Ads

Tuesday, April 28, 2009

Kenduri kesyukuran - Sabtu, 18hb April 2009




Bila orang tua berhajatkan sesuatu, saya percaya, sebagai anak, kita berkewajipan menunaikan hajat itu sedaya upaya kita. Selagi tidak tertunai, rasanya, seperti ada sesuatu yang tak selesai dan sekiranya berlaku apa-apa pada mereka takut kita dihantui sesalan tidak berkesudahan.





Kerana itulah, apabila abah mertua menyuarakan hasrat untuk menyambut ulangtahun perkahwinan ke 50, saya dan suami bersama-sama cuba menunaikannya dengan sokongan adik beradik lain. Walaupun tertunda agak lama, (genap 50 tahun perkahwinan pada November 2008), kami bersyukur majlis berlangsung seperti yang dicita-citakan. Kami berusaha agar majlis berlangsung meriah yang akan menjadi kenangan emak dan abah.


Tarikh asal pada 4hb April 2009 ditunda seminggu kemudian kerana Ateh sekeluarga tidak dapat hadir pada tarikh tersebut. Pada tarikh itu jugalah saya ditimpa kemalangan kereta. Nasib baik bertukar tarikhkan.. jika tidak, rumah berkenduri, tuan rumah terlantar di hospital!!



Sekadar untuk membangkitkan 'mood', gambar-gambar lama emak dan abah yang saya pamerkan di ruang tamu. Kad jemputan kepada jiran-jiran juga siap tertera gambar persandingan emak dan abah.




Manakala di luar khemah pula saya cucukkan beberapa batang bunga manggar berwarna hijau dan putih. Bunga sepit udang yang banyak di sekitar kampung pula saya jadikan hiasan meja tetamu dan juga di dalam rumah. Terima kasih adik Nor atas pertolongannya menjadi 'driver' tak bergaji kepada saya yang 'patah kaki' untuk ke sana ke mari lantaran kereta terlantar di bengkel.


Selain itu, majlis ini turut diadakan sebagai tanda kesyukuran saya sekeluarga selepas musibah kemalangan tempohari, juga sekalian meraikan harijadi Farah dan Faris yang ke 14 dan 13. Juga ahli keluarga lain yang harijadinya jatuh pada bulan Mac dan April.


Warna tema dipilih ialah warna hijau dan putih. Maksudnya, warna pakaian, khemah, kek, pulut kuning dan lain-lain kena sedondon hijau putihlah...




Saya menjemput dua kumpulan marhaban. Kumpulan pertama diketuai oleh Wak Usu Rahimah (berbaju merah) yang mempunyai kumpulan kompangnya sendiri. Ahli kumpulan pula ramai yang veteran seusia dengan emak dan abah. Manakala kumpulan kedua (berbaju hijau) pula ialah kumpulan saya sendiri yang bertindak lebih menjadi 'back up' saja pada malam itu.



Kehadiran memang ramai. Lihatlah sendiri... penuh sesak ruang di dalam rumah. Di luar pula disediakan dua khemah untuk menjamu selera. Oleh kerana tetamu di luar jangkaan, kami terpaksa membentang tikar di luar pintu masuk untuk menyediakan tempat duduk ahli marhaban. Sukanya saya hanya Allah yang tahu. Hilang sekejap rasa sakit saya...






Sebelum kumpulan marhaban tiba, terlebih dahulu majlis tahlil diadakan oleh jemaah surau selepas Maghrib. Saya menjemput mereka kerana merekalah yang telah mengadakan solat hajat ketika saya di hospital tempohari. Setinggi terima kasih buat ahli surau!! Alhamdulillah ramai yang sudi hadir, tetapi tiada foto kerana lampu khemah tidak dapat berfungsi ketika mereka menjamu selera. Nasib baik tahlil diadakan di dalam rumah.. Dah nak masuk waktu Isya' barulah api terpasang. Nasib baik ada Min dan Acam jadi 'mcguyver'!!








Abah memilih untuk bersama-sama kumpulan marhaban dari awal hingga akhir. Disebabkan ruang yang sesak, abah dan emak bagai benar-benar 'diraikan'. Paluan kompang dan laungan selawat bergema di seluruh pelusuk rumah. Kegembiraan dan kesyukuran jelas terpancar di wajah abah. Saya tahu, abah 'menyaksikan' keceriaan ini dengan mata hatinya walaupun dia tidak dapat melihat dengan mata kasar.




Selesai berzanji, bermarhaban dan bernasyid, saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada para tetamu yang sudi meraikan majlis abah dan mak, juga sekaligus mendoakan kesembuhan saya. Saya juga berkata, "... dan yang paling gembira tentulah yang diraikan iaitu ibu dan bapa mertua saya". Lantas saya memanggil semua anak menantu dan cucu-cucu untuk masuk ke dalam rumah. Sebelum emak dan abah memotong pulut, saya ceritakan serba sedikit detik pertemuan dan pernikahan mereka. Seorang berasal dari Negeri Sembilan, seorang lagi berasal dari negeri Pahang tetapi dijodohkan di Singapura.
Kemudian emak dan abah memotong pulut hijau yang disediakan oleh Alang dan keluarganya. Oleh kerana mahu mengikut konsep, Alang menukar warna kepada hijau yang boleh dimakan bersama rendang ayam atau kuah durian.

Saat manis.. saling menyuap pulut hijau. Abang memerhati sambil tersenyum lebar. Emak dan abah turut memakai persalinan serba hijau yang saya beli siap. Kasihan mak, baju corak songket hijau tua sedang elok dipakai tapi kain.. tak boleh nak kancing pinggang.. Abah nampak ok dengan baju teluk belanga hijau pucuk pisang dan kain pelekat petak-petak hijau dan kelabu. Lupa pulak nak tanya, masa dia orang sanding dulu.. pakai baju warna apa? Tengok gambar lama tu.. hitam putih je..




Acara seterusnya merupakan 'kezutan' dari saya dan suami. Saya meminta suami mengeluarkan sesuatu dari poket baju Melayunya dan menyuruh abah memegang kemudian memberitahu apakah itu. Abah bergurau sambil berkata, " cincin tanda!". Ia memang sebentuk cincin emas bertatahkan mutiara. Lalu abah sarungkan ke jari manis mak. Sedang elok muatnya...





Emak dengan berbesar hatinya menggayakan cincin. Nampak maniskan!! Harap-harap emak sukakanya.






Inilah anak-anak tersayang. Dari kiri Mohd Mastura (Acam), Fadilah ( Alang), emak, abah, suamiku Fazli (Abang) dan Rosdan (Ateh). Seorang lagi anak, Lubis, tidak dapat hadir kerana isterinya kurang sihat. Seorang lagi anak mereka, Mohd Akbar, meninggal ketika kecil.




Isteri Ateh, La, menyampaikan hadiah kepada emak dan abah sewaktu sesi santai selepas makan.Diikuti dengan acara makan beradap di khemah utama. Empat pasang anak menantu bergambar kenangan bersama emak dan abah. Pengapit 'pengantin' pula ialah dua besan. Duduk kiri ialah bonda tercinta saya dan di sebelah kanan pula ialah bonda tersayang La. Gubahan santapan beradap direka oleh Kak Edah, jiran sejatiku. Terima kasih daun keladi ya..



Jom makan!! Menu utama ialah lontong (kegemaran mak mertuaku), daging Palembang, kuah kacang, rojak buah yang disediakan oleh pihak saya. Mee hoon tom yam dibuat khas oleh jiran saya Normah. La dan Ateh membawa kuih muih - karipap dan kuih talam keladi. Ada juga jiran-jiran yang turut bersedekah kuih muih lain.




Kelihatan para tetamu menjamah juadah. Kak Ita, jiran belakang rumah saya, menaja sebakul besar buah jambu air yang dipetik dari pokok tepi rumah selain dari jambu batu, betik, nanas dan mangga yang sedia dah dibeli. Seronok sakan situkang potong buah, rancak memotong sambil menyuap rojak... ditambah borak-borak dan bergurau senda..sedar-sedar dua dulang besar rojak buah.. Ha, sape nak menghabiskannya!! Jawab.. jawab...






Para tetamu makan sambil bersimpuh di atas tikar.




Ada juga yang lebih selesa makan di bawah khemah.. Seronok sungguh tengok tetamu makan sambil bercerita itu ini. Ada juga yang mengucapkan tahniah kerana mengadakan majlis seperti ini untuk emak dan abah. Saya katakan, tiada yang lebih membahagiakan selain dari dapat melihat kegembiraan di wajah mereka. Itu sudah cukup menghilangkan rasa penat dan sakit yang dialami.


Ni Acam dengan Ateh penat rewang ke!!. Ateh paling sibuk menjadi 'front manager'. Air bandung ais campur aiskrim soda buatan kak Edah memang laris di pasaran... tiga kali tambah you!! Keadaan cuaca yang panas berbahang menambah kesedapan minuman!!. Ateh juga yang mengarah anak-anak buah mencuci pinggan dan cawan yang sentiasa kehabisan 'stok'!!



Farhan khusyuk mencuci pinggan. 'Porch' jiran sebelah bertukar menjadi tempat mencuci tanpa izin!! Jangan mare!!





Haziq, anak adik Nor pun tolong jugak. Ramai lagi yang menolong cuma tak tertangkap dek lensa kamera.Pandangan di meja makan.. Dimanakah aku?.. Nak makan pun tak sempat.. begitulah adat menjadi tuan rumah..




Saya dan adik-adik 'tulang belakang' majlis. Kiri - Acik dan kanan Nor. Kesuwon atas pertolongan Acik dan Nor dari petang hingga ke malam. Perasan tak mata saya yang masih lebam akibat kemalangan.. tapi happy tetap happy!!


Seperti yang dinyatakan awal tadi, majlis ini diadakan pada awalnya adalah untuk meraikan 'bedday' dua orang anak saya. Farah genap 14 tahun pada 6 April dan Faris pula pada 9 April. Faris terpaksa menukar baju dari hijau ke hitam sebab baju dah basah kuyup sebab cuci pinggan...



Juga 'bedday' suamiku, 26 Mac dan Ateh 23 Mac. Juga beberapa orang lain lagi. Maaf gambar tak terambil...






Inilah rupa kek yang ditempah khas dari fp lynndaza. Ayu yang design kek tu. Saya kata mesti ada upin & ipin atas kek.. Emm.. bila dah siap.. ghupe-ghupenya.. gambar sedara mare upin ipin pun ada...he he









Saya sediakan meja bufet khas untuk kanak-kanak. Sosej, nugget, coleslaw dan kek cawan antara hidangan khas untuk budak-budak kecik.. Oops.. aiskrim Malaysia pun ada. Saya tempah 100 batang dari Ruzzi habis dengan begitu pantas sekali. Dengar kabarnya.. ada yang songlap penuh tangan dan cabutttt!!.. ok lah tu.. janji makan..








Adik-adik makan ya.. jangan malu-malu!!





Farah sangkutkan teddy bear dan patung-patung lamanya di pokok berhampiran meja bufet.


Cenderahati berupa muffin dan goodies lain disediakan oleh Acam dan Ayu. Sepatutnya untuk cukur jambul si Azyan, anak mereka, tapi Ayu tak mahu baby di potong jambul sebab sebelum ni dah dibotakkan kepalanya..


Jadi si comel Azyan ni diarak dihadapan orang marhaban tu sekejap. Jadilah...


Kad 'Wedding Anniversary' untuk tatapan Wan dan Atuk dari anak cucu sekalian alam. Moga Atuk dan Wan dikurniakan kesihatan, umur yang panjang dan dimurahkan rezeki hendaknya.



Makcik-makcik dan sepupuku pun sudi hadir juga. Siap tolong 'top up' air nescafe lagi.. mesti ummph punya lah..



Aidil dan Atiq menikmati hidangan di tepi jalan, di bawah lampu neon..






Adeeb tengok apa tu??



Anak-anak Lubis pun nak makan jugak. Walaupun ibu dan ayah mereka tak ikut, tapi Najmi dan Daniel pandai bawak diri..


Orang terkuat seantero dunia sedang menyental kuali. Adikku dan ibuku.. sibuk memasak di dapur.. eh.. bukan.. di belakang rumah..



'Photo of the nite' - Tentunya aksi saya dan emak mertua menggigit aiskrim.

Itulah dia kenduri kesyukuran kami pada hari Sabtu malam minggu, 18hb April lalu. Kami sekeluarga berkemas sehingga jam 2.00 pagi. Ahad pagi, kami sambung berkemas lagi termasuk memulangkan barang-barang yang dipinjam dari surau dan jiran-jiran sehingga siap menjelang Zohor.
Tengahari itu juga emak dan abah bertolak pulang ke Kuala Lipis bersama Ateh. Saya pula bersiap untuk ke Kem PLKN Kuala Kubu Baharu untuk tugasan baru. Alhamdulillah, Allah permudahkan segalanya dari awal hingga akhir, walaupun dengan keadaan sakit dan sukar bergerak, majlis berjalan lancar seperti yang dirancang. Mungkin ini berkat keikhlasan berbakti kepada kedua ibu bapa kita. Insya Allah, dengan rezeki yang dikongsikan ini Allah akan ganjarkan berkali ganda samada di dunia dan di sana nanti. Yakinlah.




No comments: