Ads

Saturday, May 9, 2009

Salam Hari Ibu buatmu di alam barzakh

Hari Ibu disambut di seluruh dunia pada setiap bulan Mei. Namun mulai tahun ini, bulan Mei ini juga akan dikenang sebagai hari pulangnya ke rahmatullah, 'bekas' ibu mertuaku, Puan Hajjah Rokiah bt Haji Saion pada hari Khamis, 7 Mei 2009.
Mak adalah ibu mertuaku ketika aku menjadi isteri kepada anaknya, Norazman, yang juga ayah kepada Farhan. Aku pernah tinggal sebumbung dengan Mak sehingga aku melahirkan Farhan pada 1991. Memang banyak suka duka yang kami lalui bersama sepanjang tempoh tinggal bersamanya. Izinkan kucoretkan sedikit kenangan bersama arwah Mak berdasarkan ingatan terhadap wanita berhati mulia ini.
Mak meriba Farhan ketika berumur setahun. Inilah satu-satu gambar Mak yang aku simpan.
Mak dilahirkan pada 26 Februari 1943 di Banting, Selangor. Mak mempunyai tiga orang anak iaitu Kak Ina, Azman dan Zali. Azman, ayah Farhan, telah meninggal dunia pada tahun 2002. Suami Mak pula meninggal dunia setahun sebelum itu. Mak masih mempunyai ibu yang telah uzur dan sangat tua.
Mak merupakan isteri pertama kepada suaminya yang mempunyai empat orang isteri. Mak pernah bercerita tentang bagaimana siksanya ketika mula-mula dimadukan. Pernah memohon berpisah dari suami, tetapi suaminya menyatakan bahawa walaupun apa pun berlaku, ia tidak akan sekali-kali menceraikan Mak. Terbukti, memang Abah terus hidup bersama Mak hingga ke akhir hayatnya. Ternyata, cinta pertama bertahan hingga ke mati.
Madu keduanya tinggal serumah dengan Mak bersama tiga orang anak kerana dia tahu, suaminya akan tetap pulang ke rumah itu. Dua lagi madunya tinggal di Bukit Cheding dan Negeri Sembilan. Kalau tak silap, Abah mempunyai 16 orang anak dari empat isteri-isterinya.
Mak melayan Abah dengan penuh setia dan taat. Walau apa yang Abah lakukan Mak tetap menghormati Abah sebagai suami. Dia akhirnya redha dan akur dengan takdir dan ujian Allah swt anugerahkan kepadanya. Ketika Abah bersama Mak, Abah akan dilayan bagaikan Raja. Aku pernah bertanya, " Macamana Mak hadapi semua ini?", Mak kata, " Bila Abah di rumah Mak, dia adalah suami Mak. Tapi bila dia keluar rumah, dia bukan suami mak lagi."
Untuk menampung kehidupan, Mak membuka gerai makanan. Awal pagi Mak bangkit dari tidur untuk menyediakan kuih muih jualan. Selepas Subuh Mak akan mengayuh basikal ke gerai di seberang jalan. Mak tahu, dia tidak boleh bergantung kepada pendapatan suami yang tidak menentu ditambah dengan 'keluarga besar' Abah.

Farhan bermanja dengan Zali, pakcunya. Gambar ini diambil pada tahun 1992
Mak terlalu sayangkan anak-anaknya. Dengan cara tersendiri Mak mendidik Kak Ina, Man dan Zali. Pada merekalah Mak tumpahkan seluruh kasih sayang. Anak-anaklah menjadi saksi dan penawar penderitaan Mak, dan anak-anak jugalah penguat semangat Mak untuk terus hidup.
Mak juga menjaga beberapa orang anak tirinya yang kadangkala tinggal bersama. Aku masih ingat lagi, Mak menjaga dua orang anak tirinya ketika bersunat. Salah seorang dari mereka tertumpahkan air minuman. Lantas Mak mengelap air di atas lantai tanpa marah sedikit pun. Begitulah mulianya hati Mak. Memang, sekali sekala Mak mengeluh dan mengadu penat dan kesempitan itu dan ini. Tapi Mak tidak sekali-kali membenci anak-anak tiri atau madu-madunya. Mak menerima seadanya dan seboleh mungkin tidak mahu mengambil tahu hal-hal mereka. Malah, peliknya bila Abah pula yang mengadu tentang mereka pada Mak.... dan acap kali juga Mak yang menghulurkan bantuan pada Abah untuk menyelesaikan masalah mereka!
Sepanjang aku tinggal bersamanya dulu, tidak pernah sekalipun aku mendengar anak-anak meninggikan suara pada Mak atau Abah. Begitu juga dengan anak-anak tiri Mak. Kak Ina dan keluarganya tinggal dengan Mak sehingga sekarang. Zali menetap di Shah Alam. Aku dapat melihat Kak Ina dan Zali berkhidmat sebagai anak hingga ke saat-saat akhir hidup Mak. Mereka suami isteri menjaga Mak di hospital, membaca yasin, memandi dan mengafankan Mak. Sentiasa di sisi jenazah hingga ke liang lahad. Mereka berdua memang terlalu akrab dan terlalu sayangkan Mak.
Kusedar kini bahawa bukan bilangan anak yang banyak boleh menjamin kebahagiaan seorang ibu. Didikan ibu itulah yang menentukan anak akan disamping waktu susah senang, tika hidup atau menghampiri malaikal maut. Bukan kuantiti tapi kualiti.
Selepas Abah meninggal, aku percaya Mak menumpukan banyak masa Mak dengan beribadah dan bermesra dengan cucu-cucunya. Ketika Mak menunaikan haji di Mekahlah, anak keduanya meninggal dunia. Semenjak itu jualah, hubunganku dengan Mak bersambung kembali sejak aku berpisah dengan anaknya. Sejak itu jugalah Mak dapat bertemu kembali dengan Farhan - cucu yang terlalu dirinduinya.


Kini Mak pergi buat selamanya diusia 66 tahun. Allah swt memberi Mak sakit cuma tiga hari. Mak pitam setelah mengadu sakit perut. Dua malam di hospital lalu Mak menghembuskan nafas terakhir ketika anak-anak mengalunkan Yaasin di sisinya. Begitu mudah dan barokah!. Begitu jua ketika pengebumian - tiada yang tertangguh. Sejurus meninggal waktu tengahari, Mak dimandi dan dikafan di Hospital Besar Klang, terus di bawa ke Banting dan disolat jenazah dan ditahlilkan dikelilingi madu-madu, anak-anak tiri, adik-adik dan saudara mara. Mujur, aku dan Farhan sempat tiba sejurus sebelum jenazah diusung. Kucium pipi dan dahi Mak. Kulihat Mak begitu tenang dan polos, bagai tidak sabar mahu ke 'sana'. Menjelang 6 petang, Mak selesai disemadikan tidak jauh dari tempat suami dan anaknya.
Tidak banyak airmata yang mengalir walau terkejut dengan pemergian Mak secara tiba-tiba. Seolah-olah redha dan merestui Mak dijemput Ilahi. Innalilahi Wainnahiroji'un. Al - Fatihah.


No comments: