Ads

Tuesday, June 3, 2008

kem remaja gemilang 2008

Persatuan Hal Ehwal Wanita Taman Dato' Bandar atau HELWA telah ditubuhkan empat tahun yang lalu dengan tujuan utamanya ialah untuk merangka dan mengujudkan aktiviti kemasyarakatan khusus untuk wanita dan anak-anak dengan menumpukan kepada pendidikan dan sahsiah diri. Saya menjadi pengerusi dan kira-kira 20 orang ajk dari kalangan suri rumah dan ibu-ibu berkerjaya.

Baru-baru ini, Helwa telah berjaya menganjurkan program Kem Remaja Gemilang 2008 dengan kerjasama dari ABIM dan Pepias. Kos penganjuran telah dibantu oleh KRT Taman Dato Bandar dan tabung Helwa sendiri sebanyak RM1800 dengan anggaran 200 orang peserta. Kos tersebut meliputi minum pagi dan sumbangan kepada penceramah dan fasilitator.Sambutan kami terima dari lebih 150 orang pelajar berusia 10 tahun hingga 17 tahun dan selebihnya ibubapa.

Tujuan utama kem setengah hari tersebut adalah untuk memberi lebih kesedaran kepada anak-anak dan ibu bapa tentang pendidikan dan pembangunan awal anak-anak serta cabaran masakini yang amat amat mencabar; melebihi dari apa yang dipelajari dan diamalkan di rumah dan di sekolah.

Sesi pagi - Penceramah Dr Mastura iaitu seorang pakar psyikologi kanak-kanak dari UIA yang juga merupakan Naib Presiden Helwa ABIM Kebangsaan telah menerangkan kepada peserta berkenaan perkembangan emosi anak-anak dari sejak lahir hingga akhir remaja iaitu 21 tahun. Ketika ceramah berlangsung, anak-anak dibimbing oleh fasilitator dari PEPIAS rancak mengikuti aktiviti di padang berhampiran. Riuh rendah kedengaran melambangkan aktifnya mereka ini.

Sesi kedua - pelajar dan ibu bapa digabungkan dalam satu sesi ceramah bertajuk menghadapi cabaran masa kini oleh Dr Haslinda, mantan exco ABIM yang juga pensyarah dari UPM. Pelajar lelaki kelihatan amat teruja dengan pembentangan interaktif penceramah sehingga tidak sedar satu setengah jam berlalu.

Setengah hari masa diperuntukan memang tidak mencukupi, namun HELWA berpendirian sekiranya program seperti ini diadakan secara istiqomah, insyaallah, akan terkesan dan memberi impak positif kepada peserta dan masyarakat amnya.

Hari ini pula, seramai 50 orang anak-anak TDB akan di bawa ke kem motivasi di Sungai Congkak untuk program 3 hari 2 malam dengan fasilitator juga dari PEPIAS. Kali ini, pihak KRT sendiri yang menganjurkan program ini. Sekali lagi mereka akan dididik dan dibasuh minda dengan pengisian kejiwaan dan kerohanian untuk menjadikan mereka insan berkualiti dunia dan akhirat.

Namun, amat menyedihkan kerana ada ibu bapa yang tidak ambil endah dengan program-program seperti ini. Balik-balik orang-orang itu juga yang hadir. Sedangakan penduduk luar dari Taman kami ini beria-ia hendak turut serta. Dari jumlah 1000 orang penduduk , tidak sampai 10 peratus yang aktif menyertai program kemasyarakatn seperti ini. Kenapa ye? Tepuk dada, tanya iman.

No comments: