Ads

Tuesday, January 12, 2010

Farah sakit TB???- (Bah. Akhir)




Che Mid ingin mengingatkan diri Che Mid sendiri dan juga para sahabat yang sudi mengikuti kisah Farah ini. Begitupun ini adalah pandangan peribadi Che Mid berdasarkan apa yang Che Mid alami, terpulang kepada anda untuk menilai..

1) Dalam apa jua keadaan pun, terutamanya ketika kita senang, cuba sedaya upaya untuk dekat dengan Allah swt. dengan melakukan amalan dan ibadah SELAIN dari yang WAJIB. Kerana kita tidak tahu bila masa kita susah dan memerlukan Allah lebih dari waktu senang. Pada masa itu kita akan menyesal dan merasa bersalah kerana berasakan hanya mengingatiNYA ketika kita susah. Apakah musibah dan kesusahan yang kita hadapi itu KIFARAH atas kelalaian kita atau ujian untuk menambah iman?

Oleh itu, biasakanlah buat solat sunat seperti Dhuha, Qobliyah dan Ba'diyah, serta usahakan untuk bangkit malam bertahajjud. Jadikan al-Quran teman kita kalau boleh setiap hari. Berzikirlah dan beristighfarlah bila teringat Allah walaupun ketika itu kita sedang memasak atau memandu..Motivasikan diri sendiri untuk bersunyi-sunyi dengan Allah swt.

Che Mid sedar, bukan mudah nak buat sebagaimana apa yang dinyatakan diatas. Faktor kejahilan diri sendiri, dan kekangan waktu serta tugas terutama kepada yang bekerja menyukarkan kita. Namun percayalah, bukan banyak mana ilmu yang kita tahu yang penting, tetapi ilmu yang diamalkan itulah yang Allah mahukan. Maksudnya, biar kita tahu sedikit tapi kita jadikan amalan dan istiqomahlah.. Insya Allah kita akan rasa nikmatnya..

2) Katalah apa saja kepada Allah kerana Dia tidak akan pernah menjauhi kita. Kalau kita rasa dekat denganNya, percayalah Dia akan lagi dekat dengan kita, sedekat urat leher kita. Dialah sebaik-baik Pendengar. Menangislah, merintihlah, marahlah, mengadulah...kerana bercakap dengan manusia hatta dengan suami sendiri, atau sahabat paling baik sekalipun, belum tentu akan mendapat sangka baik sebagaimana Allah bersangka baik dengan kita.

3) Teruskan mengadu tanpa malu apabila bergelut dengan masalah. Tanpa kita sedari, setelah beberapa ketika.. hati dan fikiran akan menjadi lapang dan tenang. Segala persoalan dan rintihan seolah-olah terjawab sendiri apabila Allah memberikan kekuatan, petunjuk dan hidayahnya. Kita akan rasa kuat dan redha dengan ketentuanNya dan bersedia menghadapi apa juga yang akan datang. Buruk atau baik.

Perasaan yang Che Mid alami ketika baru tahu tentang penyakit Farah adalah amat berbeza sekali ketika berhadapan dengan doktor 2 minggu selepas itu. Pada awalnya Che Mid rasa berkecamuk dan banyak mempersoalkan itu dan ini. Tetapi akhirnya, Che Mid pasrah dan tenang. Tidak menyalahkan tetapi menerima apa yang datang. (From denial to acceptance and it makes a lot of difference). Terasa benar Allah berada di sisi kita pada waktu itu.

4) Teruskan bersyukur walaupun kita susah. Berkata Alhamdulillah itu lebih baik menunjukkan kita mensyukuri nikmatNYA kerana ada orang lain yang lebih susah dari kita. Farah ditimpa penyakit TB yang serius tapi tidak sampai dimasukkan ke hospital. Abang Firdaus meninggal dunia disebabkan penyakit yang sama, manakala ada orang lain yang terpaksa tinggal berbulan-bulan di hospital.


Che Mid tak kenal orang ni, tapi dia tentu dari wadkan.. berdasarkan pada pakaian dan bekas suntikan ditangannya.


Che Mid pasti ada juga yang meninggal dunia seperti Firdaus terutama bila melihat susuk tubuh mereka yang terlalu kurus atau terlalu tua..  Imbasan x-ray pula menunjukkan warna putih hampir memenuhi paru-paru.. Nak berjalan pun berpapah-papah atau berkerusi roda. Hampir menitis airmata Che Mid melihat keadaan sebegitu.. Che Mid melihat sendiri bagaimana seorang nenek tua memegang tangan doktor sambil berkata penuh mengharap," Doktor, makcik dah baikkan?" sambil doktor melihat x-raynya yang banyak tompok-tompok putih.  Doktor menjawab," Makcik belum baik lagi". Sejak itu, Che Mid tak pernah nampak dia lagi... Semoga Allah memanjangkan umurnya.

Farah boleh ke hospital menaiki kereta untuk pergi dari satu tempat ke satu tempat - x ray di bangunan lain, check up di bangunan lain. Ada pesakit lain yang terpaksa berjalan kaki di tengah panas mentari dari satu tempat ke satu tempat dan menaiki bas berulang alik dari rumah ke hospital.

Kos hospital bagi membiayai perubatan Farah hampir-hampir tiada langsung kerana TB adalah dibawah kategori penyakit berjangkit. Sama seperti denggi. Jadi kos ditanggung oleh kerajaan Malaysia. Ini menunjukkan rezeki Allah ada di mana-mana... cuma nampak dan tak nampak saja.. Jadi tidak rugi jika kita sentiasa mengucapkan Alhamdulillah walaupun ketika ditengah-tengah musibah.

Penutup bicara, tak lupa Che Mid titipkan di sini tentunya syukran jazilan kathira kepada SEMUA yang telah bersama-sama Che Mid dan Farah menghadapi saat-saat sukar memerangi TB. Terutama pada adik beradik, ipar duai dan sahabat yang sentiasa disisi kami disaat kami memerlukan sokongan.

Sengaja Che Mid membuat coretan ini setelah Farah disahkan sihat semula. Bukan mengundang simpati, juga bukan menunjuk riak mahupun ujub, tetapi sekadar imbasan pengalaman. Yang baik dijadikan teladan, yang buruk dijadikan sempadan.
Renung-renungkanlah..



8 comments:

Adnazthie said...

Salam Che Mid, Farah dah pulih sepenuhnya insyaallah. Sedikit sebanyak apa yang Che Mid tuliskan ni menjadi peringatan dan tarbiyah kepada diriku ini..

che mid said...

Sesamalah kita Adnaz..

nurul said...

thanks kak sudi share pengalaman akak nie ngn kami..

bab mengadu kpdNya tu slalu sy wat...huhu...setiap dugaan drNya pasti ada hikmahnya kan..

kdg2 org tgk kita sentiasa happy tp dlm hati hanya DIA yg tau...

che mid said...

Betul tu Nurul.. akak suka tengok muka mak Nurul, tenang aje.. kirim salam Assalamualaikum pada dia ya.. lama gak tak jumpa

Mohd Mastura said...

salam kak...

kami sefamili syukur sgt2 farah dh pulih... baru2 nie buka semula album lama n gambar arwah ada dlm simpanan kami.. terus teringat pd dia.. sayu rasanya.moga Arwah ditempatkan bersama roh orang2 beriman. kepada farah, pakcu doakan sihat 'sokmo' n dilimpahi kebahagiaan n kerahmatan...

che mid said...

Cam, thanks for the do'a. Harap2 tak de sapa kena penyakit tu lepas ni. Cukuplah apa yang kita rasa selama ni.

mami a said...

assalam kak... sy bru disahkn mngidap tb spt farah..... sy buntu tkejut sedey smua ade kak.... lg2 ade ank kecil.... mcmane hubungan keluarga dgn farah? mksdnya, perlu ke sy mnjarakkan diri dr ank2..dr suami.. tidak masak dsb.. tq kak...

che mid said...

Harap mami a said dah sihat.. kalau baca komen ni sila call 013-3672459..che mid dan tukar blog..maaf sangat2 tak tengok komen ni..