Ads

Wednesday, July 16, 2008

Pengalaman yang tak ingin ku lalui lagi






Jodohku hanya bertahan tiga bulan sahaja. Ketika kami berpisah, aku baru disahkan mengandung bulan ke dua. Berat rasanya menanggung derita alahan mengandung di samping meratapi ketiadaan suami secara tiba-tiba di saat aku amat memerlukan perhatian dan kasih sayang. Itu belum lagi pandangan serong masyarakat terhadapku dan tekanan diterima oleh ibubapaku yang baru menerima menantu pertama. Oh.. tak tertanggung rasanya..

Sepanjang bulan-bulan berikutnya, aku berjuang bersendirian, mencari rezeki buat mengumpul perbelanjaan bersalin. Ketika perut semakin membesar, aku terpaksa bekerja lebih masa untuk menampung perbelanjaan bulanan dan tabungan bersalin nanti . Aku berazam untuk tidak menyusahkan keluargaku yang telah sedia malu kerana anak ditinggalkan suami ketika inai masih merah dijari. Niatku ialah untuk mengadakan kenduri aqiqah sebaik aku bersalin.

Aku mengisi masa terluang di waktu malam dengan membaca al-Quran dan berjaya khatam sebelum aku bersalin. Aku tidak membenarkan diriku mengelamun atau mengenang nasib malang walau kadangkala airmata tak terbendung dari mengalir jua ke pipi. Ketika saat-saat sebegitulah, aku akan mengusap perutku dan mengatakan aku tidak akan sekali-kali melakukan perkara yang akan menjejaskan emosi anakku nanti. Aku tahu bahawa Allah sedang mengujiku dan sudah pasti mampu melepasi ujian itu.

Bulan kesembilan aku memohon cuti awal seminggu dari tarikh jangkaan bersalin kerana mahu mendapat persediaan mental dan rehat secukupnya. Keluarga mertuaku mahu aku tinggal dirumahnya sedangkan aku teringin berpantang di rumah keluargaku sendiri tetapi ibuku masih bersikap dingin terhadapku. Aku buntu sehingga ke minggu-minggu akhir aku masih belum membuat keputusan walaupun pemeriksaan berkala mengandung aku lakukan di bandar Banting.


Ayan berusia 2 minggu, pada hari cukur jambulnya.




Pada pemeriksaan di Hospital Daerah Banting, aku mengesan cairan darah telah mula keluar. Jururawat memberitahu bahawa aku mungkin akan bersalin pada satu atau dua hari lagi. Adikku yang menemani ketika itu mula panik manakala aku pula masih tidak tahu mahu bersalin di mana. Petang itu, kami pulang ke Klang dengan menaiki bas dan adik terus memberitahu ibu tentang keadaanku tanpa pengetahuanku. Tanpa berlengah lagi ibu memaksaku ke hospital berdekatan dan kami bergegas ke hospital menaiki kereta jiran. Sampai di hospital, baru aku sedar yang kad rawatan tidak ku bawa bersama dan terpaksa menelefon bapaku di rumah yang keberatan untuk menghantarnya ke hospital. Hampir tengah malam bapa tiba di hospital sambil marah-marah. Waktu itu, aku hanya berserah kepada Yang Maha Esa kerana Dia sahaja yang Maha Mengetahui apa yang kualami pada saat itu.

Nasib menyebelahiku, apabila hospital tersebut tidak menghalang aku bersalin di sana walaupun aku tidak berdaftar di situ. Aku terus dimasukkan ke wad. Dua malam kemudian barulah aku benar-benar sakit bersalin setelah air ketuban ke pecah pada sebelah beberapa jam sebelum itu. Ketika akan di bawa di bilik bersalin jururawat bertanya di mana suamiku, lantas ku jawab ‘out station’ untuk memendekkan cerita. Jadi jururawatlah yang menyiapkan keperluanku kerana tiada sesiapapun menungguku.

Alhamdulillah, tarikh keramat 13 November 1991, Allah permudahkan aku bersalin walaupun agak lama menunggu tetapi aku tidak menghadapi sakit bersalin yang panjang dan bayi seberat 3.2kg itu pun dilahirkan dengan mudah tepat jam 11.05malam. Sekali lagi jururawat bertanya suamiku ketika aku dibawa ke wad selepas bersalin dan sekali lagi aku terpaksa berbohong dengan mengatakan bahawa suamiku bekerja di luar negara.





Sicomel pujaan ramai ketika berusia setahun.

Jika selama aku mengandung aku dapat bersikap kental dan tetap bersemangat kuat tetapi selepas bersalin, semangatku seolah-olah hilang bersama-sama keluarnya bayi dari rahimku. Aku teramat mahukan kehadiran suami untuk mengendong dan mengazankan anakku. Tubuhku terlalu lemah namun mataku tidak lepas-lepas memandang ke pintu mengharapkan orang yang membuka pintu itu adalah suamiku walau ku tahu itu tidak mungkin terjadi. Pilu dan sayu amat terasa melihatkan suami orang lain membelai isteri dan mengazankan anak mereka dengan penuh kesyukuran. Ingin mulutku memohon dari suami mereka supaya sudi mengalunkan azan di telinga anakku namun lidahku terasa kelu. Hanya airmata menemaniku sepanjang malam. Sicomel Muhammad Nurfarhan seakan mengerti keadaanku hanya nyenyak tidur hingga ke subuh. Aku dimarahi jururawat kerana tidak mahu makan dan minum buat menyambung tenaga tapi aku tidak punya kekuatan walau untuk mengangkat tangan. Semangatku luruh dan melayang entah kemana.

Selepas subuh keesokan harinya, aku melangkah lemah ke telefon awam berdekatan untuk menghubungi ibuku memberinya khabar yang dia telah menjadi seorang nenek. Sungguh, aku tidak mengharapkan apa-apa reaksi pun darinya. Rupanya, dia bergegas datang dan seolah-olah kasih sayangnya melimpah ruah sebaik melihat wajah cucu sulungnya itu. Itulah cucu kesayangannya yang dipanggil ‘Hakim’.



Ragam ayan bergambar dengan ibu, abah, Farah dan Firdaus ketika berumur 4 tahun.

17 tahun berlalu, kini anakku membesar didepan mata sebagai anak yang bijak dan amat menyayangiku. Aku dapat merasakan ikatan batin yang amat kuat antara kami lantaran pengalaman yang kami lalui bersama. Pengalaman yang teramat mahal yang tak ingin kulalui lagi. Kini aku telah pun mempunyai dua orang cahaya mata lagi dan suami yang penyayang dari perkahwinan keduaku.

Kepada ibu-ibu yang senasib denganku, jangan cepat mengalah kepada keadaan. Sesungguhnya anak dalam kandungan merupakan tunggak kekuatan dan jangan izinkan kekecewaan dan putus asa bersarang dihati.. Curahkan kasih sayang kepada anak dan jangan sekali-kali menyalahkan takdir. Jadikan al-Quran sebagai teman setia sepanjang masa suka dan duka terutama ketika mengandung. Percayalah, jiwa akan sentiasa tenang dan tentunya akan ada sinar menanti di hujung jalan.



Saat istimewa kami di Jabal Rahmah ketika menunaikan umrah pada tahun 2004 , Ayan berumur 14 tahun..

p/s ; niat menulis artikel ini bukan untuk riak atau ujub tapi sekadar renungan dan kenangan pembaca juga untuk mengasah bakat penulisanku. Posting ini telah ku hantar ke majalah MIDI untuk ruangan Hati Seorang Ibu

1 comment:

rinnchan said...

Salam ida (Janggal laaa nak panggil Che Mid..!!!),
Aisey..dah berbulan di alam maya baru nak report kat kita ekk.. Wah, padat berisi setiap nukilan. Hasil karya tanpa sempadan..tak terbanding dengan ruangan maya kita yg terbatas soal dapur dan masakan. Memang itu pun niat asal..ingin buat diari masakan di samping sedikit karya atas minat di bidang fotografi.
InsyaAllah akan terus mengikuti perkembangan semasa ida di ruangan ini...wassalam.