Ads

Wednesday, August 13, 2008

Hospital kerajaan atau swasta?

Semalam saya telah dirujuk oleh doktor di tempat saya untuk berjumpa pakar di hospital. Ini berkenaan dengan pendarahan yang berlaku secara berterusan selama sebulan lebih. Doktor mengesyaki saya mengalami 'incomplete abortion' . (Artikel pertama saya dalam blog ini menceritakan bahawa saya teringin anak lagi.. ingat tak?).
Tetapi apa yang dikongsikan di sini bukanlah tentang kehilangan bakal baby ini. Ia adalah tentang perangai orang kita yang suka ke hospital swasta walaupun bayaran mahal daripada ke hospital kerajaan. Termasuklah saya sendiri.
Oleh kerana dalam hal mengandung dan kelahiran anak tidak diliputi insuran, saya dan suami membuat perbandingan harga hospital swasta berdekatan sekiranya saya terpaksa melakukan d&c. Rata-rata bayaran adalah dalam lingkungan RM600 hingga RM1500. Jika bermalam, deposit RM2000. Saya pening kepala kerana 'tidak rela' mengeluarkan duit sebegitu banyak tapi tak sanggup pula nak ke hospital kerajaan berhampiran. Bimbangkan servis dan kelewatan menunggu serta bermacam-macam cerita yang didengar menyebabkan kami tidak terfikir untuk ke hospital kerajaan.
Ketika sibuk berbincang, tiba-tiba emak menghubungi saya dan bertanya keadaan saya. Dia terus mencadangkan supaya saya ke Hospital Sungai Buluh yang baru di buka. Saya terkejut juga pada awalnya, kerana hospital itu jauh dari Klang dan berada di luar kawasan kediaman. Namun emak beria-ia mengatakan saya boleh ke sana. Siap pesan bawa persalinan untuk bermalam. Akhirnya saya dan suami akur dengan alasan - mengapa tidak - lagipun saya tidak dalam kesakitan atau kecemasan.
Pertama kali menjejakkan kaki ke hospital itu memang terasa kelainan. Tiada kesesakan dan keadaan tenang. Apabila tiba unit doktor pakar, saya kemudian disuruh ke unit bersalin yang terletak agak jauh dari blok tersebut. Setibanya di sana, saya disambut mesra oleh jururawat pendaftaran dan terus melakukan pemeriksaan tidak lama kemudian.
Suasana di dalam unit bersalin agak sibuk walaupun tidak berapa ramai orang. Namun petugas-petugas kelihatan ceria dan ramah. Seorang doktor pakar bukan Melayu ke sana ke sini merawat pesakit. Memang dia kelihatan sibuk kerana ada kes kecemasan, jadi saya menjadi kes yang tidak penting di situ. Jururawat memberitahu seorang lagi doktor bercuti kecemasan. namun kelihatan beberapa orang doktor (mungkin pelatih) turut berada di situ.
Alhamdulillah, selepas diimbas dan diambil urin, doktor mengatakan bahawa saya tidak perlu menjalani d&c kerana keguguran telah berlaku sendiri dan saya kelihatan sihat. ( Memang pun, sibuk pok pek pok pek dengan nurse.. tak macam orang sakit pun). Dia turut berkata jangan bimbang, 'bleeding' akan habis dalam masa terdekat. Saya dibenarkan pulang ke rumah tanpa satu sen pun bayaran.
Ketika menunggu doktor merawat saya. saya sempat berbual dengan jururawat bertugas. Dia menyatakan rasa kesalnya kerana ramai orang luar seperti Indonesia, Vietnam dan Myanmar menggunakan perkhidmatan hospital kerajaan kerana bayaran yang murah. Apatah lagi jika mereka berkahwin dengan orang tempatan, mereka turut di layan seperti warga negara.
Apa dah jadi dengan rakyat Malaysia sendiri? Kita yang kononnya mampu ini, lebih mempercayai khidmat doktor swasta walaupun mungkin kualitinya sama atau lebih baik. Stigma dan persepsi seperti hospital kerajaan tidak bagus sering menghantui kita. Benar, pengalaman mungkin mengajar seseorang serik pergi ke hospital.
Saya juga pernah mengalami pengalaman diherdik oleh jururawat ketika melahirkan Ayan 17 tahun dulu. Tapi apakah tidak ada yang baik langsung?. Dua bulan lepas emak dan abah saya diserang demam denggi. Mereka terpaksa menjalani pemeriksaan darah setiap hari hampir dua minggu termasuk hari cuti. Saya dapati bagus cara mereka menangani masalah denggi ini. Emak dan abah tak komplen langsung! Farah pernah dirawat di hospital swasta di Shah Alam kerana appendiks sewaktu darjah 3. Doktor sentuh perut dia sikit, beratus bayaran untuk caj lawatan.. bengang juga tapi company bayar.. no komen..
Saya pasti kerajaan juga mengambil inisiatif bagi meningkatkan mutu perkhidmatan. Jadi kita sebagai rakyat seharusnya memberi peluang dan menilai semula prestasi mereka. Bukannya membiarkan rakyat luar 'enjoy' dengan kemudahan kerajaan tetapi rakyat sendiri berhabis duit hanya kerana prasangka. Ingat! Kemudahan yang diberi adalah dari duit rakyat, jadi kita yang sepatutnya menikmatinya.. bukan orang luar. Jangan nak kata 'Anak dirumah kelaparan, monyet dihutan disusukan'.. Anak sendiri yang tak mau minum susu tu..
Apapun, terima kasih kepada emak yang tetap berkeyakinan dengan perkhidmatan kerajaan. (Emak saya melahirkan 8 anak dan 6 daripadanya lahir di hospital kerajaan, lagi 2 tu bersalin di rumah tapi menggunakan khidmat bidan kerajaan). Cadangan emak ini telah mengubah persepsi saya tentang hospital kerajaan - berdasarkan kepada perkara yang tidak baik boleh berlaku di mana-mana, namun apa salahnya kita mencuba hospital kerajaan. Mungkin mutu serupa dan boleh jimat duit untuk kegunaan lain, dari diberikan kepada orang yang memang suka mengaut keuntungan dari kita yang kononnya kaya!! Renung-renungkan dan selamat beramal

1 comment:

rinnchan said...

Salam ida,
Tak tau nak ucap apa tapi Alhamdulillah ida sihat dan selamat selepas apa yang dialami. Tak serik kan...?? Rinn pun tak berani nak komen panjang pasal sepital kjaan ni sebab rinn pun ke enam2 kalinya bersalin kat swasta. Bukan apa..phobia tu mmg ada setelah mendengar bermcm2 cerita. Lagipun selepas pengalaman pertama melahirkan..Rinn ni jenis yg tak labour pain lama..pernah dua kali nak terberanak dlm kereta walaupun hospital dekat jer... Kalau ke sepital kjaan, rasanya akan bersalin kat pintu sepital nanti !!! Baca cerita abah ida masuk sepital pun sebak..terasa kebenaran kata2 ida. Abah2 kita ni jenis konservatif...tapi Alhamdulillah, anak2 kita skrng tidak kita layan begitu. Segalanya biar penuh sentuhan kasihsayang....Rinn tak sempat nak berpelukan dan bertepuk bahu mcm yg ida sempat lakukan. Biasalahkan..kita takkan appreciate selagi kita tak hilang sesuatu itu....