Ads

Showing posts with label memori. Show all posts
Showing posts with label memori. Show all posts

Friday, July 15, 2011

Dah Eksiden Pun Relak Je

Suatu pagi Jumaat di Klang.

Di kampung Che Mid, Meru, ada pasar minggu setiap Jumaat pagi. Dari Che Mid kecik dah ujud pasar ni, cuma sekarang dah berubah lokasi dan bertambah besar. Kalau Che Mid balik kampung dan kebetulan hari Jumaat, memang tak miss la nak berkunjung ke pasar tu..

Dalam kereta balik dari pasar Jumaat. Ayan memandu, Faris duduk depan. Che Mid, mak nenek dan Deeja duduk di belakang. Mak nenek ajak singgah ke rumah sahabatnya kerana ada urusan sedikit. Sejurus selepas itu, kami bergerak ke jalan besar untuk balik ke rumah.

Jalan Meru sekarang ni memang teramat sibuk terutama waktu puncak. Kalau tak berani memang terpaksa menunggu lama sebelum melintas. Kami mahu melintas ke kanan. Satu persatu kenderaan berlalu. Ayan terus menunggu sambil bersedia untuk 'celok' ke kanan jika ada peluang.

Di seberang jalan, ada satu kelisa juga stenbai untuk melintas, tapi Ayan tak peduli atau mungkin tak perasan. Pandangan ke dua-dua pemandu (Ayan dan pemandu kelisa) betul-betul tertumpu pada trafik dan cuba melintas sebaik berpeluang.

Ada satu lori besar, nampak macam tak berapa laju.. jadi Ayan pun terus pecut ke depan dan belok ke kanan. Pada masa yang sama, si kelisa tu jugak bergerak laju ke tengah jalan ( nasib baik menghala ke kiri ). Satu nak ke kanan, satu nak ke kiri. Hampir bertembung di tengah jalan! Che Mid menjerit sekuat hati tapi Ayan cuma mampu mengelak dan terus bergerak ke kanan. Tak boleh berhenti mengejut sebab lori besar semakin hampir ke arah kami. Akhirnya, kedengaranlah bunyi kuat.. Dah kena dah...


Kami pun berhenti di tepi jalan dan bertemu dengan pemandu kelisa tu. Kedua-dua kereta rosak sedikit. Kami sama-sama mohon maaf atas kelalaian dan mengaku dah tak boleh nak elak... masing-masing setel sendiri,

Anakku Faris - Sebelum kemalangan, Faris asek membuta je dalam kereta, tak peduli apa jadi.. Masa kami berbincang dengan pemandu kelisa tu, dia tak peduli.. tiduuuur....


Tiba di rumah, Che Mid tanya Faris, " Faris tadi tak nampak ke kereta kelisa tu? Kan Faris duduk depan.." 
Faris menjawab dengan penuh keselambaan, " Faris tadi kan tidur.. Lepas tu Faris dengar ibu menjerit, Faris pun bukak mata.. nampaklah kereta kelisa kat depan.. aaah.. ni mesti eksiden lagi la ni,..Faris pun tidur baliklah..." Aitt! Orang macam ni pun ada ke !

Monday, May 23, 2011

Kami Dah Sampai..

Suatu hari di hujung minggu.. dapat panggilan dari sahabat baik yang juga jiran belakang rumah di Klang.

Kak Ita    -  Mid, akak ada kat Arau, antar Aisyah balik UiTM. Petang akak nak balik Klang. Kalau sempat akak singgah rumah Mid ya..

Che Mid   -  Mesti datang tau.. makan tengahari kat sini tau. Kita masak ya.. (seronok yang amat)

Kak Ita     -  Eh, tak payah susah-susah.. jangan masak-masak, akak pun tak pasti sampai pukul berapa..sekarang masih di Perlis lagi, nak ronda-ronda sini dulu..

Che Mid   -  Tak kira pukul berapa .. datang jugak tau..Sebelum sampai nanti call dulu.. nanti mid bagi tau jalan nak ke rumah.. susah sikit nak ke sini..nanti Mid sms alamat ok..

Kak Ita     -  Ok.. ok.. Insyaallah.

Wah.. teruja sangat kawan dari kampung datang. Tapi sebab tak pasti pukul berapa sampai, Che Mid cuma siapkan stok mee goreng. Cadangnya. bila Kak Ita call aje nanti, barulah Che Mid masak dan hidang panas-panas.

Lepas Zohor, masih tak terima apa-apa panggilan lagi. Teringatkan lauk pauk untuk esok dah habis, Che Mid pun ajak Che Abang ke Tesco dulu. Kalau Kak Ita call nanti, sempatlah kita balik rumah. Tesco tu tak sampai 10 minit dari rumah pun.

Kami pun bergegas capai barang itu ini, sambil 'standby' panggilan dari Kak Ita. Tiba-tiba, panggilan yang ditunggu-tunggu pun tiba.

Kak Ita   -  Mid, AKAK DAH SAMPAI DEPAN RUMAH NI!! NAPE BAGI SALAM TAK JAWAB!!

Che Mid berpandangan dengan Che Abang, camne ni.. barang penuh kat troli.. orang beratur panjang di kaunter..

Che Mid   -  Err,  Mid kat Tesco ni, nape tak call dulu tadi..  (Eleh.. nak salahkan orang pulak..)

Kak Ita     - Ala .. ok je, alamat yang Mid bagi dah lengkap dah, akak ikut je arahan tu.. dah sampai pun. Mid lama lagi ke, tak pelah, akak balik dulu, lain kali datang  lagi..

Menyesal tak sudah Che Mid dibuat. Che Abang kata, " Macaman buat janji ni...??

Sampai depan rumah.. ada sesuatu menunggu kami pulang..


Tak jelas.. meh tengok dekat-dekat..




"Kami dah sampai.. balik dulu ya.."

Tuesday, May 10, 2011

Tiada Lagi Ucapan Selamat Hari Ibu


 Ramainya orang berkunjung ke rumahku.. maafkan aku kerana tidak menyambut kalian...

 Suamiku Mohd Yusuf yang dicintai.. masih belum puas hidup denganmu namun terbukti kini.. cinta kita hingga akhir hayat..ampunkan dosa-dosaku, halalkan makan minumku, redhakan pemergianku..ku nantimu di pintu syurga

 Putera puteriku - Firdaus, Aisyah, Nurul.. usah ratapi pemergian mama ya sayang..Jaga diri baik-baik dan doakan mama aman di sana..

Anakku Adha - usah termenung panjang sayang. Jadilah anak soleh.. jumpa mama di syurga nanti..

Ini aku.. terkapar kaku.. tidak berdaya.. mohon percepatkan urusanku bertemu Penciptaku..aku tak sabar mahu bertemuNya..

 Sudah tiba masanya aku berangkat pergi - Selamat Tinggal!!

 Pandangan terakhir dari dunia fana. Sampai ketemu lagi di Mahsyar..

Al Fatihah buat Puan Siti Zaleha binti Abdullah, yang telah berangkat ke alam barzakh pada hari Jumaat, jam 3.30 pagi 22 April 2011. Meninggalkan suami dan 5 orang cahaya mata berusia 15 hingga 20an. Allahyarhamah tidak sedarkan diri ketika bertugas akibat darah tinggi dan menghembuskan nafas terakhir di sisi suami dan semua anak-anaknya 3 hari selepas itu... tanpa sepatah kata..

Takziah untuk pakcikku dan sepupu-sepupu tersayang. Cubaan ini teramat besar untuk kalian hadapi, tapi inilah ketentuan Ilahi yang pasti. Tidak pernah terlewat walau sedetik..

Sunday, November 7, 2010

Cliffordian Reunion (1968 - 1973)

Semalam, 6 November 2010, telah berlangsung majlis pertemuan semula rakan sekelas Che Abang dari Sekolah Rendah Clifford, Kuala Lipis, Pahang. Pertemuan 'jejak kasih' itu telah diadakan di sebuah kelab di Melawati, Kuala Lumpur. Acara bermula dari jam 2 petang dan berakhir pukul 6 lebih. Lebih kurang 50 orang hadir termasuk Che Mid dan Deeja.

 Beberapa orang rakan sekelas telah bekerja keras mencari rakan-rakan lama melalui facebook.  Che Abang yang tak berapa aktif, turut 'ditemui' melalui facebook. Dia yang selalu tak berapa pandang facebook, akhirnya tersenyum sumbing sendiri  depan laptop apabila melihat gambar sahabat-sahabat yang jauh 'berubah' dari kurus macam lidi menjadi kembang setaman. Jenuh membelek gambar masa sekolah.. kompe dengan gambar sekarang.. sambil mengingat nama dan rupa..

Darjah 1 - 6, dari tahun 1968 hingga 1973. Hi hi.. masa tu Che Mid masuk 2 tahun, Che Abang dah darjah 1..he he. Sekarang ni masing-masing dah masuk 50 tahun. Jom tengok macamana mereka bertemu semula selepas berpuluh tahun..

Lencana sekolah Clifford

Guest of Honor - Mrs Yap, guru Bahasa Inggeris sekolah rendah. Kebetulan, anak Mrs Yap tu sebaya dan satu kelas dengan dia orang tu, jadi senanglah nak jemput cikgu datang sekali. Acara berlangsung sangat santai.. lebih kepada beramah mesra sesama sendiri.


 Dari kiri - Fauzita Hanim, Zabedah, Norlida, Che Abang dan Hashim Man aka Ubi.

Ubi sekarang jadi Pemandu Pelancong di Taman Negara. Hey.. baru perasan.. dia pakai T-SHIRT CLIFFORD!! Cikgu Norlida yang pakai tudung pink tu masih tinggal di Kuala Lipis. Kami pernah ke rumahnya dua kali tapi tak de di rumah.

Dari kanan - Bakhtiar Nor (orang kuat majlis), Ahmad Kamel yang dipanggil Camel, Che Abang, Rashimah, dan isteri Ahmad Kamel. Bakhtiar menang Best Entertainer dan Best Dress yang bertemakan Bollywood.

   Dari kiri - Che Abang,  Ahmad Kamel, Rosniza, Siti Juanita, Norlida dan Che Mid

  Che Abang, Siti Juanita dan Rosniza memang gang masa di sekolah dulu. Selalu stadi sama-sama. Sorry ya, yang di belakang tu.. Che Abang tak ingat nama. Masa kat function tu.. kan bertampal nama di baju tak teringat nak nak membacanya... borak sakan tapi nama tak ingat.. hiss..

 Che Abang dan Ho Lai Peng.


 Sate menjadi hidangan utama..sedap..

 Ubi rebus cecah kelapa parut dan gula merah.. memang menggamit memori..


 Cucur udang dan bubur pulut hitam pun sedap jugek..

 Ha ini rendang yang dibawa khas dari Lepih.. siap dengan pulut bungkus.. tapi Che Mid tak sempat ambik gambar .. dah habih..

 Para tetamu mula menjamah hidangan.


 Mrs Muzamil, Mrs Iskan and Mrs Fazli berkenalan dan bermesra semasa suami masing-masing sibuk dengan rakan lama.


 Anak Iskan, anak Fazli dan anak Muzamil


Tidak ketinggalan acara karaoke - Yohanis dan Shukri. Ada yang sukarelah, ada yang paksa rela..

Bergambar kenangan sebelum pulang. Sampai jumpa lagi dilain masa. Majlis yang ringkas tapi bermakna. Tahniah pada penganjur dan tetamu!!

Saturday, May 9, 2009

Salam Hari Ibu buatmu di alam barzakh

Hari Ibu disambut di seluruh dunia pada setiap bulan Mei. Namun mulai tahun ini, bulan Mei ini juga akan dikenang sebagai hari pulangnya ke rahmatullah, 'bekas' ibu mertuaku, Puan Hajjah Rokiah bt Haji Saion pada hari Khamis, 7 Mei 2009.
Mak adalah ibu mertuaku ketika aku menjadi isteri kepada anaknya, Norazman, yang juga ayah kepada Farhan. Aku pernah tinggal sebumbung dengan Mak sehingga aku melahirkan Farhan pada 1991. Memang banyak suka duka yang kami lalui bersama sepanjang tempoh tinggal bersamanya. Izinkan kucoretkan sedikit kenangan bersama arwah Mak berdasarkan ingatan terhadap wanita berhati mulia ini.
Mak meriba Farhan ketika berumur setahun. Inilah satu-satu gambar Mak yang aku simpan.
Mak dilahirkan pada 26 Februari 1943 di Banting, Selangor. Mak mempunyai tiga orang anak iaitu Kak Ina, Azman dan Zali. Azman, ayah Farhan, telah meninggal dunia pada tahun 2002. Suami Mak pula meninggal dunia setahun sebelum itu. Mak masih mempunyai ibu yang telah uzur dan sangat tua.
Mak merupakan isteri pertama kepada suaminya yang mempunyai empat orang isteri. Mak pernah bercerita tentang bagaimana siksanya ketika mula-mula dimadukan. Pernah memohon berpisah dari suami, tetapi suaminya menyatakan bahawa walaupun apa pun berlaku, ia tidak akan sekali-kali menceraikan Mak. Terbukti, memang Abah terus hidup bersama Mak hingga ke akhir hayatnya. Ternyata, cinta pertama bertahan hingga ke mati.
Madu keduanya tinggal serumah dengan Mak bersama tiga orang anak kerana dia tahu, suaminya akan tetap pulang ke rumah itu. Dua lagi madunya tinggal di Bukit Cheding dan Negeri Sembilan. Kalau tak silap, Abah mempunyai 16 orang anak dari empat isteri-isterinya.
Mak melayan Abah dengan penuh setia dan taat. Walau apa yang Abah lakukan Mak tetap menghormati Abah sebagai suami. Dia akhirnya redha dan akur dengan takdir dan ujian Allah swt anugerahkan kepadanya. Ketika Abah bersama Mak, Abah akan dilayan bagaikan Raja. Aku pernah bertanya, " Macamana Mak hadapi semua ini?", Mak kata, " Bila Abah di rumah Mak, dia adalah suami Mak. Tapi bila dia keluar rumah, dia bukan suami mak lagi."
Untuk menampung kehidupan, Mak membuka gerai makanan. Awal pagi Mak bangkit dari tidur untuk menyediakan kuih muih jualan. Selepas Subuh Mak akan mengayuh basikal ke gerai di seberang jalan. Mak tahu, dia tidak boleh bergantung kepada pendapatan suami yang tidak menentu ditambah dengan 'keluarga besar' Abah.

Farhan bermanja dengan Zali, pakcunya. Gambar ini diambil pada tahun 1992
Mak terlalu sayangkan anak-anaknya. Dengan cara tersendiri Mak mendidik Kak Ina, Man dan Zali. Pada merekalah Mak tumpahkan seluruh kasih sayang. Anak-anaklah menjadi saksi dan penawar penderitaan Mak, dan anak-anak jugalah penguat semangat Mak untuk terus hidup.
Mak juga menjaga beberapa orang anak tirinya yang kadangkala tinggal bersama. Aku masih ingat lagi, Mak menjaga dua orang anak tirinya ketika bersunat. Salah seorang dari mereka tertumpahkan air minuman. Lantas Mak mengelap air di atas lantai tanpa marah sedikit pun. Begitulah mulianya hati Mak. Memang, sekali sekala Mak mengeluh dan mengadu penat dan kesempitan itu dan ini. Tapi Mak tidak sekali-kali membenci anak-anak tiri atau madu-madunya. Mak menerima seadanya dan seboleh mungkin tidak mahu mengambil tahu hal-hal mereka. Malah, peliknya bila Abah pula yang mengadu tentang mereka pada Mak.... dan acap kali juga Mak yang menghulurkan bantuan pada Abah untuk menyelesaikan masalah mereka!
Sepanjang aku tinggal bersamanya dulu, tidak pernah sekalipun aku mendengar anak-anak meninggikan suara pada Mak atau Abah. Begitu juga dengan anak-anak tiri Mak. Kak Ina dan keluarganya tinggal dengan Mak sehingga sekarang. Zali menetap di Shah Alam. Aku dapat melihat Kak Ina dan Zali berkhidmat sebagai anak hingga ke saat-saat akhir hidup Mak. Mereka suami isteri menjaga Mak di hospital, membaca yasin, memandi dan mengafankan Mak. Sentiasa di sisi jenazah hingga ke liang lahad. Mereka berdua memang terlalu akrab dan terlalu sayangkan Mak.
Kusedar kini bahawa bukan bilangan anak yang banyak boleh menjamin kebahagiaan seorang ibu. Didikan ibu itulah yang menentukan anak akan disamping waktu susah senang, tika hidup atau menghampiri malaikal maut. Bukan kuantiti tapi kualiti.
Selepas Abah meninggal, aku percaya Mak menumpukan banyak masa Mak dengan beribadah dan bermesra dengan cucu-cucunya. Ketika Mak menunaikan haji di Mekahlah, anak keduanya meninggal dunia. Semenjak itu jualah, hubunganku dengan Mak bersambung kembali sejak aku berpisah dengan anaknya. Sejak itu jugalah Mak dapat bertemu kembali dengan Farhan - cucu yang terlalu dirinduinya.


Kini Mak pergi buat selamanya diusia 66 tahun. Allah swt memberi Mak sakit cuma tiga hari. Mak pitam setelah mengadu sakit perut. Dua malam di hospital lalu Mak menghembuskan nafas terakhir ketika anak-anak mengalunkan Yaasin di sisinya. Begitu mudah dan barokah!. Begitu jua ketika pengebumian - tiada yang tertangguh. Sejurus meninggal waktu tengahari, Mak dimandi dan dikafan di Hospital Besar Klang, terus di bawa ke Banting dan disolat jenazah dan ditahlilkan dikelilingi madu-madu, anak-anak tiri, adik-adik dan saudara mara. Mujur, aku dan Farhan sempat tiba sejurus sebelum jenazah diusung. Kucium pipi dan dahi Mak. Kulihat Mak begitu tenang dan polos, bagai tidak sabar mahu ke 'sana'. Menjelang 6 petang, Mak selesai disemadikan tidak jauh dari tempat suami dan anaknya.
Tidak banyak airmata yang mengalir walau terkejut dengan pemergian Mak secara tiba-tiba. Seolah-olah redha dan merestui Mak dijemput Ilahi. Innalilahi Wainnahiroji'un. Al - Fatihah.


Tuesday, April 28, 2009

Kenduri kesyukuran - Sabtu, 18hb April 2009




Bila orang tua berhajatkan sesuatu, saya percaya, sebagai anak, kita berkewajipan menunaikan hajat itu sedaya upaya kita. Selagi tidak tertunai, rasanya, seperti ada sesuatu yang tak selesai dan sekiranya berlaku apa-apa pada mereka takut kita dihantui sesalan tidak berkesudahan.





Kerana itulah, apabila abah mertua menyuarakan hasrat untuk menyambut ulangtahun perkahwinan ke 50, saya dan suami bersama-sama cuba menunaikannya dengan sokongan adik beradik lain. Walaupun tertunda agak lama, (genap 50 tahun perkahwinan pada November 2008), kami bersyukur majlis berlangsung seperti yang dicita-citakan. Kami berusaha agar majlis berlangsung meriah yang akan menjadi kenangan emak dan abah.


Tarikh asal pada 4hb April 2009 ditunda seminggu kemudian kerana Ateh sekeluarga tidak dapat hadir pada tarikh tersebut. Pada tarikh itu jugalah saya ditimpa kemalangan kereta. Nasib baik bertukar tarikhkan.. jika tidak, rumah berkenduri, tuan rumah terlantar di hospital!!



Sekadar untuk membangkitkan 'mood', gambar-gambar lama emak dan abah yang saya pamerkan di ruang tamu. Kad jemputan kepada jiran-jiran juga siap tertera gambar persandingan emak dan abah.




