Telah beberapa hari aku mendapat 'bayangan' kejadian kemalangan kereta dan ia benar-benar membuat aku gelisah dan tak tentu arah. Gambaran kereta dilanggar sesuatu seringkali terlintas dihadapanku hatta ketika aku solat sekalipun.
Aku memang takut gambaran itu menjadi kenyataan kerana sebelum ini pernah terjadi terhadap suamiku. Setibanya di rumah selepas kerja, suami memberitahuku yang keretanya rosak akibat terkena tiang besar di tempat letak kereta pejabatnya. Aku katakan padanya bahawa aku telahpun 'tergambar' perkara itu, malah aku boleh menerangkan kepadanya apa yang telah terjadi.
Tapi kali ini, hatiku menyatakan "jika benar ia terjadi, ia kemalangan yang serius". Aku pohonkan Allah hindarkan kejadian malang itu, namun ia tetap tergambar malah semakin kerap. Akhirnya, aku redha dan berkata pada diriku, "Ya Allah, sekiranya benar ini ujian Mu, Kau ringankanlah bebanku".
Aku kongsikan kegusaran ini dengan adik Nor sewaktu menziarahi adik Lina di Darul Ehsan Medical Centre (DEMC) kerana melahirkan anak ke empatnya. Namun, aku menjangkakan suamiku yang akan ditimpa musibah kerana dia yang banyak memandu.
Keesokkan hari, Sabtu 12hb April, kira-kira jam 11.30 pagi, aku menerima panggilan dari anakku Faris supaya mengambilnya di sekolah seusai mengadakan persembahan nasyid. Aku yang sedang khusyuk mendengar ceramah tentang 'blogstarz' bergegas meninggalkan majlis untuk menjemput Faris dan kemudiannya bercadang menyertai semula ceramah sementara menunggu Faris bersiap untuk ke sekolah petang pula.
Hari Sabtu itu jugalah sepatutnya aku mengadakan kenduri di rumahku sempena harijadi Farah dan Faris serta meraikan ulangtahun perkahwinan ke 50 ibu bapa mertuaku. Oleh kerana adik suamiku tidak dapat hadir, maka kami sepakat menunda ke minggu hadapannya.
Yalah, kita merancang. Allah juga merancang dan Dialah sebaik-baik Perancang.
Ketika dalam perjalanan pergi ke sekolah, aku perasan yang lampu trafik tidak berfungsi. Ketika Faris masuk ke kereta, aku pun 'sibuk' memberitahu apa yang patut dilakukannya sebaik tiba di rumah nanti. Aku 'rasa' keadaan lalu lintas di persimpangan itu lengang walaupun lampu isyarat tidak berfungsi, jadi aku terus laju bergerak ke hadapan dengan sangkaan bahawa kalau ada kenderaan lain pun, mereka sepatutnya memberiku laluan kerana aku berada di laluan utama.
Masya Allah, tiba-tiba aku terlihat sebuah lori berkepala merah betul-betul dekat dengan keretaku. Ia datang dari arah simpang sebelah kanan. Aku boleh melihat kepala lori itu hampir mengenai bahagian hadapan berhampiranku. Tidak apa yang aku boleh lakukan, melainkan memegang erat stering dengan kedua-dua tangan, menutup mata dan menjerit sekuat-kuat hati. Aku betul-betul berserah pada Allah...
Selepas dentuman kuat, aku membuka mata dan melihat Faris di sebelah. Aku melihat keadaannya tanpa menyedari bahawa kami berada betul-betul di tengah-tengah simpang. Mujurlah, tiada kenderaan lain yang melanggar kami. Kalau tidak...
Selepas seketika, aku cuba membuka pintu. Nasib baik masih boleh di buka. Kemudian perlahan-lahan aku cuba keluar. Keretaku tidak boleh bergerak langsung walaupun enjin masih hidup.
Alhamdulillah, pemandu lori dan orang ramai membantu apa yang patut. Sambil melihat dari tepi jalan, aku tersedar, "Oh, rupanya accident ni ..untuk aku.." Memang sama dengan apa yang aku 'nampak', Tapi, sedihnya melihat keadaan kereta comelku.... Tengoklah....
Cermin depan retak, mungkin terkena kepalaku.. Tepi sebelah kanan kemek-kemek, nasib baik pintu masih boleh dibuka.
Tempat rempuhan lori, aduhai.. sedih tengok kereta macam ni. Nampak tak cat merah kepala lori tu..
Bayangkanlah kalau kereta ini anda yang punya...radiator bocor, bumper hampir tanggal.. airmata menitis tanpa sedar..
Bahagian dalam dekat stereng pun pecah jugak
Begitulah teruknya keadaan keretaku. Macamana pula keadaan aku dan Faris. Alhamdulillah, Faris cuma pecah bibir ( walaupun darah agak banyak keluar sehingga menitis ke kakinya) dan bengkak siku serta lutut.
Aku?? Mula-mula keluar dari kereta, aku terus berjalan ke tepi dan cuba menghubungi suami. Orang ramai mula berkerumun termasuk pemandu lori dan pekerjanya. Nasib baik ada seorang lelaki yang ku kenali berhenti dan menawarkan bantuan. Beria-ia bertanya samada aku ok atau tidak dan mahu membawaku ke klinik. Aku berkeras pada mulanya untuk berada di situ. Sebenarnya aku agak keliru dan tak tahu nak buat macamana dengan keretaku yang rosak teruk. Orang ramai menolak keretaku ke tepi jalan. Ketika itu anakku Ayan tiba bersama emak dan abah. Lapang rasa hatiku melihat mereka ada.
Kepalaku terasa semakin berat dan berpinar-pinar. Dahiku seperti mula membengkak. Tubuhku semakin lama semakin lemah. Akhirnya aku meminta supaya dibawa ke klinik panel suamiku. Doktor mendapati tekanan darahku tinggi dan meminta seseorang membawaku ke hospital. Adikku Ijam mengejarkan aku ke DEMC ( tempat adik Lina ditempatkan ) manakala Faris dibenarkan pulang ke rumah. Ketika itu, aku sudah terlalu lemah, walaupun untuk menurunkan tandatangan di borang klinik!! Suamiku sudah sedia menanti ketibaanku di DEMC.
Inilah rupanya dahiku yang semakin membesar. Doktor Lokman terus mengarahkan aku melakukan CT scan untuk memastikan tiada kecederaan dalaman kepala lebih-lebih lagi setelah mengetahui bahawa aku telah dirempuh oleh lori!!
CT Scan terpaksa dilakukan di Hospital Sunway kerana DEMC tiada kemudahan tersebut.
Aku dan suami bersama seorang jururawat di dalam ambulan ke Sunway Medical Centre.
Sedang menanti giliran CT Scan
Anak-anakku - Faris nampak sihat. Cuma bibirnya membengkak sedikit. Farah terkejut apabila atuk yang menjemputnya pulang dari sekolah; bukan ibunya. Ayan pula sibuk nak temankan ibu di hospital..
Keputusan CT Scan menunjukkan saya tidak mengalami kecederaan dalaman. Bersyukur sangat. Ketika itulah suami memberitahu bahawa pihak surau telah mengadakan solat hajat khusus untuk kesembuhan saya. Mungkin berkat doa jemaah surau, saya terlepas dari sakit yang lebih teruk. Alhamdulillah..
Menjelang malam, kepalaku dan badanku semakin sakit
Alhamdullillah, aku boleh bersolat walaupun sambil duduk. Sekali lagi Allah memudahkan hambanya.. Aku memang langsung tidak diberi ubat sejak dimasukkan ke hospital atau pun dimasukkan 'drip'. Jadi sedaya upaya aku ke bilik air untuk berwudhu'. Pakaianku sudah menutup aurat dan kaki pula kututup dengan selimut. Ketika sujud, aku cuma menundukkan kepala serendah yang boleh n menahan kesakitan.
Cuba untuk tersenyum gembira meraikan adik beradik dan jiran yang datang menziarah. Bengkak dahiku semakin besar sehingga ke batang hidung. Anakku kata ibu macam ikan flower horn.. ish.. dah macam tu pun nak gelak lagi..
Acam dan Ayu sekeluarga melawatku di hospital. Siap bagi belon 'get well soon' lagi....
Esoknya aku dibenarkan pulang. Bil hospital sebanyak RM1362.00 adalah atas tanggungan insuran Syarikat Naza. Alhamdulillah lagi!!
Keluarga Alang pula menyusulku di rumah.
Inilah rupaku pada hari ke tiga. Kedua mataku semakin lebam kebiruan...
Pandanganku agak kabur, seolah-olah terlindung sesuatu. Hari itu juga, aku membuat laporan polis, lalu ke pejabat Syarikat Insuran dan ke bengkel kereta. Oleh kerana kerosakan teruk, kemungkinan kereta hanya akan siap dibaiki selepas sebulan.
Nasib baik aku tidak dikenakan saman RM300 oleh pihak polis, walaupun kemungkinan besar kemalangan berpunca dari pihak aku. Mungkin, Sarjan itu kasihankan aku dan suami kerana kereta rosak teruk dan aku pula lebam sana sini. Alhamdulillah lagi!!
5 comments:
Salam ida,
MasyaAllahh.... inilah satu kengerian yg sentiasa Rinn minta dijauhkan oleh Allah SWT. Alhamdulillah..selama hari ini Rinn, suami dan keluarga sentiasa dalam peliharaannya. Walaupun saban hari memandu, walaupun dekat-dekat aje..tapi malang tak berbau kan. Semoga ida akan lebih berhati-hati. Cepat sembuh ya. Kesian tgk dahi dan muka ida bengkak. Rinn pun ada pengalaman bengkak dahi mcm tu...tapi sebab jatuh, kepeleset kat tangga terus terhantuk kat dinding...anak2 pun kata mcm flower horn ha ha ha....
Alhamdullilah mid ko selamat walaupun bengkak sana sini, kenderaan rosak tak mengapa jangan orang, spare part tak ada... Maaf la tak g kenduri ko, arie ada kelas malam....
Kejadian ni mengingatkan aku masa ko di langgar semasa melintas jalan nak ke kuliah di ITM dulu, ko berjalan baru rebah kan.....Masih kah ko ingat...
Salam mid ...
aku lah org paling lmbt dpt berita nie ... kesian tgk ko tapi apapun ko selamat .. Alhamdulillah !
aku ada send SMS kat ko 2 hari yg lepas .. mgkn ko tak terbaca kot ..
Salam,
syukur alhamdullah mid selamat.Saya doakan mid cepat sembuh.
Benarlah tatkala kita menerima musibah ada kemudahan yang Dia
sediakan untuk kita.Nasib baik
tidak itu tidak ini..nasib baik itu sentiasa ada.Apabila Dia mengambil sesuatu dari kita,Dia telah menyiapkan sesuatu yang lebih baik
untuk diberikan pada kita.
Post a Comment