Ads

Showing posts with label kemasyarakatan. Show all posts
Showing posts with label kemasyarakatan. Show all posts

Friday, July 22, 2011

Diraikan di Jeram Ikan Bakar

Che Mid telah diraikan di satu majlis makan malam anjuran Persatuan Penduduk rumah Che Mid di Klang. Hadiah penghargaan Che Mid terima kerana pernah memegang jawatan Ketua Jiranita taman perumahan tu. Tapi, sedihnya, gambar tak 'clear' pulak. Puas dah senyum sumbing, che abang tangkap tak kena gaya... apa pun kita layan gambar lain la ya..


 Hampir 300 orang dari kalangan penduduk dan keluarga. Pihak persatuan turut menyediakan bas untuk ke Jeram Ikan Bakar; kira-kira 40 minit dari taman kami.

 Farah turut menerima sumbangan pelajar cemerlang PMR 2010. Boleh shoping ye ye!

Bersama Ustazah Salmah, pengajar Fardhu Ain. Termimpi-mimpi Che Mid rindukan dia, eh dia kata dia pun mimpikan Che Mid juga.

Gang lama dan selamanya - dari kiri Ruziah, Kak Eda dan mak nenek mendokong Deeja. Deeja ok tak nangis cuma excited ke sana ke mari..

Seorang lagi orang Helwa - Zainon, pembaca setia blog Che Mid..

Tok Ketua Kampung juga mengumumkan bahawa taman kami, selain dari mempunyai anak-anak cemerlang dalam akademik, juga telah melahirkan seorang HAFIZ. Alhamdulillah..Semoga taman ini terus maju ke hadapan ditunjangi oleh para ajk yang begitu bersemangat, sabar dan tabah mengharungi cabaran. 

Monday, December 6, 2010

Sepetang Bersama Helwa 2010 - ketawa dan airmata

Program : Sepetang bersama Helwa - Semanis Kenangan Seindah Impian
Tarikh    : 14 Oktober 2010
Tempat  : Pandetta Coffee House, Intekma Resort & Convention Centre

Majlis hitea anjuran Kumpulan Marhaban Helwa TDB telah diadakan sebagai penghargaan kepada ahli-ahli marhaban dan juga jamuan selamat tinggal kepada ahli yang akan berpindah ( termasuk Che Mid la tu). Temanya ialah Semanis Kenangan, Seindah Impian.
Selain ucapan perpisahan dari Che Mid selaku bekas Pengerusi Helwa, turut diadakan persembahan dari ahli, penyampaian anugerah, tukar-tukar hadiah dari nona ke nona, permainan, sambutan hari jadi ahli, gurindam, pantun, anugerah nona manis dan lain-lain.

Farah datang sebagai ahli marhaban, Huda pulak datang sebab ikut ibunya.

Seramai 40 orang ibu-ibu hadir. Semua nampak cantik dan anggun sekali. Hari itu kami dipanggil Nona-nona Manis oleh Pengerusi Majlis. Tapi ada juga ahli marhaban yang nak sangat hadir tapi tidak sihat seperti Baiti dan Suryani yang baru keguguran.
Nombor dua dari kiri tu Normah, dah berpindah ke Sijangkang tapi tetap sudi hadir menyerikan majlis.

Ada juga ibu-ibu yang hadir membawa anak kecil mereka. Alasan standard - hasben kata, " kalau nak pergi, bawak anak sekali, abang tak nak jaga". Che Mid tak fahamlah suami-suami yang macam tu... sesekali isteri nak berehat dan bercantik-cantik sikit pun payah.. Bukan menginap pun.. 2-3 jam je.. Che Mid pulak terpaksa bawa Deeja sekali sebab ramai sangat yang nak Che Mid bawak si kecik tu.

Sape kata surirumah tak boleh melaram!! Syekali-syekali pasang badan.. kalah orang yang keje opis tau!!

Syair pembuka majlis dari Zee.

Pengerusi majlis menjalankan tugas dengan bagusss banget!!
Persembahan nostalgia marhaban dari Zee dan rakan-rakan. Tak praktis pun.. tangkap muat je.. nyanyi balik lagu nasyid dan marhaban yang dulu-dulu..

Cik Nah menerima anugerah ahli cemerlang sebab kedatangan paling tinggi!!

Emak Che Mid menerima anugerah ahli veteran. Emak juga menyampaikan gurindam khas untuk Che Mid. Amat syahdu dan menusuk kalbu apabila seorang ibu menyanyikan lagu perpisahan untuk anak sulungnya diselang seli dengan esak tangis. Hanya ciuman sayang dari Che Mid buat ibu tersayang seusai persembahan yang mampu diberi.

Ani (kiri) tak dapat menahan sebak kerana akan berpisah mengikut suami berpindah ke Pasir Gudang, Johor selepas 9 tahun menetap di TDB.

Jemputan khas Che Mid - Nyaiku cayang dan Cik Ti. Kesian juga tengok Nyai duduk lama-lama sehingga majlis selesai. Ada satu masa tu, dia jalan perlahan-lahan ke rostrum dan berbisik kepada pengerusi majlis, " Yok balik.. dah petang ni.. belum sembahyang Asar..". Masa tu baru pukul 5 petang, tapi suasana di luar hujan renyai-renyai.. mungkin Nyai ingat dah nak Maghrib kut. Terpaksa Che Mid pujuk dia..

 Suasana menjamu selera. Masing-masing tak makan tengahari lagi tu...

Jemput makan.. jangan malu-malu..

 Norazlina tersenyum manis bersama hadiah yang dimenanginya. Disebelah tu ialah lolipop yang diselit dengan nama bertuah. Lain sikit stailnya... takdelah asek-asek masuk tangan dalam kotak dan pilih nama atau nomborkan!!

 Ha! Ini persembahan pantun loghat Perak oleh Masanah. Riuh rendah jadinya kopi haus tu dek pantun kelakar Masanah tu..

 Mazlina pulak menyampaikan pantun loghat Kelate..

 Cik Nah ni patutnya berpantun loghat Pahang.. tapi ketawa memanjang...entah mana hujung mana pangkal weii

 Zehan (tengah) menang anugerah Nona Manis. Dia pakai baju kebaya jadi sesuai sangatlah digelar nona manis. Sebagai pemenang, Zehan diminta untuk mengajak seorang lagi jemputan untuk bersama-sama menikmati hadiah hitea yang dimenanginya. Jadi, dia pilih Farah, sebab Farah pun pakai kebaya juga. Nyai kat sebelah tu jadi penyampai anugerah. Pengerusi majlis usik, " Pastikan bila awak tua nanti.. tetap maintain macam Nyai ni..."

 Menjelang penghujung majlis Farah menyampaikan lagu Pelangi Petang oleh Sudirman. Ramai yang menitiskan airmata mengenangkan saat perpisahan yang semakin hampir. Antara senikatanya -

Engkau tiba bagaikan pelangi
Tak bercahya namun kau berseri
Tapi cukup menghiburkan hati ini
Seharian waktu bersamamu
Tak terasa saat yang berlalu
Bagai pelangi ku kan tetap
Pergi jua....

 Che Mid tekun mendengar ucapan 'Kau yang ku kenal' dari Ustazah Rosni, menceritakan pengalamannya mengenali Che Mid sebagai jiran dan juga ahli persatuan. Diikuti dengan ucapan balas dari Che Mid. Kata-kata terima kasih, ampun maaf dan doa kesejahteraan adalah intipati ucapan. Khas buat emak, lagu ini Che Mid perdengarkan.

Nasilah lemak buah bidara
Sayang selasih hamba lurutkan
Tinggallah emak tinggal saudara
Keranan suami hamba turutkan

Selesai ucapan, Che Mid tutup dengan lagu Seribu Tahun dari Imran Ajmain

Relaku menunggumu  seribu tahun lama lagi
Tapi benarkah hidup kukan selama ini
Biar berpisah utara selatan
Kutak putus harapan
Sedia setia

Inilah cincin belah rotan emas putih hadiah dari Helwa untuk Che Mid sebagai kenangan.

Majlis yang penuh ketawa dan airmata itu tamat kira-kira jam 6 petang. Masing-masing pulang membawa kenangan manis dan mengimpikan satu hari nanti akan kembali bermesra seperti ini lagi. Buat Che Mid pula, kenangan bersama kumpulan ini ibarat tempat menabur bakti dan khidmat yang kini tiba ke penghujung. Kini giliran sahabat menyambung amanat. Moga akan  terus mekar mewangi mencurah amal sesuai tuntutan Islam. Insyaallah, doaku dari jauh sentiasa menemani kalian.



Monday, October 25, 2010

Imam Muda TDB Naik Pelamin

Ustaz Zamri bin Marthan tinggal di taman Che Mid. Selain dari tugasnya sebagai seorang ustaz, Zamri juga menjadi imam paling muda di surau kami. Bacaan surah dalam solat dan suaranya sangat mengkagumkan dan mengasyikkan.

 Dia juga aktif menjayakan aktiviti sosial untuk remaja seperti kem solat dan mengajar al-Quran untuk jiran terdekat. Selalu juga Zamri menjadi pengerusi majlis dan membaca doa selamat jika kami mengadakan aktiviti di taman ni. Kalau musim cuti sekolah, dia pun ikut sibuk menguruskan aktiviti untuk anak-anak kami. 

Pada 10.10.2010 yang lalu telah berlangsung majlis perkahwinan ustaz Zamri dengan isterinya Zakiah, seorang guru KAFA. Dengarnya, bunga telur, gubahan dan lain keperluan pengantin disediakan sendiri oleh Ustaz Zamri yang memang pandai menjahit dan menghias. Untunglah isteri dapat suami macam ni kan..

Che Mid pernah usik dia dulu, " Zamri tunggu Farah besar ya, boleh jadi menantu akak". Dia senyum malu-malu. Bila dia bagi tahu nak kawin, Che Mid cakaplah, " Kan kakak dah bagi tau dulu, tunggu Farah besar!". Dia jawab, " Tunggu Farah besar lama sangat, masa tu saya dah tua.."

Che Mid sempat menghadiri majlis perkahwinannya di Sabak Bernam yang meriah dan indah. Selamat Pengantin Baru tak lupa diucapkan sebelum berangkat pulang.

Wednesday, April 1, 2009

Sukaneka Taman Dato Bandar


Pada 29 Mac lalu, TDB telah menganjurkan Sukaneka untuk taman kami. Dua minggu sebelum itu telah juga diadakan pertandingan futsal untuk anak-anak lelaki dan bolajaring untuk anak-anak perempuan.




Saya telah ditugaskan sebagai pengadil jadi tak dapatlah nak merayau ambil banyak gambar. Kamera pula sedang masuk ICU, cuma berkamera telefon saja. Apa pun, jom tengok telatah orang-orang
TDB bersukaneka...


Gambar sebelah ini menunjukkan Tok Ketua Kampung dan sebahagian penduduk menyaksikan pertandingan yang berlangsung.


Ini pertandingan masukkan air ke dalam botol menggunakan span untuk kategori keluarga.








Untuk bapa-bapa, paling mencabar ialah pertandingan mengopek sabut kelapa tanpa menggunakan peralatan. Tu.. yang berdiri berbaju biru tu adalah juaranya. Syukri mengupas hanya menggunakan giginya... Anda berani?











Membaling belon berisi air adalah acara khusus untuk suami isteri. Emcee dan penyelaras pun nak main jugak...







Acara golf dimulai dengan pukulan oleh Ketua Kampung, perhatikan kopiahnya... wah boleh tahan..




E eh.. kopiah dah hilang.. berganti topi pulak.. pusing belakang pulak tu.. hebat Tok Ketua ni..



Ini tuan emcee.. dengan penuh gaya duduk di tengah-tengah padang. Cik Halim boleh bergerak ke hulu ke hilir kerana dia menggunakan mikrofon bateri.
Tok Ketua memulakan pula acara bowling kelapa. Kali pertama ok.. strike kelima-lima botol air. Lantas pihak penganjur menganjakkan lagi jarak lontaran.. lepas tu.. hancusss..kelapa melencong ke tempat lain..

Ha.. orang pempuan pulak siap sedia nak berboling kelapa. Ramai betul yang nak mencuba, emmm.. tak payah daftar pun..




Pertandingan kayuhan basikal paling perlahan. Cuma empat orang remaja perempuan saja yang mahu mencuba nasib. Peraturannya ialah siapa yang berhenti lebih dari sekali di kira batal..




Budak-budak lelaki ramai lah yang nak berbasikal ni..



Emak-emak orang beria-ia nak tunjuk terer memasukkan manik dalam benang. Alahai.. ada yang sampai sudah, benang pun tak masuk jarum lagi..





Deretan hadiah menanti untuk direbut pada hari itu. Saya menang tempat ke tiga golf, tapi tak sempat nak ambil sendiri. Keletihan sebab badan tak berapa sihat dan berhujan pulak, lepas tu tak sempat menjamah makanan dari pagi.. Akhirnya saya balik rumah seusai pertandingan terakhir. Sebab tu takde gambar ketika ucapan penutup dan penyampaian hadiah..


Boling kelapa anak-anak pun tak kurang menariknya.. Hai.. kuat ke budak-budak ni meleret kelapa..


Pertandingan mengutip gula-gula untuk anak-anak 5 -7 tahun, berjalan serentak dengan berbasikal. Yang kelakarnya, kerana teruja sangat nak berebut gula-gula tu, referi tiup wisil untuk pertandingan berbasikal.. alih-alih bebudak ni yang lari kutip gula-gula.. Sabau je la...Bapak-bapak pun tolong simpankan gula-gula yang dikutip. Sebenarnya, tiada pemenang untuk pertandingan ni.. gula-gula tu lah hadiahnya..



Berlari dalam guni di tengah padang yang lecah bagaikan sawah...


Pengadil-pengadil begitu serius menjalankan tugas. Dan hari semakin panas.. dan panas..
Demikianlah antara gambar yang berjaya dirakam di tengah-tengah kesibukan saya menjadi pengadil acara. Sarapan pagi dan makan tengahari juga disediakan. Sayang tak dapat snap gambar kaum suami menanak nasi dan menggoreng ayam.. Tahniah kepada semua ajk yang bertungkus lumus memastikan program ini berjalan dengan jayanya.






Monday, March 16, 2009

Marhaban Ya Marhaban

Kumpulan marhaban Helwa Taman Dato Bandar telah dipelawa menyertai pertandingan marhaban peringkat Kampung Meru sempena Karnival Maulidurrasul pada 14 Mac 2009.
Seramai 9 orang ahli marhaban termasuk saya telah bersetuju untuk 'menyumbangkan' suara kami.
Biasalah orang perempuan, berlatih belum 'fasih' tapi sibuk dengan bajulah.. tudunglah.. selendanglah.. Heh.. susah nak cari 9 helai yang serupa dan murah!!

Ni tengah sibuk 'shopping' la ni. Semua dah bersetuju nak pakai jubah hitam, tudung biru hitam dan selendang biru. Saya, Zi dan mak pun pergilah ke Kompleks PKNS Shah Alam, untuk mencari mana yang berkenan dan boleh membuatkan kami nampak 10 tahun lebih muda..kih..kih

Jubah saiz 38 ni dibeli oleh Zi. Saya punya saiz 44 takde. Rupanya susah untuk orang berbadan kecil macam Zi nak beli baju ya. Saiz memanjang takde...


Ini pulak setelah ketibaan di perkarangan Masjid Assyarif Meru. Masing-masing saling mencantikkan diri kawan-kawan.


Dari kiri Ani, Enon, Cik Nah dan Zehan bersiap sedia nak menunjukkan bakat terpendam.



Ibundaku tercinta bergaya macam mak Datin. Dah tak sabar-sabar nak masuk masjid, tapi dia kata takde orang lagi.


Ini sayalah.. vokalis tersohor TDB.. perasan..


Wajah-wajah saspen menunggu masa untuk bermarhaban. Zehan dan Enon dah demam-demam. Ani sampai hilang suara ... Tapi takpe.. itulah cubaan untuk orang yang nak menang.. he he. Eh... mana pergi kumpulan lain.. tak nampak bayang pun.


Tazkirah oleh Ustazah Laila ketika menunggu ahli panel Hiwar tiba di masjid. Ustazah ni menekankan kebaikan berbekam mengikut sunnah Nabi saw untuk membuang darah kotor dari tubuh. Dia juga berkata bahawa Allah beri kelebihan kepada orang perempuan yang boleh membuang darah kotor secara semula jadi melalui haid.


Panel pertama tak datang kerana kereta rosak. Akhirnya hanya Ustazah ni sahaja berceramah.(Ampun, terlupa nama). Disisinya ialah Ustazah Shimah sebagai moderator, (junior sekolahku). Ceramah berkisara pada kehidupan Nabi Muhammad saw.




Dan tibalah masanya, persembahan marhaban dari kumpulan kami. Dimulai dengan salam.. Rasa-rasa macam nampak suami Enon datang dan ambil video kami...



Selepas itu semua orang duduk. Saya membaca rawi. Ruzzi pegang mikrofon. Apasal selendang Enon tu lain macam je.. Hish tak ikut arahan betullah dia ni..


Tamat rawi, masing-masing berdiri diikuti dengan muslimah yang hadir. Kami pun bermarhabanlah..Sollah alaikallah.. masa diambil lebih kurang 18 minit.

Diakhiri dengan selawat, olahan kami sendiri. Gaya direka oleh Ruzzi. Memang dialah yang paling sibuk pun sepanjang latihan. Tamat giliran, kami diminta pihak penganjur untuk memimpin selawat beramai-ramai dengan hadirin. Apalagi, kami pun bertambah-tambah semangatlah. Dua nazam selawat kami dendangkan.
Kemudian kami juga diminta bersalawat lagi ketika penutup majlis. Semua orang bersalaman dan ada yang kagum dengan persembahan kami. Ada yang minta kami ajar mereka dan ada yang tanya kenapa tak buat album... Fuhh..lagilah kami perasan menang!!


Kak Ida dan Cik Nah siap berposing di tengah panas.. tunggu Mat Arab lalu kot..

Tamat majlis kami pun berjalan-jalan di gerai-gerai jualan di kawasan masjid. Orang tak berapa ramai lagi masa itu. Kempen derma darah dan pemeriksaan kesihatan pun ada. Sebelah malam ada Forum Perdana dan salah seorang ahli panelnya ialah Ustaz Kamal Ashaari.
Nampak tu, masing-masing sibuk memegang dan melihat jualan. Teringat ketika di Mekah, selepas umrah, masing-masing 'tawaf kedai' pulak.



Eh! Zira.. pun datangya. Malam tu terus demam panas.. kesian dia, tu la, penat ikut ummi berlatih ya..


Menang tak????
Oleh kerana hanya satu pasukan yang bertanding, dengan ini Kumpulan Marhaban Helwa Taman Dato Bandar diisytiharkan menang tanpa bertanding!!
He.. he.. jangan marah!!