Ads

Showing posts with label bisnes. Show all posts
Showing posts with label bisnes. Show all posts

Friday, February 25, 2011

Dari Panasonic, Shah Alam ke Seraisonic, Dong


Ini adalah adik suami Che Mid, Rosdan bin Husain, yang lebih dikenali sebagai Ateh dalam keluarga kami. Lulusan Politeknik Kuantan atau POLISAS ini bertugas di Panasonic Electronic Devices Malaysia, Shah Alam sejak 1989 menjawat jawatan Senior Executive di bahagian Kualiti. Atas nama tugas juga, telah membawa Rosdan keluar negara seperti Jerman dan Jepun.  Dia juga sempat mengambil degree secara separuh masa dan pembiayaan ditanggung sepenuhnya oleh syarikat.


Pada 2008, syarikat-syarikat gergasi Jepun di Malaysia mula menutup perusahaan mereka di Malaysia. Ramai tenaga kerja yang diberhentikan dengan ditawarkan VSS. Peliknya, kalau orang lain takut diberhentikan kerja, Rosdan pula beria-ia mahukan VSS selepas 20 tahun bekerja. Akhirnya, apa yang dicita-citakan menjadi kenyataan. Pada akhir 2008 suami kepada Cikgu Norazila Muhammad Aziz dan bapa kepada empat cahaya mata ini menerima VSS.

Kenapa Rosdan beria-ia berhenti kerja?? Bagaimana dia akan 'survive' menanggung keluarganya??

Sebenarnya Rosdan amat berminat untuk menceburkan diri di dalam bidang pertanian moden. Setiap kali pulang ke kampung dan melihat tanah terbiar, hatinya meronta-ronta ingin membangunkannya walaupun tidak pernah berpengalaman bertani. Maklumlah, ayahnya bekerja di Keretapi Tanah Melayu dan mereka dulu tinggal dikuarters, memang tidak ada peluang bertani.


Sambil menanti VSS, Rosdan mula menghadiri kursus dan bengkel pertanian seperti kursus menanam serai dan cendawan serta menternak lembu. Sebaik sahaja berhenti kerja pada Mac 2009,  Rosdan tidak menoleh lagi.

Rosdan dan uniform baru - tauke serai paling glamor

Sedikit tentang Rosdan - seorang yang sangat menepati masa, tidak suka buat kerja bertangguh, suka tidur awal dan bangun awal walaupun hari cuti, fokus dan tekun, tidak gemar borak kosong dan berdisiplin. Mak mertua selalu kata, "Ateh tu macam Jepun". - Sikap begitu tetap diteruskan hingga hari ini dan itulah kunci kejayaannya.

Dia menggunakan duit VSS untuk melangsaikan ansuran rumah di Shah Alam dan kereta. Dia mula mengerjakan tanah seluas 2 setengah ekar yang dibeli di kampung isterinya, Dong, Raub. RM20,000 diperuntukkan sebagai modal permulaan meratakan tanah, membina rumah/stor untuk penyimpanan mesin dan peralatan, juga membeli anak benih. Tanaman pertamanya ialah serai dan pisang abu.

Cabaran pertama menguji Rosdan apabila pondoknya dipecah masuk manusia tidak bertanggungjawab. Dua mesin rumput, pam racun dan alatan lain hilang, kerugian lebih kurang RM2000.

Inilah 'pejabat' baru Rosdan. Sendiri jadi bos!!


Pada 2009, Rosdan berulang alik dari Shah Alam ke Dong hampir setiap minggu. Jika keadaan memaksa, Rosdan akan menginap di rumah orang tuanya di Kuala Lipis. begitulah rutinnya, sehingga akhir 2009 apabila keluarganya berpindah ke rumah sewa di Dong. Isteri yang menyambung pengajian jarak jauh di KL dan anak-anak turut bertukar sekolah di sekitar Raub juga.


Bersama 'rakan kongsi', Cikgu Norazila, yang turut menyinsing lengan turun padang kebun. Juga bertindak mencari pasaran produk serta pembakar semangat suami ketika berdepan cabaran. Anak-anak turut dididik membantu terutama semasa menanam dan membaja.

Rutinnya bermula sejak awal pagi. Selepas menghantar anak ke sekolah, Rosdan akan terus ke kebunnya. Tengahari pulang ke rumah dan sebelah petang sekali lagi ke kebun. Sekiranya ada tempahan, dia akan bekerja hingga lewat malam seperti memotong serai dan membungkus jagung mengikut permintaan.

Projek pertama - tanaman paling mudah untuk 'beginner' seperti Rosdan. Serai boleh dijual hanya selepas 6 bulan ditanam. Gambar di atas adalah saki baki pokok serai yang masih boleh dijual setelah 2 tahun projek dimulakan.


Serai yang telah siap boleh akan dijual secara kilo atau batang. Kalau secara batang, lebih besarlah untungnya. Rosdan pernah kecewa apabila peraih yang berjanji untuk membeli serainya tidak menunaikan janji, namun rezeki di tangan Allah, permintaan dari penjual tempatan dan individu tidak pernah putus.



Pokok pisang abu boleh dijual antara 9-12 bulan ditanam.

Disekeliling kebun, pagar berarus letrik berkuasa bateri  dipasang untuk mengelakkan binatang liar seperti babi hutan dan monyet memasuki kawasan dan memusnahkan tanaman. Kerja memasang pagar dilakukan sendiri selepas mendapat tunjuk ajar dari petani lain.

Rosdan sedang memeriksa kekuatan arus letrik dengan menggunakan alat khas.

Tanah bekas ditanam serai, ditanam pula dengan jagung manis. Dua bulan sudah boleh dituai. Yakin boleh, Rosdan memajak tanah sawah untuk di tanam jagung dan pisang.  Sebanyak 200 batang pokok pisang abu dan 300 batang pokok pisang berangan kini sedang membesar.

Bergaya dengan anak-anak pokok kesayangan - pisang bersulamkan serai.

Sejak bertani dan bekerja sendiri, boleh dikatakan tiada stres langsung. Badan sangat sihat kerana berpeluh setiap hari. Tahap kolestrol turun dan tidak perlu lagi makan ubat darah tinggi! Agaknya, hari-hari memandang kehijauan pokok-pokok, mata pun tak perlu pakai cermin lagi!!




Lihatlah dunia!! Pokok jagungku sudah berbunga!!

Kalau dulu Rosdan mewakili syarikat melawat kilang lain, kini kebunnya pula menerima lawatan dari pihak yang berminat untuk menyaksikan sendiri kejayaan projeknya, biasanya dibawa oleh pihak Jabatan Pertanian. Rosdan pula tidak lokek memberi khidmat nasihat sekadar termampu.


Jagung bermutu tinggi sedia untuk dijual.

Kini 4 setengah ekar tanah diusahakan sepenuhnya. Setiap jenis tanaman silih berganti mengeluarkan rezeki buat Rosdan sekeluarga. Walau tidak pernah ditanya berapa untung berapa rugi, tapi melihat dan mendengar kesibukannya menyiapkan tempahan, tentu berbaloi berbudi kepada bumi. Dulu ada yang memandang rendah keupayaannya, sekarang ada yang mula iri dengan kejayaannya. Itulah manusiakan...

Tapi itu semua tidak sedikit melunturkan tekadnya. Insyaallah, Rosdan akan memulakan projek baru iaitu memajukan tanah seluas lima ekar lagi bulan depan.

Lucunya, bila ditanya apa yang menyebabkannya berminat dan berani untuk berhenti kerja dan terjun ke bidang pertanian tanpa apa-apa pengalaman langsung, dia cuma menjawab, " Nak rilek"!!

Ha, boleh percaya ke?




Thursday, February 11, 2010

bisnesku

Siapa suka makan rojak buah?? Semua suka ya... dah rasa Sos Rojak Buah Dato Bandar? Sudah... emm bagus.. Kalau nak tau sayalah tuan punya resepi rojak buah tu (diciplak dari biras yang baik hati dan kemudian di 'adjust' secukup rasa) maka lahirlah Sos Rojak Buah Dato Bandar, yang diambil dari nama taman perumahanku.
Resepinya nak tau jugak ke? Kenalah kasikan.. sebab kita pun tahu dari orang jugak.. he he

Untuk seperiuk besar sos, ni kira boleh buat kenduri punya saiz manusialah..
Bahan-bahan:-

2 botol besar kicap Tamin
1 paket 250g cili serbuk baba
1 kg sos cili kimball
3/4 kg gula merah
1 kg gula putih
1/2 bekas kecil petis udang (cap 2 budak)
1/2 bungkus belacan cap kereta lembu yang bentuk bulat (direndam dan ramas hingga hancur)
sedikit garam
2 sudu besar bijan
2 cawan air
kacang tanah goreng yang telah ditumbuk/blend kasar-kasar. Kalau suka campur bijan yang telah disangan/goreng.
Cara-cara membuatnya:-
Masukkan air dalam periuk. Biarkan mendidih baru masukkan kicap. Kicap dah mendidih baru masukkan cili serbuk. Pastikan cili tidak berketul-ketul. Masukkan bahan lain satu persatu kecuali bijan. Apabla sos dah nak sebati dan betul-betul mendidih, baru masukkan bijan. kacau lagi atas api perlahan sehingga sos nampak berkilat.
Jangan risau, sos ni tahan lama. Kalau masuk dalam peti setahun pun boleh tahan.
Tips nak makan rojak buah paling kick!
1) Bubuh kacang ketika nak makan. Kacang yang di kisar kasar-kasar akan terasa apabila dikunyah.
2) Untuk dapatkan buah yang rangup, saya tidak kacau buah dan sos, tapi dituang atau dicicah sahaja. Lebih elok kalau buah dipotong besar sedikit dan disimpan dalam peti sejuk. Kruk krak bunyinya..
3) Buah timun dan nanas amat mudah berair apabila telah disiram sos. Jadi eloklah buah timun dan nanas ni diletak bahagian atas mangkuk/bekas dan selepas buah yang keras seperti mangga, betik, jambu batu, kedondong atau jambu.
Tengok ni... berkala-kala. Sapa tengok tak terliur, tak taulah..
Lepas tu baru tuang kuah dan tabur kacang. Cucuk lidi jangan lupa pulak!!Beginilah yang saya buat setiap hari Isnin malam Selasa di pasar malam dekat dengan rumah. Harga RM2 sebekas. Sos pulak RM4.50 untuk 400gm dan RM2.80 untuk 280gm. (Macam gambar mula-mula tadi tu ha)
Ni.. aktiviti potong memotong buah-buahan, ketika baru tiba digerai.

Selain dari menjual rojak buah, saya juga menjual dadih pelbagai perisa buatan sendiri. Paling popular tentulah perasa coklat dan strawberry.. Cara membuatnya.. eh tak payah taulah, belilah aje ramuan yang siap banyak ada di kedai. Balik rumah, masak ikut arahan. Senang aje..
Sedang melayan pelanggan.. Selalu Farhan akan tolong set up gerai selepas Asar. Lepas siap potong buah, saya akan tinggal dia di gerai kerana saya ambil Farah balik sekolah petang. Lepas maghrib saya akan jaga gerai dengan suami pulak..
Yang bersusun tinggi dalam bekas plastik tu ialah dadih yang disimpan dengan ais. Tu kira tinggal sikitlah tu..sebab susun macam tu.. (Van belakang tu bukan I punya tau, orang sebelah jual air dan makanan goreng panas seperti cendawan goreng, pisang goreng dan vadee..)Nilah jiran sebelah kanan saya. Ramai betul pelanggan.. dia orang ni kira full time pasar malam people, I ni seminggu sekali je.. Ni pulak jiran sebelah kiri saya.. mek ganu.. jua nasi kerabu, nasi dagang, dan lain-lain.
Kakak ni pulak jiran depan gerai saya, yang juga jiran sebelah rumah saya. Dia jual aksesori wanita ( tapi ramai lelaki beli tau) dan jugak macam-macam beg.

Eh.. dah habis dah gambar.. Itulah aktiviti pasar malam saya. Selain dari tu, ada juga saya letak sos rojak buah dan dadih di kedai runcit dan retoran ataupun jiran tempah untuk kenduri kendara. Dulu ada juga bekal dadih ke kantin sekolah, tapi sejak harga susu melambung naik, tak sanggup saya.. yalah, jual kat bebudak sekolah mana boleh naik harga. Ndak tak ndak terpaksa saya stop dari menanggung rugi..