanggan perempuan itu sempat berpesan pada makcik itu supaya memasak ayam percik kegemarannya, tapi bahagian paling disukainya dada ayam bukan bontot ayam sebab banyak sangat kolestrol.

" Nak jaga badan makcik oi!". Makcik itu mengangguk-angguk, tidak sempat membalas kata-katanya sebab ramai lagi pelanggan perempuan menunggu giliran. 

Sumber : Mastika Julai 2011

Che Mid tambah - Tu baru seorang pelanggan perempuan, kalau sepuluh....                                     

Tuesday, July 5, 2011

Asam Katok, Udang Merah Balik Pulau

Cuti Isra' Mikraj, kami ke Pulau Pinang jalan-jalan cari makan. Che Abang ajak cari durian...macam le tempat lain takde durian tapi dah diajak.. kecil tapak tangan, feri Pulau Pinang aku tadahkan..

 Anak daraku menaiki feri buat pertama kali. Tak puas di tingkat bawah, naik tingkat atas pulak.. Esoknya... mabuk laut.. Dia kata, " Ibu, Fara rasa dinding, bumbung rumah ni dah jatuh ke lantai. Duduk pun terasa bergoyang-goyang". Muntah-muntah jugalah... Deeja juga yang stedi.. 

 Anak-anak tidur dalam kereta, sedar-sedar dah dalam feri..

Jalan hari ni taklah sesibuk biasa. Jadi Che Mid mintak singgah di Pasar Chowrasta. Lama tak pekena jeruk Penang..

 Pi caghi hat yang Melayu.. harap-harap yang menjualnya Melayu, yang membuatnya pun Melayu gak..

PERINGATAN :  Sapa yang melihat gambar-gambar seterusnya.. 
JANGAN BIARKAN AIR LIUR MEMBASAHI BIBIR ANDA!

 Amende asam katok ni!!

 Rupanya benda alah ni lah asam katok! Che Mid cukup suka makan ni masa kecik-kecik dulu. Asal balik sekolah rendah, mesti beli.. pas tu makan colek dengan jari je.. pas tu kesat kat unifom sekolah..

Kedondong warna hijau atau kuning. Orang Penang panggil ambra huh canggih no..

 Jeruk bawang ni, Che Mid tak pernah makan.. sedap ke ha? Rasa bawang macam bawang kat umah tu ke?

 Buah pala bermacam jenis... Ooii! Jaga ayaq lioq tu!!

 Ini feveret Che Mid. Teringin sangat nak makan.. Bunyinya rangup kruk krak.. tak masam dan tak manis sangat..tapi jenis yang bercili tak minat pulak.. 

Kami beli dalam 1/2 kilo betik, mangga, jambu batu dan asam katok.  Kami bergerak perlahan ke arah Batu Feringgi. Melepasi kawasan bandar, deretan hotel-hotel besar dan pantai yang cantik, kami menuju ke arah Balik Pulau.

Semakin lama jalan semakin sunyi dan sempit. Kiri kanan di apit hutan, bukan pokok liar tapi rupanya hutan DURIAN!!

Ada pokok yang muda dan ada yang tua dan terlalu tinggi.. tapi semuanya sedang berbuah lebat..

Boleh dikatakan disetiap jalan masuk ke dusun, terdapat pondok menjual durian. Kami memilih berhenti di satu lereng .. ( Ish.. ada komunis tak? )

Disambut oleh pekerja berbangsa Myanmar, kami disua dengan durian yang dijual secara biji,  tak payah timbang. Tapi harga memang MAHAL!


Deeja dah tak sabar-sabar lagi. Mulutnya asek kata, " Emm.. dap."

Menikmati setiap ulas durian segar. Rasa macam petik sendiri di pokok dan makannnn.. Cuma menghabiskan 2 biji durian saja rasa dah puas..

 Buah yang pertama .. jenis kacukan kumpo ( tak pernah dengar nama tu sebelum ni, si Myanmar tu pulak tak reti nak eksplen.. suruh eja lagi la tak tau..!)  Warnanya kuning ke orenan..

 Memang hebat..lemak, lembut tapi tak lembik, tak pahit,  hey tak tau nak diskraib la.. sebijik RM35.

 Durian kedua - Jenis udang merah. Pun sedap yang amat... berbaloi la jalan merentas negeri mencari durian..

 Gebu, sedikit pahit dan tak manis sangat. Che Mid la yang paling banyak makan.. tapi dalam hati teringat emak abah dan mertua di kampung, kalau ada sekali alangkah syoknya..

Sebelum balik, Deeja bergambar dengan Amoi lawa jugak dari Sg Petani yang turut makan di situ bersama keluarga. Sejak Amoi tu sampai, Deeja asek panggil, " Kakak!"

Monday, July 4, 2011

Yang Muda Memberi, Yang Tua Menerima

Ahad, 26 Jun lepas, Che Mid telah menemani suami ke Sik, Kedah di dalam program anjuran Kelab Motor Naza. (Kami tak le naik motor...) Para peserta bertolak dari Gurun ke Sik sehari sebelum itu dan menginap di Keda Resort, Kg Bendang Man, Sik.

Para peserta sedang membaca doa selamat sebelum berkonvoi jam 6 petang 25 Jun. Walaupun tidak berapa ramai, tapi Che Mid bangga dengan kesungguhan dan semangat setiakawan ahli-ahli kelab ini. 

Inilah Keda Resort Kg Bendang Man tempat mereka bermalam. Cantik tempat tu. Kebetulan, musim buah-buahan dah bermula. Pokok durian dan manggis berbuah lebat di sana sini.

 Kira-kira jam 11.30 pagi Ahad, konvoi tiba di Kg Bendang Man untuk menyampaikan sumbangan kepada 20 orang penduduk kampung yang telah sedia menanti. Kelihatan anak-anak muda berjiwa besar ini sedang memindahkan sumbangan dari van pengiring ke meja khas.

 Sumbangan terdiri dari barangan makanan seperti beras, gula, susu dan biskut akan bertukar tangan

 Salah seorang daripada warga emas sedang menerima sumbangan


Si kecik Deeja tak kurang sibuknya...

Bergambar ramai ahli Kelab Motor dan penerima sumbangan

 Peserta konvoi turut meluang masa menghantar penerima pulang ke rumah selepas majlis selesai

 Rezeki - Tidak lama selepas itu, kami dijamu dengan durian kampung. Oleh kerana tiada pisau, durian dibuka menggunakan kunci dan pemutar skru! Merasalah kami durian baru gugur!!

Che Mid mengabadikan gambar bersama dua orang penerima sumbangan

Che Mid dan suami terus pulang ke Sungai Petani sejurus selesai majlis. Peserta konvoi meneruskan perjalanan ke Lata Bayu untuk mandi manda sebelum bertolak pulang. Kami menolak ajakan untuk turut serta kerana ada tetamu akan bertandang ke rumah. 

Dengar khabarnya, kepala air telah berlaku di air terjun tesebut. Mujur kesemua mereka terselamat selepas salah seorang dari mereka yang berada di tempat tinggi terlihat air deras dan keruh mula turun, lantas menjerit meminta semua pengunjung naik ke tebing.

Sewaktu keadaan kelam kabut, seorang pemuda berbangsa Cina berpatah balik ke dalam air untuk mengambil bajunya yang tertinggal lalu dia dihanyutkan air deras. Mujurlah pasukan PGA yang kebetulan sedang berkhemah membantu dengan mencampakkan tali untuk pemuda itu berpaut. Kalau tidak...

Friday, July 1, 2011

Apom Lenggang aka Lempeng

Satu lagi makanan yang di jual di pasar malam di Sungai Petani ialah Apom Lenggang. Seumur hidup, Che Mid tak pernah tengok lempeng macam ni dijual di pasar seperti ini.


Campuran tepung yang cair dituang ke dalam kuali comel-comel ni..


Biarkan sekejap... ( Berapalah kos untuk bancuhan tepung tu agaknya ya...)


Tak payah susah-susah nak mengacau atau membalik-balik..

Bila dah garing, lipat kiri dan kanan..




Siap!! 3 keping seringgit..

Apom lenggang ni menjadi kegemaran Che Mid dan Deeja, garing, rangup di tepi dan agak manis.

Satu lagi makanan popular orang utara ni ialah pek nga atau pek li, tapi Che Mid tak pernah merasa lagi lempeng jenis tu.. nanti-nanti la dulu ya..