Ads

Sunday, May 18, 2008

terima kasih kerana melahirkan aku

Tan adalah seorang anak muda yang baru berjinak-jinak dengan dunia pekerjaan. Dia memegang jawatan sebagai Pembantu Akaun dan masih lagi belajar separuh masa. Rakan-rakan sekerja menganggap Tan sebagai 'agak pelik' kerana perangainya tidak seperti budak-budak ofis yang lain.

Ketika orang lain berpusu-pusu ke kantin untuk makan tengahari, Tan akan duduk di mejanya sambil memakan bekal yang dibawa. Cukup sekadar sandwich dan air sambil membaca buku. Buku kegemarannya ialah tulisan-tulisan falsafah Cina. Sedaya upaya Tan akan mengelak untuk berborak kosong dan seboleh mungkin menumpukan perhatian kepada tugasannya. Hanya apabila didekati secara baik barulah Tan mahu membuka mulut.Tan tidak pandai ponteng atau tuan kerja.Lama kelamaan, Tan seolah-olah terpinggir dan berada di dunianya sendiri.

Sudah menjadi tradisi syarikat untuk merayakan hari lahir staf setiap bulan. Apabila sampai giliran Tan, dia seolah-olah tidak teruja. Apabila ditanya, Tan menjawab," sebenarnya kita sepatutnya meraikan ibu yang melahirkan kita, bukannya meraikan harijadi kita.Kerana tanpa ibu, kita tidakkan ada di dunia ini."

Saya terkedu mendengar kata-katanya itu. Sungguh tinggi penghormatannya terhadap ibu yang memberikannya peluang mengenal dunia. Adakah kita seperti itu? Setelah kita dewasa terutamanya dan juga mempunyai wang sendiri serta keluarga yang bahagia adakah kita ingat ibu sewaktu meraikan hari jadi? Atau kita menunggu ibu mengucapkan,"selamat hari jadi nak" sambil menyajikan juadah istimewa? Dengan siapa kita sambut harijadi- kawan-kawan, suami, tunang, anak-anak? Dimanakah ibu waktu itu?

Kini setelah menjadi ibu kepada tiga orang anak, aku sedar bahawa setiap kali hari lahir mereka, aku akan terkenang detik-detik penderitaan, kebahagiaan, kesakitan, kenikmatan dan debaran sewaktu mengandung, 'morning sickness' yang teruk, seksa berjuang di bilik bersalin dan macam-macam lagi.

Kemudian aku akan tersenyum sendiri melihat anak-anak membesar di depan mata. Elok didikan dan bersyukur kerana dapat menjadi ibu yang baik kepada anak-anak.

Kemudiannya, ketika hari jadiku, seperti biasa suami mengajak makan malam istimewa di luar bersama-sama anak-anak. Lantas aku mohon izin untuk membawa bersama emak dan abah. Selesai menjamu selera, aku merapati emak dan ku peluk erat-erat.

Aku bisikkan ditelinganya dengan kasih sayang, "mak terima kasih kerana melahirkan midah." Terima kasih Tan...

No comments: