Ads

Thursday, May 8, 2008

Mak yang ku kenal

Suatu waktu di tahun 1965...

Dia telah dikahwinkan pada usia menjangkau 15 tahun. Ketika abahku datang melamar, mak telahpun mendapat tawaran belajar di sekolah ugama yang kemudian melayakkan dia untuk menjadi ustazah. Tetapi ibu terpaksa akur dengan permintaan keluarga untuk berkahwin dengan abahku kerana kedudukan bapanya yang merupakan imam besar di kampung ketika itu. Adalah mustahil untuk menolak pinangan dari keluarga terhormat seperti itu, walau itu bermaksud menutup peluang untuk mak belajar lagi.

Maka mak pun berkahwinlah, dan aku lahir setahun selepas itu. Rupa paras emak yang kecil molek dan putih melepak tidak menghalangnya untuk menjalankan kerja kampung bagi membantu abah yang cuma penoreh getah. Seingatku, sebaik sahaja pokok-pokok getah dikawasan rumahku sudah boleh ditoreh, maklah yang menorehnya setiap pagi manakala abah menoreh di kebun datukku. Pernah aku membantu menuang getah kedalam tong cat yang agak kecil sepantas dengan kudratku di sekolah rendah. Masih jelas diingatan, aku pernah terjirus susu getah dari hujung rambut ke hujung kaki dek kerana kaki tersandung akar pokok ketika membawa susu getah.Aku berlari ke rumah memohon simpati dari mak tapi apa yang ku dapat? Teruk kena marah. Mulanya aku tak faham kenapa mesti mak marah sepatutnya kasihan lebih-lebih lagi pada rambutku yang berpintal-pintal melekat susu getah, tapi rupanya aku telah menghilangkan rezeki kami pada hari itu.. maaf mak.. tak sengaja..

Mak memang seorang yang tabah. Dalam usia semuda 21 tahun mak telah mempunyai 4 orang anak yang kesemuanya perempuan, susun paku la tu.. sedangkan rakan lain mungkin baru berumahtangga atau beranak satu. mak tidak berpeluang bersosial walaupun dia jenis yang suka bercampur dengan masyarakat luar. namun tidak kedengaran walau sekalipun mak mengeluh atau menyesal. Aku pernah mendengar dari mak usu yang sebenarnya mak dahpun mempunyai buah hati sebelum berkahwin dengan abah. Tapi itupun tak pernah kudengar ibu mengungkit walau sekali.

Untuk menambah derita mak yang tak terzahir itu, rupanya dalam diam mak tidak disukai oleh mertuanya. Bayangkan, rumah mak yang hanya setengah batu dari rumah nenek sebelah abah boleh kata tidak pernah menerima kunjungan dari keluarga abah.. hatta hari raya sekalipun. Setiap kali bulan puasa, mak akan buat juadah raya sedikit sebanyak namun hanya kami yang makan. Hanya keluarga sebelah mak yang berziarah. Tapi aku amat rapat dengan nyaiku sebelah ibu kerana aku cucu sulung!. Nyai pernah berpesan pada mak supaya jangan saling membezakan mak sendiri dan mertua. Apa yang dibeli untuk nyai maka belilah juga untuk nenek. Tapi seringkali umpatan sinis akan menjadi santapan telingaku. 'kain batik yang mak engkau beli ni keciklah.. maklumlah kain murah'. Aku yang masih kecil ketika itu agak terasa juga walau masih tak memahami apa maksudnya.

Bila berkumpul ketika kenduri kendara di rumah nenek, kami adik beradik seolah-olah dipulau oleh keluarga nenek. Kami memang miskin jika dibandingkan dengan sepupu yang lain kerana menantu lelaki nenekku orang berada. Namun mak tetap tidak bersuara atau mengadu.. Abah pula mengambil sikap acuh tak acuh seolah-olah tiada apa yang berlaku.

Sehinggalah satu hari aku tak tahan dengan perangai nenekku dan makcik-makcik yang sering mengata mak dibelakangnya, aku bersumpah di dalam hati bahawa aku akan belajar bersungguh-sungguh supaya menjadi orang pertama dalam keluarga bapaku yang masuk universiti. Aku tak berupaya untuk membela mak dari kesombongan mereka tapi alhamdulillah sepuluh tahun selepas itu aku berjaya keluar dari menara gading - menjadi cucu pertama berjaya. Cucu yang lain emm cantik tapi tak berapa pandai.

Mak yang kukenal cuma seorang yang 'simple',suka bersosial, bukan jenis cengeng atau suka menangis, suka mengambil sesuatu perkara dengan tanggapan mudah dan tidak gemar menjaja cerita ke sana sini. Waktu kami kecil maklah yang sering berhutang sana sini untuk menyambung hidup kami.

Walaupun abah akhirnya dapat kerja kerajaan sebagai 'jaga' ketika aku bersekolah rendah, tapi itu tidak mengubah taraf hidup kami yang sering kekurangan. Mak akan memasak bekal untuk abah di awal pagi dan abah akan menaiki basikal ke tempat kerja di Uitm dari rumah kami di Klang.Selepas itu, mak akan menoreh getah di belakang rumah dan menghantar getah ke tempat peraih kira-kira pukul 9 atau 10 pagi. Agaknya seminggu sekali mak akan dapat hasil jualan getahnya itu.

Adik-adik semakin ramai, persekolahan satu demi satu anak tentu cukup mencengkamkehidupan kami. Alhamdulillah, rasanya keluarga kami amat bahagia dengan serba ringkas yang kami kecapi. Kami anak beranak jarang sakit atau demam kecuali adik ke tigaku yang menghidap asma sejak kecil. Namun begitu, itu semua tidak menghalang mak bergaul dengan masyarakat. Mak rajin mengikuti aktiviti WI dan UMNO cawangan sejak dulu hingga hari ini. macam ahli seumur hidup pulak!

Tahun 1994 aku menjejak kaki ke UITM.Emak mula mencari jalan menambah pendapatan. Selain menoreh, emak mula menerima tempahan menjahit baju, dan menghantar kuih muih untuk jualan di Pasar Jawa Klang.Emak melahirkan anak ke lapan (bongsu) ketika aku di tahun akhir dan adik kedua yang kupanggil Kak Cik pula berada di Maktab perguruan di kelantan. Kehidupan kami semakin hari semakin 'ringan' setelah abah membina rumah sewa di tanah kami hasil dari sumbangan nyaiku.Saudara mara dah mula kenal kami!

Setelah kami dewasa, satu demi satu mendirikan rumah tangga dan mak mula menimang cucu. Sungguhpun begitu, tubuh mak yang kecil molek tidak kelihatan seperti nenek beranak lapan dan bercucu. Kadang-kadang aku pulak yang merasa lebih tua dari mak. Aku rasa sikap 'simple' mak yang membuatkan mak awet muda. Petuanya mudah, makan apa yang ada dan hanya untuk mengalas perut. Tidak memikirkan perkara remeh. Pernah ketika adikku kurang sihat abah menegur mak kerana seolah-olah tidak menghiraukan keadaan adik. Tapi mak membals dengan mengatakan,"biarlah, kan tengah diberi sakittu, esok baiklah dia..". Kalau anak-anak mengadu masalah adalah biasa baginya mengatakan,"alah.. biar jelah..tak de apa-apa lah".Mak juga menaruh keyakinan kepada anak-anak. Mak kenal siapa kawan-kawan kami dan tidak pernah berburuk sangka. Mungkin itulah sebab kami anak-anak berjaya dengan kehidupan masing-masing, kerana aku tahu apa yang mak luahkan hanyalah yang baik-baik sahaja dan doa nya tidak pernah putus untuk kami.Begitu juga hal nya dengan jiran tetangga dan saudara mara. Mak tidak akan memperbesarkan isu-isu kecil dan tetap memaafkan sesiapa saja yang bermuka-muka atau tidak baik terhadapnya.Bumi mana tak ditimpa hujan namun begitu, biduk berlalu kiambang akan bertaut kembali.

Kini abah dan mak tetap sihat dan ceria dikelilingi oleh anak-anak dan cucu. Kesemua anak yang telah berkeluargaa tinggal berdekatan. Surau berhampiran rumah menjadi rumah kedua bagi mereka. Abah dah jadi Imam dan mak jadi Ketua Khairat Kematian Muslimat kariah. Sedikit masa lagi adik bongsu akan bernikah dan mak dah mula sibuk membuat persiapan.

Semalam tujuh dari lapan anak mak menyambut hari ibu di Intekma Resort. Abah pun ikut sekali. Walaupun cuma makan malam secara bufet dan hadiah yang tak berapa mahal, jelas kelihatan mak begitu gembira melihat anak berkumpul meraikan hari ibu (termasuk anak-anak yang dah jadi ibu la). Ku doakan semoga mak dikurniakan tubuh badan yang sihat dan hati yang suci bersih selamanya hidup dan bahagia dengan abah dunia dan akhirat. Amin

No comments: