Che Mid pasti ramai ternanti-nanti entri terbaru seperti yang dijanjikan. Cuma ingin Che Mid berpesan pada sahabat semua untuk berlapang dada dan sama-sama mendoakan yang terbaik untuk Che Mid. Mungkin ada yang berbeza pendapat, malah Che Mid sendiri pun bagai tak percaya tapi mungkin Allah sedang menunjukkan rasa sayang pada Che Mid melalui ujianNya.
Sebelum meneruskan bicara Che Mid ingin mengimbas sedikit apa yang Che Mid lalui sebelum insiden di malam Che Mid hampir dirasuk tempohari. Terima kasih kerana sudi membaca dan meninggalkan komen. Saat ini memang Che Mid perlukan dorongan kalian. (Mohon izin menukar gantinama kepada 'aku').
__________________________________________________________________________
Aku mula perasan ada sesuatu tidak kena dengan hubungan ku suami isteri. Semakin hari semakin hambar. Dia kata aku tak layan dia, aku kata dia tak layan aku. Dia tak pernah lupa menyambut harijadi ku, tapi kali ini ucapan pun tidak apatah lagi hadiah. Sehari sebelum aku 'tersampuk' dia sanggup biarkan aku membersihkan halaman selama 3 jam berseorangan!. Dulu dia tak macam ni.. Yang paling ketara sekali, selepas aku terkena ' sampuk' .. dia langsung tidak menyentuh aku atau bertanya sepatah pun tentang itu. Cuma duduk sendirian di ruang tamu dengan wajah tak suka.
Keadaan rumahku pula seolah-olah 'keras'. Pernah Faris terjaga pukul 3 pagi setelah terdengar pintu bilik diketuk bertalu-talu dan dicakar-cakar. Selalunya kalau ditinggal 'outstation' aku masih boleh lena tidur, tapi minggu lepas amat menyeksakan. Malam ketiga, aku benar-benar tak boleh lelap. Cuba sedaya upaya untuk tidur, Deeja pula merengek. Rasa panas seluruh badan. Jam 2 pagi aku bangun dan bersolat sunat, disambung dengan membaca al-Quran hingga menjelang subuh.
___________________________________________________________________
Aku tiba di Klang pagi Khamis lepas. Tujuan asal untuk menziarahi Nyai yang sakit dan membeli belah sempena Raya bertukar menjadi sesi rawatan. Mak, abah dan keluarga agak gempar mendengar ceritaku. Tanpa menunggu lama, emak meminta aku berubat dengan perawat yang juga mengubat Nyaiku.
Menurutnya, tubuhku telah dimasuki makhlus halus. (Sedang aku menulis ini, seluruh tubuhku meremang..) Satu, makhlus 'dihantar' kepada suamiku tapi turut masuk ke tubuhku. Kedua dan paling 'power', aku mahu diwariskan saka Nyai. Oleh kerana saka dalam tubuh Nyaiku cuba dibuang, maka aku dicari untuk menggantikannya. Perawat itu memberi aku limau purut untuk mandi selama 3 pagi. Beras dan garam bercampur lada hitam juga disiapkan untuk aku memagar rumah di Sg Petani. (Sepanjang sesi rawatan berlangsung, tubuhku terasa panas dan sakit-sakit. Nyaiku yang ada di situ memerhatikan aku dengan padangan amat tajam.. yang masih ternampak-nampak hingga sekarang.)
Malamnya, aku dibawa oleh anakku Farhan berjumpa seorang lagi perawat, yang juga bekas adik iparku. Dia juga mengesahkan yang saka Nyai sedang cuba menguasaiku. 'Benda' itu kata yang dia suka dengan aku dan akulah orangnya yang akan diwariskan. Mungkin sebab aku cucu sulung dan memang rapat dengan Nyai.
Dalam tubuhku bukan hanya satu atau dua ekor makhluk halus... tetapi ribu...! Selama hampir 1 jam proses mengeluarkannya dari tubuhku tapi gagal, kerana semakin dikeluarkan, semakin banyak yang masuk ke tubuhku.. memenuhi saraf ku. Masyaallah! Perawat itu berkata aku memerlukan masa yang lama untuk membersihkan makhluk halus yang bersarang, tidak cukup dengan sekali rawatan saja. Aku perlu kuatkan semangat dan terus mandi limau purut.
Suamiku turut dirawat sekali. Dia jenis yang tidak mahu percaya hal seperti ini, tapi Alhamdulillah aku lihat perubahan ketara. Dia lebih ceria, mesra dan nampak lembut denganku juga anak-anak. Kami anak beranak terasa amat rapat sepanjang kami di kampung. Ke mana-mana bersama, walaupun aku kurang sihat tapi aku gembira. Terima kasih Ya Allah!
Adik-beradik emak pun tidak duduk diam. Mereka berpakat untuk berjumpa seorang lagi perawat untuk mengeluarkan saka yang masih ada di tubuh Nyai. (Aku tak ikut serta). Ketika sesi soal jawab, makhluk halus tu kata memang dia suka aku dan suami porak poranda. Aku juga kononnya dianugerahkan kebolehan untuk menundukkan orang lain..Menurut emak, perawat itu telah berjaya mengeluarkan benda halus dari tubuhku dengan susah payah. Aku juga dinasihati supaya tidak mendekati Nyai..
Bagaimana keadaanku sekarang? Sebelum berubat aku rasa sihat, takde masalah pada fizikalku. Selepas rawatan, badanku menjadi lemah, akan meremang dan seram sejuk terutama bila teringat atau bercakap tentang ini. Jujurnya, semua perawat mengatakan kes aku berat, walaupun ada yang mengaku berjaya mengeluarkannya. Tapi, hati aku sendiri meraguinya.. Di bulan Ramadhan ini, mungkin tidak ada apa-apa, dan Nyai masih bernafas lagi. Hati aku berkata, ujian sebenar akan berlaku selepas Ramadhan nanti atau selepas Nyai meninggal...
Apa yang aku rasa? Bersyukur kerana hubungan aku dan suami nampak ok. Semoga semakin baik lagi. Sedikit marah dengan Nyai kerana menyimpan saka dan menyusahkan anak cucunya sekarang. Satu perkara yang tidak pernah terlintas akan berlaku, yang selama ini aku baca atau tengok tv, kini aku mengalaminya. Semoga Allah ampun dosa-dosanya. Tapi aku redha Ya Allah, Kun Faya Kun...jika itu yang dijadikan untukku..Aku memandang positif setiap yang berlaku dan percaya setiap sesuatu ada hikmahnya.