Manakala di luar khemah pula saya cucukkan beberapa batang bunga manggar berwarna hijau dan putih. Bunga sepit udang yang banyak di sekitar kampung pula saya jadikan hiasan meja tetamu dan juga di dalam rumah. Terima kasih adik Nor atas pertolongannya menjadi 'driver' tak bergaji kepada saya yang 'patah kaki' untuk ke sana ke mari lantaran kereta terlantar di bengkel.


Selain itu, majlis ini turut diadakan sebagai tanda kesyukuran saya sekeluarga selepas musibah kemalangan tempohari, juga sekalian meraikan harijadi Farah dan Faris yang ke 14 dan 13. Juga ahli keluarga lain yang harijadinya jatuh pada bulan Mac dan April.


Warna tema dipilih ialah warna hijau dan putih. Maksudnya, warna pakaian, khemah, kek, pulut kuning dan lain-lain kena sedondon hijau putihlah...




Saya menjemput dua kumpulan marhaban. Kumpulan pertama diketuai oleh Wak Usu Rahimah (berbaju merah) yang mempunyai kumpulan kompangnya sendiri. Ahli kumpulan pula ramai yang veteran seusia dengan emak dan abah. Manakala kumpulan kedua (berbaju hijau) pula ialah kumpulan saya sendiri yang bertindak lebih menjadi 'back up' saja pada malam itu.



Kehadiran memang ramai. Lihatlah sendiri... penuh sesak ruang di dalam rumah. Di luar pula disediakan dua khemah untuk menjamu selera. Oleh kerana tetamu di luar jangkaan, kami terpaksa membentang tikar di luar pintu masuk untuk menyediakan tempat duduk ahli marhaban. Sukanya saya hanya Allah yang tahu. Hilang sekejap rasa sakit saya...






Sebelum kumpulan marhaban tiba, terlebih dahulu majlis tahlil diadakan oleh jemaah surau selepas Maghrib. Saya menjemput mereka kerana merekalah yang telah mengadakan solat hajat ketika saya di hospital tempohari. Setinggi terima kasih buat ahli surau!! Alhamdulillah ramai yang sudi hadir, tetapi tiada foto kerana lampu khemah tidak dapat berfungsi ketika mereka menjamu selera. Nasib baik tahlil diadakan di dalam rumah.. Dah nak masuk waktu Isya' barulah api terpasang. Nasib baik ada Min dan Acam jadi 'mcguyver'!!








Abah memilih untuk bersama-sama kumpulan marhaban dari awal hingga akhir. Disebabkan ruang yang sesak, abah dan emak bagai benar-benar 'diraikan'. Paluan kompang dan laungan selawat bergema di seluruh pelusuk rumah. Kegembiraan dan kesyukuran jelas terpancar di wajah abah. Saya tahu, abah 'menyaksikan' keceriaan ini dengan mata hatinya walaupun dia tidak dapat melihat dengan mata kasar.




Selesai berzanji, bermarhaban dan bernasyid, saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada para tetamu yang sudi meraikan majlis abah dan mak, juga sekaligus mendoakan kesembuhan saya. Saya juga berkata, "... dan yang paling gembira tentulah yang diraikan iaitu ibu dan bapa mertua saya". Lantas saya memanggil semua anak menantu dan cucu-cucu untuk masuk ke dalam rumah. Sebelum emak dan abah memotong pulut, saya ceritakan serba sedikit detik pertemuan dan pernikahan mereka. Seorang berasal dari Negeri Sembilan, seorang lagi berasal dari negeri Pahang tetapi dijodohkan di Singapura.
Kemudian emak dan abah memotong pulut hijau yang disediakan oleh Alang dan keluarganya. Oleh kerana mahu mengikut konsep, Alang menukar warna kepada hijau yang boleh dimakan bersama rendang ayam atau kuah durian.

Saat manis.. saling menyuap pulut hijau. Abang memerhati sambil tersenyum lebar. Emak dan abah turut memakai persalinan serba hijau yang saya beli siap. Kasihan mak, baju corak songket hijau tua sedang elok dipakai tapi kain.. tak boleh nak kancing pinggang.. Abah nampak ok dengan baju teluk belanga hijau pucuk pisang dan kain pelekat petak-petak hijau dan kelabu. Lupa pulak nak tanya, masa dia orang sanding dulu.. pakai baju warna apa? Tengok gambar lama tu.. hitam putih je..




Acara seterusnya merupakan 'kezutan' dari saya dan suami. Saya meminta suami mengeluarkan sesuatu dari poket baju Melayunya dan menyuruh abah memegang kemudian memberitahu apakah itu. Abah bergurau sambil berkata, " cincin tanda!". Ia memang sebentuk cincin emas bertatahkan mutiara. Lalu abah sarungkan ke jari manis mak. Sedang elok muatnya...





Emak dengan berbesar hatinya menggayakan cincin. Nampak maniskan!! Harap-harap emak sukakanya.






Inilah anak-anak tersayang. Dari kiri Mohd Mastura (Acam), Fadilah ( Alang), emak, abah, suamiku Fazli (Abang) dan Rosdan (Ateh). Seorang lagi anak, Lubis, tidak dapat hadir kerana isterinya kurang sihat. Seorang lagi anak mereka, Mohd Akbar, meninggal ketika kecil.




Isteri Ateh, La, menyampaikan hadiah kepada emak dan abah sewaktu sesi santai selepas makan.Diikuti dengan acara makan beradap di khemah utama. Empat pasang anak menantu bergambar kenangan bersama emak dan abah. Pengapit 'pengantin' pula ialah dua besan. Duduk kiri ialah bonda tercinta saya dan di sebelah kanan pula ialah bonda tersayang La. Gubahan santapan beradap direka oleh Kak Edah, jiran sejatiku. Terima kasih daun keladi ya..



Jom makan!! Menu utama ialah lontong (kegemaran mak mertuaku), daging Palembang, kuah kacang, rojak buah yang disediakan oleh pihak saya. Mee hoon tom yam dibuat khas oleh jiran saya Normah. La dan Ateh membawa kuih muih - karipap dan kuih talam keladi. Ada juga jiran-jiran yang turut bersedekah kuih muih lain.




Kelihatan para tetamu menjamah juadah. Kak Ita, jiran belakang rumah saya, menaja sebakul besar buah jambu air yang dipetik dari pokok tepi rumah selain dari jambu batu, betik, nanas dan mangga yang sedia dah dibeli. Seronok sakan situkang potong buah, rancak memotong sambil menyuap rojak... ditambah borak-borak dan bergurau senda..sedar-sedar dua dulang besar rojak buah.. Ha, sape nak menghabiskannya!! Jawab.. jawab...






Para tetamu makan sambil bersimpuh di atas tikar.




Ada juga yang lebih selesa makan di bawah khemah.. Seronok sungguh tengok tetamu makan sambil bercerita itu ini. Ada juga yang mengucapkan tahniah kerana mengadakan majlis seperti ini untuk emak dan abah. Saya katakan, tiada yang lebih membahagiakan selain dari dapat melihat kegembiraan di wajah mereka. Itu sudah cukup menghilangkan rasa penat dan sakit yang dialami.


Ni Acam dengan Ateh penat rewang ke!!. Ateh paling sibuk menjadi 'front manager'. Air bandung ais campur aiskrim soda buatan kak Edah memang laris di pasaran... tiga kali tambah you!! Keadaan cuaca yang panas berbahang menambah kesedapan minuman!!. Ateh juga yang mengarah anak-anak buah mencuci pinggan dan cawan yang sentiasa kehabisan 'stok'!!



Farhan khusyuk mencuci pinggan. 'Porch' jiran sebelah bertukar menjadi tempat mencuci tanpa izin!! Jangan mare!!





Haziq, anak adik Nor pun tolong jugak. Ramai lagi yang menolong cuma tak tertangkap dek lensa kamera.Pandangan di meja makan.. Dimanakah aku?.. Nak makan pun tak sempat.. begitulah adat menjadi tuan rumah..




Saya dan adik-adik 'tulang belakang' majlis. Kiri - Acik dan kanan Nor. Kesuwon atas pertolongan Acik dan Nor dari petang hingga ke malam. Perasan tak mata saya yang masih lebam akibat kemalangan.. tapi happy tetap happy!!


Seperti yang dinyatakan awal tadi, majlis ini diadakan pada awalnya adalah untuk meraikan 'bedday' dua orang anak saya. Farah genap 14 tahun pada 6 April dan Faris pula pada 9 April. Faris terpaksa menukar baju dari hijau ke hitam sebab baju dah basah kuyup sebab cuci pinggan...



Juga 'bedday' suamiku, 26 Mac dan Ateh 23 Mac. Juga beberapa orang lain lagi. Maaf gambar tak terambil...






Inilah rupa kek yang ditempah khas dari fp lynndaza. Ayu yang design kek tu. Saya kata mesti ada upin & ipin atas kek.. Emm.. bila dah siap.. ghupe-ghupenya.. gambar sedara mare upin ipin pun ada...he he









Saya sediakan meja bufet khas untuk kanak-kanak. Sosej, nugget, coleslaw dan kek cawan antara hidangan khas untuk budak-budak kecik.. Oops.. aiskrim Malaysia pun ada. Saya tempah 100 batang dari Ruzzi habis dengan begitu pantas sekali. Dengar kabarnya.. ada yang songlap penuh tangan dan cabutttt!!.. ok lah tu.. janji makan..








Adik-adik makan ya.. jangan malu-malu!!





Farah sangkutkan teddy bear dan patung-patung lamanya di pokok berhampiran meja bufet.


Cenderahati berupa muffin dan goodies lain disediakan oleh Acam dan Ayu. Sepatutnya untuk cukur jambul si Azyan, anak mereka, tapi Ayu tak mahu baby di potong jambul sebab sebelum ni dah dibotakkan kepalanya..


Jadi si comel Azyan ni diarak dihadapan orang marhaban tu sekejap. Jadilah...


Kad 'Wedding Anniversary' untuk tatapan Wan dan Atuk dari anak cucu sekalian alam. Moga Atuk dan Wan dikurniakan kesihatan, umur yang panjang dan dimurahkan rezeki hendaknya.



Makcik-makcik dan sepupuku pun sudi hadir juga. Siap tolong 'top up' air nescafe lagi.. mesti ummph punya lah..



Aidil dan Atiq menikmati hidangan di tepi jalan, di bawah lampu neon..






Adeeb tengok apa tu??



Anak-anak Lubis pun nak makan jugak. Walaupun ibu dan ayah mereka tak ikut, tapi Najmi dan Daniel pandai bawak diri..


Orang terkuat seantero dunia sedang menyental kuali. Adikku dan ibuku.. sibuk memasak di dapur.. eh.. bukan.. di belakang rumah..



'Photo of the nite' - Tentunya aksi saya dan emak mertua menggigit aiskrim.

Itulah dia kenduri kesyukuran kami pada hari Sabtu malam minggu, 18hb April lalu. Kami sekeluarga berkemas sehingga jam 2.00 pagi. Ahad pagi, kami sambung berkemas lagi termasuk memulangkan barang-barang yang dipinjam dari surau dan jiran-jiran sehingga siap menjelang Zohor.
Tengahari itu juga emak dan abah bertolak pulang ke Kuala Lipis bersama Ateh. Saya pula bersiap untuk ke Kem PLKN Kuala Kubu Baharu untuk tugasan baru. Alhamdulillah, Allah permudahkan segalanya dari awal hingga akhir, walaupun dengan keadaan sakit dan sukar bergerak, majlis berjalan lancar seperti yang dirancang. Mungkin ini berkat keikhlasan berbakti kepada kedua ibu bapa kita. Insya Allah, dengan rezeki yang dikongsikan ini Allah akan ganjarkan berkali ganda samada di dunia dan di sana nanti. Yakinlah.