Kesempitan hidup amat terasa lebih-lebih lagi selepas di halau keluar rumah oleh keluarga suaminya. Natrah, 36 tahun, kemudian tinggal menyewa di Jalan Jabar, Meru bersama suami dan 6 dari 8 orang anak-anaknya yang berusia antara 15 dan 1 setengah tahun.
Selain dari masalah kewangan beliau sering menjadi mangsa pukulan suaminya apatah lagi ketika suaminya mabuk. Susu anak pun tidak mampu dibeli. Dua orang anak kecilnya cuma minum air kosong menggantikan air susu.
Penderitaan dan kesedihan natrah tidak tertanggung lagi. Tiada tempat untuk dia mengadu dan meminta pertolongan. Ibu bapanya pula telah meninggal dunia lama dahulu.
Hidayah Allah meniup hatinya tatkala azan berkumandang dari surau berhampiran rumahnya. Natrah mengadu,"Kenapa Tuhan Allah tidak mahu menolong saya? Mungkinkah kerana saya bukan Islam?". Airmata mengalir dari kelopak matanya. Menangisi nasibnya yang sentiasa dirundung malang. Pertanyaan sebegitu sering bermain difikirannya.
Suatu hari, Natrah nekad. Dia memberitahu suaminya," sekali lagi awak pukul saya, saya akan masuk Islam itu jam juga." Akhirnya Natrah benar-benar mengucap kalimah syahadah berdasarkan keyakinan bahawa tuhan Allah sahaja yang boleh menolongnya. Natrah memeluk Islam bersama 6 orang anak yang ada bersama ketika itu, meninggalkan suaminya yang benar-benar tidak menyangka Natrah akan bertindak sedemikian. Anak kedua Natrah telah berkahwin dan kini sudah mempunyai seorang anak. (Umurnya baru 14 tahun!), dan anak ketiganya tinggal bersama-sama datuknya. Anak-anaknya juga telah diberi nama Islam.
Tiada persediaan spiritual. Tidak tahu solat ataupun puasa. Cuma Natrah tahu tuhan Allah akan membantunya dan menghilangkan penderitaannya dan anak-anak. Ketika ditanya apa perasaannya selepas mengucap kalimah syahada, Natrah menjawab," saya hati banyak happy. Badan jadi ringan. Anak-anak pun suma happy, tak dak sakit hati. Saya cakap suami, sekarang awak tak boleh sentuh saya. Duit tuhan Allah bagi ( sumbangan orang ramai) cuma untuk saya dan anak-anak sebab saya sudah Islam. Kalau awak sentuh saya lagi, saya report tuan Imam."
Suami yang terkejut langsung terkedu. Tidak ada lagi herdikan marah untuk Natrah. Menurut Natrah lagi, suaminya asyik menangis sampai empat hari sebab isteri dan anak masuk Islam. Suaminya sedih sebab dua lagi anak mereka tidak masuk Islam. Mungkin juga Dorai amat terasa 'kehilangan keluarga'. Tetapi bila di tanya bila nak masuk Islam, Dorai berkata,"nantilah dulu, saya ada emak bapak lagi. Saya mau kasi dia tahu dulu. Kalau emak bapak sudah mati tak apa," Namun begitu, menurut Natrah, Dorai juga telah menyatakan keinginan untuk memeluk agama Islam kepadanya.
Saya memujuk lembut," Takpe Dorai, awak boleh masuk Islam pelan-pelan, tapi ingat, awak boleh duduk rumah ini tiga bulan sahaja. Selepas tiga bulan awak tak boleh duduk sini lagi. Jadi saya harap awak fikir baik-baik, ingat anak-anak". Dorai hanya tersenyum dan mengangguk tanda faham maksud saya. Natrah menyampuk," Itu Imam ada cakap, suami boleh duduk ini rumah tapi tak boleh tidur sama saya. Nanti sudah masuk Islam, Imam kasi kawin lagi satu kali, baru boleh tidur sama saya".
Kami bergambar bersama Natrah dan tiga dari lapan orang anaknyaJelas sekali ikatan kasih sayang selama 16 tahun usia perkahwinan masih utuh. Walaupun menerima tekanan dari kaumnya sehingga memaksa Natrah 'dipindahkan' ke rumah lain oleh pihak JKKK demi keselamatannya, Natrah tidak tunduk. Dia berkata," saya tidak takut. Saya tau, tuhan Allah tengok saya, nanti dia balas. Saya tidak takut hilang kawan India, sebab saya ada ramai kawan Melayu sekarang. Hati saya banyak senang sekarang. Saya mana-mana pergi pakai tudung. Anak saya pun suka pakai tudung. Suami ada cakap, saya punya muka sudah ubah jadi cantik.. saya hidup 19 tahun dulu serupa mati, sekarang saya macam orang hidup.." Memang dalam maknanya ungkapan kata-kata Natrah.
Mudah-mudahan Natrah akan sentiasa dinaungi hidayah Allah swt. Rumah baru yang didiami kini terletak di belakang surau. Kami menasihatinya supaya sentiasa berjamaah di surau dan belajar solat. Saya juga memberi perangsang dengan mengatakan bahawa Natrah hari ini bersih bagaikan bayi yang baru dilahirkan. Tiada dosa seperti saya yang sudah dilahirkan Islam ini. Jadi Natrah perlu belajar agama dan tidak meninggalkan suruhanNya. Insyaallah.
Perasaan saya - Ketika mula-mula melihat wajahnya, Masyaallah, amat bersih dan tenang. Saya peluk dia seolah-olah seperti memeluk adik yang telah terlalu lama tidak ditemui. Gembira kerana Allah telah memilihnya untuk memeluk agamaNya, terharu kerana cabaran mendatang yang belum tentu bagaimana. Semoga Allah menetapkan imannya, dan membukakan hati suaminya untuk kembali bersama sebagai satu keluarga Islam, dunia akhirat. Amin
No comments:
Post a Comment