Kelahiran - Nyai dilahirkan pada 19 November 1914 di Jawa Timur dan kini sudah berumur 94 tahun. Tarikh lahir tersebut mungkin bukanlah tarikh yang tepat kerana ia hanya didaftarkan ketika zaman Jepun. Nyai tidak mempunyai dokumen pengenalan diri ketika kecil.
Hijrah ke Tanah Melayu - Tiba di Tanah Melayu pada tahun 1916 (tahun hanya anggaran sahaja) bersama mbok dan bapak serta seorang adik perempuan yang masih menyusu, atas cadangan dari saudara mereka yang telah menjadi kaya selepas merantau ke sini. Mereka datang sehelai sepinggang menaiki kapal. Ayahnya meninggal tidak lama selepas tiba di sini kerana sakit.
Gambar diatas adalah antara anak-anak Nyai dan menantunya. Antara anak Nyai ialah Wak Long Samsuri (berdiri kanan sekali), ibu Sumirah (duduk kiri0 dan Siti Asmah (tengah), yang lain-lain tu menantu Nyai. Pak cik Ahmad dan Yusof tiada dalam gambar.
Harta - Nyai menjual kain batik lepas yang di bawa dari Indonesia dengan harga 1000 duit Jepun. Dengan duit itulah dia membeli sebidang tanah di Bukit Raja. Suami isteri itu membina pondok dari batang pokok dan atap nipah. Bahagian bawah rumah digunakan sebagai tempat menyimpan padi.
Selepas memperoleh kira-kira RM400 (anggaran dari duit Jepun), mereka pun berpindah ke tanah baru. Pondok dari batang kayu dan berdindingkan atap menjadi mahligai mereka dan masih didiami hingga kini. Mak saya lahir di rumah itu. Yai dan Nyai terus memerah keringat dengan menoreh getah di tanah orang bagi melunaskan baki hutang tanahnya. Wak Long di tinggalkan di rumah untuk menjaga emak saya yang masih bayi. Yai akan keluar menoreh se awal jam 2 - 3 pagi, tapi Nyai akan keluar lewat sedikit.
Keadaan Nyai yang daif menyebabkan mereka dipulau masyarakat. Nyai kata, kalau ada jemputan kenduri, mereka tidak akan di jemput pun. Mungkin beginilah keadaan rumah Nyai waktu itu...
Nyai sering bercerita bagaimana siksanya hidup di zaman Jepun. Ubi adalah makanan ruji menggantikan nasi. Pernah juga mereka makan tempe yang diperbuat dari biji getah. Wajah orang perempuan pula dicomotkan dengan bedak sejuk supaya kelihatan seperti orang tua. Apabila tentera Jepun merayau-rayau di kampung, mereka terpaksa melarikan diri ke kebun getah sambil membawa anak-anak yang masih kecil.
Disamping membesarkan anak-anak, Nyai terus bekerja keras menambahkan harta milik mereka. Caranya ialah dengan menjual sebahagian tanah yang ada, dan membeli semula tanah lain yang lebih luas. Menggunakan cara itulah juga, Yai dapat menunaikan haji menaiki kapal laut dari Singapura. Akhirnya, Nyai sekeluarga bebas dari kemiskinan. Saya pernah mendengar orang berkata bahawa mereka adalah antara orang terkaya di kampung, pada masa itu.
Lebih kurang beginilah rumah Nyai selepas merdeka. Tetapi sekarang anaknya Yusuf telah membina rumah banglo menggantikan rumah lama mereka.
Anak angkat - Suatu hari Yai membawa pulang seorang pemuda ke rumah. Pemuda itu adalah seorang askar Jepun yang di bawa dari Indonesia. Keadaannya yang sakit dan berkudis menimbulkan belas lalu mereka memelihara Senin seperti anak sendiri. Senin akhirnya berkahwin dengan anak tauke kedai makan di bandar Klang. Alamat terakhirnya adalah di Bukit Belacan, Kuala Lumpur dan kali terakhir mereka bertemu adalah kira-kira 26 tahun dahulu. Sejak itu, Senin tidak pernah menziarah atau menghubungi Nyai lagi.
Nyai yang saya kenal - Nyai sangat rajin bekerja. Walaupun sudah berumur hampir 100 tahun, Nyai masih berkebun di belakang rumah. Setahu saya, cuma dua kali Nyai dimasukkan ke hospital. Pertama sewaktu Nyai menjalani pembedahan mata membuang katarak di Hospital Mata Tun Hussein Onn dan kali kedua Hospital Universiti kerana sakit selepas pengsan di kebun nanas belakang rumah. Orang kata kena 'sampuk' sebab Nyai seolah-olah hilang ingatan sekejap. Kami semua cemas dan bimbang tapi Alhamdulillah Nyai pulih sepenuhnya.
Sifatnya yang suka berjimat dan menyimpan membuatkan ada yang menganggap Nyai kedekut. Tapi Nyai kata sebab kedekutlah anak-anak boleh hidup senang.
Yai Abdul Ghani bin Kasim - Pulang ke rahmatullah pada tahun 1993 kira-kira 15 tahun yang lalu. Tidak semua cucu dan cicitnya dapat mengenali Yai. Menjelang akhir hayatnya, Yai cuma gering kira-kira 10 hari akibat sakit dalam perut. Gambar di atas diambil ketika majlis perkahwinanku iaitu kira-kira 2 tahun sebelum Yai meninggalkan kami buat selamanya.
Saya masih ingat lagi, Yai akan bangun sebelum subuh, berqiamulail dan membaca yasin secara hafaz. Juga sering menghabiskan masa membaca kitab agama berbahasa Indonesia lama.
Satu perkara lagi yang saya masih ingat, Yai yang sudah tidak bergigi lagi, pernah menyuruh saya menumbuk kacang tanah goreng atau pun menumbuk kerak nasi yang telah dikeringkan dan digoreng garing supaya mudah Yai mengunyah dan menelannya.
anjakan cucu-cucunya. Bayangkan! Yai akan mengayuh basikal tuanya (seperti dalam gambar) manakala saya dan adik pula akan duduk dalam bakul besar tu!. Bakul itu biasanya digunakan untuk mengisi hasil nanas atau mengisi rumput untuk makanan lembu peliharaannya.
Saya masih ingat lagi sewaktu bersekolah rendah, saya sering tolong Nyai membuat tapai ubi yang kemudian di letakkan di kedai runcit berdekatan. Pernah juga saya dimarahi kerana terjatuh ketika menunggang basikal. Habis tapai baru hendak di hantar rosak dibuatnya.
Nyai mempunyai satu perangai yang orang tak tahan - suka berleter - bila dah mengomel susah nak berhenti. Kena tahan telinga. Arwah Yai masa dia tua dulu, pekak telinga sebelah. Mungkinkah sebab Nyai punya bebelan? Wallahua'lam.
Tapi macamanapun, saya kagum dengan semangatnya. Tubuh kecil moleknya, tidak pernah berhenti bekerja, siang dan malam. Nyai bijak merancang kewangan. Walau buta huruf, Nyai boleh mencongak kiraan lebih pantas dari saya yang kononnya bersekolah tinggi ni. Nyai akan bangun seawal subuh. Tidur siang bukan amalannya tapi yang kelakarnya Nyai selalu tersenggok-senggok mengantuk selepas maghrib ketika menunggu waktu Isya'.
Saya, sebagai cucu sulung, memang teramat rapat dengan Nyai. Nyai pernah jual kain merata kampung. Saya kaki mengekor dia, jadi tukang catat buku hutang. Masa tu dalam darjah tiga, pada tahun 1975. Beg kain yang maha besar itu diletakkan atas basikal. Kemudian saya tolak basikal dan kami berjalan sambil mendengar mulutnya bercerita. Duit itulah agaknya buat belanja menunaikan haji. Dua kali Nyai pergi Haji dan dua kali juga buat umrah.
Nyai juga bijak tawar menawar. Kalau ikut Nyai ke kedai emas, dia tidak akan balik selagi tidak mendapat harga yang ditawarnya.Masa dah tua inilah juga Nyai belajar al-Quran dari alif ba ta hingga khatam dan lancar. Penghargaan kepada Kak Jenab, jiran Nyai yang sabar mengajar Nyai. Nyai juga sanggup berguru dengan Pak Kiayai di kariah lain, berjalan kaki berbatu-batu sebab Nyai tak reti naik basikal.
Kini, Nyai telah sangat tua. Sifatnya semakin sensitif dan kadangkala ada tanda-tanda nyanyuk. Namun 5 anak, 30 cucu dan 26 cicit adalah tanda kesyukuran Nyai ujud di muka bumi ini. Saya tahu, Nyai amat bangga melihat keturunannya maju dan berjaya. Hidup senang hasil dari didikan dan penat lelahnya selama ini. Cuma kadangkala terbit luahan rindu kepada suami yang meninggalkannya 15 tahun dulu. Katanya, " Yai tak dapat nak tengok kereta besar engkau!"
Penutup - Itulah kisah Nyaiku tercinta. Mendengar secara langsung pengalaman pahit getir dari kecil hingga dewasa adalah amat berharga dan bermakna bagi saya. Kalau nak diikutkan banyak lagi kenangan yang boleh dicoretkan di sini, namun segala catatan ini adalah tanda saya menghormati dan memandang tinggi Nyai. Ia memberi semangat dan inspirasi untuk saya cekal dalam kehidupan hari ini. Semoga coretan kenangan ini akan menjadi warisan untuk anak cucu saya pula.