Ini adalah adik suami Che Mid, Rosdan bin Husain, yang lebih dikenali sebagai Ateh dalam keluarga kami. Lulusan Politeknik Kuantan atau POLISAS ini bertugas di Panasonic Electronic Devices Malaysia, Shah Alam sejak 1989 menjawat jawatan Senior Executive di bahagian Kualiti. Atas nama tugas juga, telah membawa Rosdan keluar negara seperti Jerman dan Jepun. Dia juga sempat mengambil degree secara separuh masa dan pembiayaan ditanggung sepenuhnya oleh syarikat.
Pada 2008, syarikat-syarikat gergasi Jepun di Malaysia mula menutup perusahaan mereka di Malaysia. Ramai tenaga kerja yang diberhentikan dengan ditawarkan VSS. Peliknya, kalau orang lain takut diberhentikan kerja, Rosdan pula beria-ia mahukan VSS selepas 20 tahun bekerja. Akhirnya, apa yang dicita-citakan menjadi kenyataan. Pada akhir 2008 suami kepada Cikgu Norazila Muhammad Aziz dan bapa kepada empat cahaya mata ini menerima VSS.
Kenapa Rosdan beria-ia berhenti kerja?? Bagaimana dia akan 'survive' menanggung keluarganya??
Sebenarnya Rosdan amat berminat untuk menceburkan diri di dalam bidang pertanian moden. Setiap kali pulang ke kampung dan melihat tanah terbiar, hatinya meronta-ronta ingin membangunkannya walaupun tidak pernah berpengalaman bertani. Maklumlah, ayahnya bekerja di Keretapi Tanah Melayu dan mereka dulu tinggal dikuarters, memang tidak ada peluang bertani.
Sambil menanti VSS, Rosdan mula menghadiri kursus dan bengkel pertanian seperti kursus menanam serai dan cendawan serta menternak lembu. Sebaik sahaja berhenti kerja pada Mac 2009, Rosdan tidak menoleh lagi.
Rosdan dan uniform baru - tauke serai paling glamor
Sedikit tentang Rosdan - seorang yang sangat menepati masa, tidak suka buat kerja bertangguh, suka tidur awal dan bangun awal walaupun hari cuti, fokus dan tekun, tidak gemar borak kosong dan berdisiplin. Mak mertua selalu kata, "Ateh tu macam Jepun". - Sikap begitu tetap diteruskan hingga hari ini dan itulah kunci kejayaannya.
Dia menggunakan duit VSS untuk melangsaikan ansuran rumah di Shah Alam dan kereta. Dia mula mengerjakan tanah seluas 2 setengah ekar yang dibeli di kampung isterinya, Dong, Raub. RM20,000 diperuntukkan sebagai modal permulaan meratakan tanah, membina rumah/stor untuk penyimpanan mesin dan peralatan, juga membeli anak benih. Tanaman pertamanya ialah serai dan pisang abu.
Cabaran pertama menguji Rosdan apabila pondoknya dipecah masuk manusia tidak bertanggungjawab. Dua mesin rumput, pam racun dan alatan lain hilang, kerugian lebih kurang RM2000.
Inilah 'pejabat' baru Rosdan. Sendiri jadi bos!!
Pada 2009, Rosdan berulang alik dari Shah Alam ke Dong hampir setiap minggu. Jika keadaan memaksa, Rosdan akan menginap di rumah orang tuanya di Kuala Lipis. begitulah rutinnya, sehingga akhir 2009 apabila keluarganya berpindah ke rumah sewa di Dong. Isteri yang menyambung pengajian jarak jauh di KL dan anak-anak turut bertukar sekolah di sekitar Raub juga.
Bersama 'rakan kongsi', Cikgu Norazila, yang turut menyinsing lengan turun padang kebun. Juga bertindak mencari pasaran produk serta pembakar semangat suami ketika berdepan cabaran. Anak-anak turut dididik membantu terutama semasa menanam dan membaja.
Rutinnya bermula sejak awal pagi. Selepas menghantar anak ke sekolah, Rosdan akan terus ke kebunnya. Tengahari pulang ke rumah dan sebelah petang sekali lagi ke kebun. Sekiranya ada tempahan, dia akan bekerja hingga lewat malam seperti memotong serai dan membungkus jagung mengikut permintaan.
Projek pertama - tanaman paling mudah untuk 'beginner' seperti Rosdan. Serai boleh dijual hanya selepas 6 bulan ditanam. Gambar di atas adalah saki baki pokok serai yang masih boleh dijual setelah 2 tahun projek dimulakan.
Serai yang telah siap boleh akan dijual secara kilo atau batang. Kalau secara batang, lebih besarlah untungnya. Rosdan pernah kecewa apabila peraih yang berjanji untuk membeli serainya tidak menunaikan janji, namun rezeki di tangan Allah, permintaan dari penjual tempatan dan individu tidak pernah putus.
Pokok pisang abu boleh dijual antara 9-12 bulan ditanam.
Disekeliling kebun, pagar berarus letrik berkuasa bateri dipasang untuk mengelakkan binatang liar seperti babi hutan dan monyet memasuki kawasan dan memusnahkan tanaman. Kerja memasang pagar dilakukan sendiri selepas mendapat tunjuk ajar dari petani lain.
Rosdan sedang memeriksa kekuatan arus letrik dengan menggunakan alat khas.
Tanah bekas ditanam serai, ditanam pula dengan jagung manis. Dua bulan sudah boleh dituai. Yakin boleh, Rosdan memajak tanah sawah untuk di tanam jagung dan pisang. Sebanyak 200 batang pokok pisang abu dan 300 batang pokok pisang berangan kini sedang membesar.
Bergaya dengan anak-anak pokok kesayangan - pisang bersulamkan serai.
Sejak bertani dan bekerja sendiri, boleh dikatakan tiada stres langsung. Badan sangat sihat kerana berpeluh setiap hari. Tahap kolestrol turun dan tidak perlu lagi makan ubat darah tinggi! Agaknya, hari-hari memandang kehijauan pokok-pokok, mata pun tak perlu pakai cermin lagi!!
Lihatlah dunia!! Pokok jagungku sudah berbunga!!
Kalau dulu Rosdan mewakili syarikat melawat kilang lain, kini kebunnya pula menerima lawatan dari pihak yang berminat untuk menyaksikan sendiri kejayaan projeknya, biasanya dibawa oleh pihak Jabatan Pertanian. Rosdan pula tidak lokek memberi khidmat nasihat sekadar termampu.
Jagung bermutu tinggi sedia untuk dijual.
Kini 4 setengah ekar tanah diusahakan sepenuhnya. Setiap jenis tanaman silih berganti mengeluarkan rezeki buat Rosdan sekeluarga. Walau tidak pernah ditanya berapa untung berapa rugi, tapi melihat dan mendengar kesibukannya menyiapkan tempahan, tentu berbaloi berbudi kepada bumi. Dulu ada yang memandang rendah keupayaannya, sekarang ada yang mula iri dengan kejayaannya. Itulah manusiakan...
Tapi itu semua tidak sedikit melunturkan tekadnya. Insyaallah, Rosdan akan memulakan projek baru iaitu memajukan tanah seluas lima ekar lagi bulan depan.
Lucunya, bila ditanya apa yang menyebabkannya berminat dan berani untuk berhenti kerja dan terjun ke bidang pertanian tanpa apa-apa pengalaman langsung, dia cuma menjawab, " Nak rilek"!!
Ha, boleh percaya ke?