1.20 petang, 4 Mei - kami tiba di masjid wilayah untuk ziarah dan solat jenazah allahyarham Tan Sri Nasimuddin, CEO Kumpulan Naza. Azan zohor membuatkan kami mempercepatkan langkah. Suami terus ke dewan solat utama dan aku terus ke dewan serbaguna. Orang ramai semakin memenuhi dewan dan tempat letak kereta semakin sesak. Sekumpulan pelajar tahfiz memenuhi 1/3 ruang dewan manakala 2/3 dewan dipenuhi dengan hadirin lelaki dan perempuan. Sejurus kemudian, dewa bergema dengan alunan ayat-ayat suci al-Quran oleh para pelajar tersebut. Hening dan syahdu sekali... kabarnya mereka adalah dari sekolah tahfiz keluarga allahyarham.
Kira-kira setengah jam kemudian, suasana diselubungi sayu ketika jenazah tiba dan diusung masuk ke dewan serbaguna untuk penghormatan terakhir. Anak-anak lelaki beliau tiba lebih awal disambut saudara dan kenalan. Manakala isteri dan anak perempuan tiba bersama jenazah. orang ramai semakin memenuhi ruang yang ada - Islam dan bukan Islam, jauh dan dekat , Melayu, India, Cina, orang puteh, Korea dll - sama-sama memberikan penghormatan terakhir.
Kelihatan def kehormat seperti Dr Mahathir dan isteri serta Mokhzani, JJ diikuti dengan Pak Lah dan keluarga turut hadir. Ternampak juga kelibat Hattan.. Bacaan yaasin dan tahlil dibaca beramai-ramai diketuai oleh salah seorang tahfiz. Air mata tak terbendung apabila imam menyebut nama aruah ketika tahlil dengan penuh insaf dan syahdu. Dewan bertukar hening diselang seli esakan di sana sini.
Jenazah di bawa ke Hulu Langat untuk persemadian terakhir selepas solat jenazah. Saya tidak ikut serta tetapi pengalaman ini amat berbekas di hati. Amat jelas kelihatan keluarga allahyarham memang keluarga yang mementingkan agama sebagai asas dan tunggak sesuatu kehidupan.
Saya tidak mengenali beliau secara peribadi tetapi saya dapat merasakan keikhlasan dan kesyahduan orang-orang yang hadir - bukan kerana beliau seorang yang kaya dan ternama tetapi penghormatan yang lahir dari sanubari masing-masing.
Namun, satu perkara yang amat pasti - walau sekaya mana pun beliau, semahal manapun kereta importnya, namun perjalanan terakhir ke pusara tetap cuma menaiki van jenazah Kia Pregio agak usang... (mungkin salah satu sedekah jariahnya dulu).
Satu lagi perkara yang perlu dinyatakan di sini, Syarikat Naza menetapkan solat Zohor dan Asar berjamaah di pejabat. Majlis asma al husna dan yasin diadakan dari semasa ke semasa samada di rumah bos-bos Naza atau di premis kilang atau outlet dan kakitangan amat digalakkan hadir.Perkara seperti ini tidak pernah saya dengar di organisasi bumiputera lain. Itu belum lagi sedekah jariah termasuk pembinaan surau dan masjid, menubuhkan sekolah tahfiz, rumah anak yatim dan pertubuhan tabligh dan lain-lain yang tidak diwar-warkan. Alhamdulillah, jika inilah yang diamalkan oleh allahyarham dan keluarganya untuk keberkatan mereka sendiri, syarikat dan kakitangan keseluruhannya, saya yakin rakyat negara ini akan mendoakan roh beliau diletakkan di kalangan orang yang beriman. Tidak lupa kepada waris dan keluarga beliau, supaya tabah dan terus reguh menghadapi dugaan ini. Kabarnya, isterinya juga adalah penghidap kanser. Sesungguhnya ujian dan tanggung jawab yang terpikul di bahu anak-anaknya terlalu hebat tetapi saya dapat lihat bahawa allahyarham dan isteri telahpun mempersiapkan mereka dengan ilmu dunia dan akhirat untuk meneruskan empayar perniagaan mereka. Al-fatihah
rindu bertandang tak kira waktu dah!!!hmmm...
11 years ago
No comments:
Post a Comment