Ads

Tuesday, June 3, 2008

tuah ayam nampak di kaki

Pada 25hb yang lepas, aku telah dijemput untuk mengacarakan majlis persandingan sepupuku Azmir. Keluarganya memintaku untuk menjadi pengacara, ( entah siapa yang beri mereka idea tu..) dengan alasan kerana membayar pengacara profesional mahal tapi mereka tak kenal, lebih baik suruh sepupu sendiri tentu lebih mesra dan santai.

Memang ada kebenarannya. Tapi bukan itu yang aku nak cerita ni.

Sepupuku Azmir (lebih dikenali dengan panggilan Amir oleh keluarganya), si pengantin lelaki adalah anak bongsu daripada 4 beradik. Emak dia adalah adik abahku. Amir dilahirkan di Sungai Koyan, Raub, Pahang kerana keluarganya bermastautin di sana walaupun kedua-dua mak abahnya berasal dari Klang. Oleh sebab itu, aku taklah kenal sangat dia ni. Lagipun jarak umur kami yang separuh umurku, menyebabkan kami hanya hanya kenal gitu-gitu ajelah.

Tapi disebabkan aku menjadi emcee majlis kawinnya, kenalah aku interviu sikit-sikit. Amir ni rupanya adalah seorang anak dan pelajar yang sangat pintar dan cerdas. Ketika bersekolah rendah, Amir telah menjadi tokoh pelajar dan aktif dalam ko kurikulum. Bersekolah menengah di MRSM telah mencungkil lagi bakat terpendamnya. Anak bertubuh sederhana ini telah menjadi pemain ragbi dari sekolah menengah hingga mewakili Malaysia di peringkat antara bangsa. Tak cukup dengan itu, Amir juga suka mendaki gunung dan dia bertemu kekasih hatinya juga ketika mendaki dan berakhir di jinjang pelamin dengan Tengku Diana - rakan seuniversiti.

Melanjutkan pelajaran di Universiti Hussein Onn dalam bidang kejuruteraan Awam sehingga berjaya mendapat ijazah dan seterusnya bekerja sebagai Jurutera Awam di Kuala Lumpur.Peluang bekerja di Arab Saudi terbuka luas setelah Syarikat tempatnya bekerja bekerjasama dengan Ben Laden Group untuk menaiktaraf tempat melontar jamrah di Mina, Mekah al-Mukarromah.

Seperti orang mengantuk disorongkan bantal, Amir yang sememangnya berketurunan alim ulama, (kedua-dua datuk sebelah ibu dan abahnya imam terkenal di tempatku), tidak melepaskan peluang ini. Beliau kini telah 2 kali menunaikan haji pada usia 25 tahun.

Dari pengamatanku, Amir adalah antara manusia bertuah di bumi Allah ini. Keluarganya sangat mementingkan kasih sayang dan hubungan kekeluargaan yang kuat terutama disebelah bapanya. Buktinya, hampir semua makcik sebelah abah dipanggil 'ibu'. Bila ada kenduri atau keramaian, semua keluarga dipastikan hadir. Abahnya pula jenis yang suka menunjukkan sayang di hadapan anak-anak. Sehingga hari ini, walaupun sudah ada menantu dan cucu, abahnya ini masih memeluk anak-anaknya - sesuatu yang amat jarang dilakukan oleh bapa-bapa. Ia sama seperti Nabi Muhammad yang masih lagi memeluk dan mencium anaknya Siti Fatimah walaupun Fatimah sudah beranak dua. Hebat sungguh!

Aku petik sedikit ucapan terima kasih Amir kepada keluarganya ketika majlis persandingan, " Saat paling manis ialah ketika bersama emak dan abah menunaikan umrah dan puasa Ramadhan selama sebulan di Tanah Suci Mekah dan juga berhari raya bersama di sana pada tahun 2007. Amir berharap supaya seluruh ahli keluarga kita dapat menjejakkan kaki ke sana bersama-sama suatu hari nanti."

Itulah doa dan harapan Amir kepada mak, abah dan kakak dan abangnya serta keluarga. Doaku pula, semoga Amir akan terus ke hadapan seiring iman dan amal, dunia akhirat umpama seluang jauh melaut, akhirnya pulang ke muara jua.

No comments: