Ads

Sunday, May 23, 2010

Emak Ayah Bercerai, Anak Jadi Tokoh Pelajar


Kisah ini terjadi pada tahun 2009.

Farah ada seorang kawan rapat dari sekolah rendah. Namanya Aisyah. Selain dari dia yang bongsu Aisyah mempunyai seorang abang dan seorang kakak. Aisyah ni seorang budak yang cantik, pandai dan aktif bersukan. Selain dari sekelas dengan Farah, mereka pernah mewakili sekolah dalam pertandingan nasyid. Che Mid selalu juga jumpa dengan Aisyah ni, kadang-kadang Aisyah tumpang kereta Che Mid untuk pergi atau balik sekolah.

Aisyah sering juga mengadu pada Farah tentang ibu dan ayahnya yang sering bergaduh terutama sejak kebelakangan ini. Suatu hari, Aisyah beritahu yang dia akan berpindah sekolah ke Segamat, Johor mengikut makciknya. Sebabnya ialah, rumahtangga ayah dan ibunya tidak dapat diselamatkan lagi. Mereka sekeluarga terpaksa berpecah. Aisyah akan ke Johor, kakak Aisyah berpindah bersama ibunya di Nilai, ayahnya berpindah ke Pahang dan abangnya tinggal berseorangan di rumah sedia ada. Si abang tidak dapat mengikut ibunya memandangkan peperiksaan SPM yang semakin hampir.

Che Mid sempat bertemu sekejap dengan Aisyah pada hari terakhir sekolahnya. Merah dan bengkak mata dua rakan karib tu, Che Mid hanya boleh beri kata-kata semangat pada Aisyah. Selepas itu, Farah dan Aisyah semakin jarang berhubung kerana jarak yang jauh. Sesekali mereka berceloteh melalui myspace dan telefon. Namun semakin lama semakin berkurangan. Paling kesian ialah abang Aisyah yang terpaksa tinggal sendirian dan bergelut dengan peperiksaan yang akan menjelang tidak lama lagi tanpa ada orang yang menjaga makan pakainya.  

Tidak lama selepas itu, Che Mid dapat tahu yang ibu bapa Aisyah telah pun bercerai dan ayahnya telah pun berkahwin lain. Rumah yang mereka diami selama ini telahpun dijual.

Satu hari, sepulangnya Farah dari sekolah, Farah beritahu Che Mid yang abang Aisyah telah diumumkan sebagai Tokoh Pelajar 2009 sekolahnya setelah berjaya memperoleh 11A dalam peperiksaan SPM. Subhanallah!! Air mata Che Mid hampir mengalir apabila mendengar berita itu.

Jelaslah, tiada apa yang boleh menghalang seseorang untuk berjaya jika ada kemahuan dan azam yang kuat. Ini membuktikan bahawa sesiapa yang mendakwa perceraian ibubapa mengakibatkan kegagalan adalah ALASAN semata-mata. Mungkin abang Aisyah telah menjadikan perpecahan keluarganya sebagai penguat semangat kejayaannya.

Untuk Aisyah, maafkan Che Mid andai membaca entri ini. Bukan niat Che Mid mengaibkan Aisyah tetapi sebagai teladan dan perangsang untuk Farah dan sesiapa yang membacanya.

Tiga serangkai - Farah, Tuti dan Aisyah - kali terakhir makan bersama sebelum berpisah.

2 comments:

Adnazthie said...

Salam Che Mid,
Sedih lak tetiba baca N3 ini..

che mid said...

Adnaz, kita yang melihat dah sedih apatah lagi yang menanggungnya. Cuba bayangkan budak tu belajar sorang2 kat rumah, bangun pagi takde siapa yang kejut.. all alone namun mengalah tidak sekali-kali..