Ads

Saturday, June 21, 2008

Helwa Taman Dato Bandar

Persatuan Hal Ehwal Wanita Taman Dato Bandar (HELWA TDB) telah ditubuhkan pada 2004 bertujuan untuk mengadakan aktiviti khusus yang melibatkan wanita dan keluarga serta kemasyarakatan amnya. Ahli persatuan terdiri dari isteri-isteri dan penduduk wanita Taman Dato Bandar yang sebahagian besarnya adalah suri rumah dalam usia 30 - 40an.




Antara program pertama HELWA TDB adalah membentuk pasukan marhaban yang kini aktif memenuhi undangan majlis perkahwinan, cukul jambul dan lain-lain di dalam dan luar taman kami. Bayaran yang dikenakan adalah RM100 untuk dimasukkan ke dalam tabung marhaban. Alhamdulillah setakat hari ini, HELWA TDB sangat aktif dan dikenali ramai oleh penduduk sekitar.

Gambar menunjukkan antara ahli terawal kumpulan marhaban memakai seragam pertama. Sekarang dah ada 4 uniform, bab melawa ni memang kitaorang terer.

Selepas persembahan ketika ceramah Ustazah Bahyah Mahmood. Senyum terpaksa kerana penganjur meletakkan kami di persembahan terakhir, ketika orang mula nak balik dah... jadi, kerusi lebih ramai dari manusia huk..huk..


Selain dari itu, program seperti lawatan sambil belajar, kelas fardhu ain bimbingan ustazah sekerap 2 kali sebulan, program motivasi untuk anak-anak, seminar remaja gemilang dan sebagainya.
Khusyuk mendengar pengalaman bekas penagih di Rumah Pengasih ketika melawat ke Pemadam, Rumah Pengasih dan Muzium Islam. Rasa terharu sehingga ada yang mengalirkan airmata apabila melihat sendiri penghuni Rumah Pengasih menjalani kehidupan di sana.


Sempat posing beramai-ramai bersama-sama penghuni Pengasih. Sayu rasa meninggalkan mereka di tempat pemulihan yang jauh dari sanak saudara. Bahkan ada yang tidak dijengok langsung oleh keluarga sendiri.

Berikut pula adalah foto-foto ketika HELWA membuat kutipan pakaian terpakai untuk mangsa tsunami di Acheh yang dihantar melalui Persatuan Bulan Sabit Merah.


Tidak lupa juga bantuan mangsa banjir di Johor di mana kami telah berjaya mengumpul barangan keperluan lebih kurang RM4000 dalam masa 3 hari sahaja. Kali ini, kaum bapa juga turut terlibat dan kami turut mengiringi lori mengangkut barangan ke ABIM, Gombak.


Nak dijadikan cerita, Farah anak saya tu, menderma sepasang selipar untuk budak perempuan, dan telah menyelitkan nota kecil berisi kata-kata semangat dan nombor telefon. Sebulan selepas itu, Farah menerima panggilan dari penerima selipar tersebut yang mengatakan bahawa telah selamat menerima barangan kami dan tak lupa ucapan terima kasih. Subhanallah..

Salah seorang suami yang membantu mengangkat kotak-kotak. Berat ooi...

Gambar-gambar seterusnya pulak ialah ketika program khatam Quran dan cukur jambul anak-anak TDB. Meriah yang amat..
Ibu-ibu membaca berzanji dan marhaban. Kat bawah khemah dengan kehadiran diluar jangkaan. Semakin lama semakin panas.. maintain tetap maintain..




Yang ni pulak bebudak tengah bernasyid untuk pembukaan. Mahal tudung tu..

Para pembawa bunga rampai dan bunga telur mengiringi peserta khatam Quran berarak ke khemah.

Lihatlah deretan kelapa muda yang akan diisi dengan rambut baby nanti.Anak-anak manis mengalunkan suara ketika khatam Quran.

Anak buahku, Shasa sedang dipotong jambul oleh atoknya.. Masanikan ramai baby dah kepanasan sebab terlalu lama tunggu giliran cukur jambul Dah ada yang togel dan tertidur..

Selesai sudah acara, makan tengahari cukup selera, hingga mata tak larat nak buka..

Thursday, June 19, 2008

Bercuti di Lumut, Perak

Tepat jam 9.30 pagi 7 Jun 2008, kami bertolak ke Lumut untuk bercuti selama 2 hari satu malam. Tak dapat nak tempah bilik awal, tapi kami rasa boleh dapat tempat kot. Kalau tidak nampaknya terpaksa balik malam tu jugak la. Sepanjang jalan dari Klang ke Kuala Selangor, Tanjung Karang dan sempadan Selangor Perak amat menyenangkan walaupun trafik agak padat.

Kami berhenti sebentar di tepi jalan Hutang Melintang sebab nak rasa air nira nipah. Abahnya yang mengesyorkan sebab kami tak pernah rasa lagi. Boleh tahan manisnya, tapi abahnya kata di Terengganu rasa lain sikit. Ada masam-masam. Ibu pun pandai-pandai kata itu nira kelapa kut...





















Pemandangan sawah bendang yang saujana mata memandang memang menyejukkan mata. Kehijauan padi yang baru mula berbuah amat mengasyikkan. Dari jauh kelihatan tangkai-tangkai padi meliuk lentok ditiup angin pagi.

Makan tengahari hampir jam 2.30 petang di Teluk Batik. Sedap betul makan bila dah lapar. Ikan pulak memang segar. Lima orang makan kena bayar RM36 . Okay la.










Dalam pukul 4 petang kami dapat cek in di Lumut Valley Resort and Condominium dengan bayaran RM188, apartment 1 bilik - pilihan sempurna untuk ibu, abah, 3 budak-budak sedang membesar.



Yang tak bestnya, malam tu ibu dah mula memulas. Ini mengiyakan kata anak-anak, setiap kali bercuti ibu mesti akan demam atau tak sihat. Tulah, ini mesti gara-gara masak makaroni goreng campur cendawan pagi tadi. Ibu pernah sakit perut sebab makan cendawan yang dah agak lama. Tapi ibu doa dalam hati, biarlah ibu saja yang kena.





Apa yang dijangka pun terjadilah.. ibu mula muntah-muntah dari lepas isyak. Hasrat abah nak caghi deghoyan tak termakbul nampaknya. Kami keluar ke bandar dan cari ubat chi kit teck onn. Sambil menunggu dalam kereta, sempat juga ibu muntah di tepi jalan.. he he sorry guys.. tak boleh control.. kecian malam tu abah dan bebudak makan nasi bungkus je. Ibu langsung tak boleh jamah satu benda pun. Balik bilik terus tidur. Kawasan kondo tu pulak 'angker' semacam aje. Katanya, Faris nampak sesuatu di luar lif masa dia dan abang ayan bershuffle tengah malam tu. Ibu pulak terdengar-dengar bunyi kerusi meja ketika terjaga awal-awal pagi. Dua kali pulak.. well.. hope it's not true..



Hari esoknya ibu dah ok. Alhamdulillah. Kami turun ke jeti Lumut untuk cari sarapan pagi tapi tengok lauk pauk dah siap kami 'brunch' sekali le. Abah makan nasi lemak dan kari ikan manyong, minum air limau (lebih limau tau), ibu makan nasi campur lauk ikan kembong asam pedas, kangkung goreng, kari sotong dan minum air teh o limau panas.. fulamak terangkat..ikan kembong segar bugar. Asam pedas ada rasa macam rempah-rempah sikit.. rempah apa ya?




Ayan makan nasi lemak ayam goreng dan minum air sirap. Farah makan nasi campur ayam goreng dan sup, minum milo ais. Satu perangai Farah, dia tak reti makan pakai sudu garfu, paling nikmat baginya ialah makan dengan tangan. Nilah contoh prempuan melayu terakhir..he he.. Faris pulak makan nasi lemak telor goreng dan milo ais. Lepas tu gerenti mintak air kosong.. bagi Faris air kosong adalah air paling sedap di dunia!




Gambar kat atas ni, ibu ambil dari tingkat restoran tu, menghala ke jeti. Laut nampak jauh je..Memang cantik pekan Lumut sekarang ni, sesuai sangat untuk pelancong dalaman dan luar negara.




Selepas mandi-manda di swimming pool sepuas-puasnya, sebab kolam renang tu besar tapi orang boleh dibilang dengan jari ataupun takde langsung, mungkin sebab expatriate aje duduk kat situ atau sebab.. 'angker' kut.. kami pun berangkat pulang lepas jamak solat zohor dan asar. Mintak extention time dari pihak pengurusan sebabkan semalam kami check in lewat.


Dalam perjalanan pulang, kami singgah di Telok Senangin Golf and Country Resort. Cantik juga tempat tu.




Lihatlah gambar anak bujang dan dara ku ini..






Maka tamatlah percutian singkat kami ke Lumut. Keseluruhannya, objektif bercuti tercapai iaitu untuk mengeratkankan kasih sayang antara ahli keluarga. Bergurau senda membawa ceria, walaupun ada yang menderita sakit perut bagai nak gila!!




Lepas ni, pergi mana pulak abahnya?



Wednesday, June 18, 2008

minyak naik ikat perut

Hari ini saya bercadang nak masak lemak ayam, gorang kangkung, goreng ikan dan sambal belacan. Hmm memang kegemaran kami sekeluarga tu. esok pula sayang ingat nak buat sambal telor dan gorang kobis pulak. Saya kena masak pagi-pagi lagi sebab lepas tu saya akan ikut suami ke Melaka, ada tugasan di sana.

Jadi saya beli ayam seekor (berat 1.9kg), ikan cencaru 4 ekor bersaiz sedang, kobis separuh, kangkung tak sampai 1/2kg, santan kelapa, cili besar 5 biji, roti kentang 1 peket, suun 1 peket, telor gred c 10 biji dan serai 3 batang. Harga semua sekali RM27.40. Agak terkejut namun sudah menjangka harga barangan akan naik. RM50 yang diberi oleh semua cuma bertahan 2 hari untuk membeli lauk makan tengahari dan malam. Itu belum termasuk sarapan seperti roti gardenia jambo dan mentega lagi... Buah pencuci mulut dah tak masuk dalam menu!!

Setibanya saya di rumah, tangan lantas menekan nombor telefon suami. Dengan nada sedih, saya ceritakan apa yang berlaku di kedai tadi. Saya terangkan juga yang kini dompet saya sering hampir kosong apabila berbelanja - hampir tiada baki. Suami amat memahami dan terkesan dengan keadaan sekarang lebih-lebih lagi cuma dia seorang yang bekerja. Duit minyak sahaja mencecah RM900 sebulan daripada RM500 kerana dia jarak dari Klang ke KL bukan dekat. Bulan ni sahaja, 3 kali outstation, tentu pakai duit sendiri dulu, claim pulak punya liat nak dapat.

Kemudian, secara kasar kami berbincang untuk mengkaji semula kos yang tidak berapa perlu seperti Astro, handphone kedua suami dan beberapa perkara lagi.

Itu suami saya yang mempunyai 3 anak dan bekerja sebagai Pengurus. Gaji 5 angka, memandu kereta syarikat dan juga mendapat elaun petrol setiap bulan. Bagaimana dengan mereka yang bergaji tetap tanpa apa-apa elaun tambahan tapi jarak perjalanan yang serupa dengannya!! Macamana pulak adik saya yang bekerja sebagai kerani bank, atau mertua saya yang harapkan duit pencen, atau adik ipar saya yang baru kerja dan isteri pula mengandung anak ke empat? Entah apa pula nasib pengawal keselamatan, pemandu-pemandu, guru agama Mais, ibu dan bapa tunggal?? Apakah yang bermain difikiran mereka ketika ini? Allah sahaja yang maha mengetahui betapa sukarnya menerima keadaan ini. Dan saya sangat berharap supaya kemelut ini akan segera berubah. Ya Allah, pandanglah kami dan kasihanilah kami..

Thursday, June 5, 2008

YB dahulu, YB sekarang

Sejak Pakatan Rakyat memerintah Selangor, aku tertanya-tanya macamana agaknya style pemerintahan mereka. Rupa Menteri Besar dah selalu tengok, tapi tak pernah aku nampak muka isteri dia di tv atau suratkhabar, sampaikan aku agak MB ni tak de isterike? Begitu juga dengan YB-YB lain, teringin sangat aku nak tengok dia orang ni berucap dan berdepan dengan masyarakat. Ada beza atau sama je style dan penampilan denga 'orang lama'?

Bagaikan pucuk di cita ulam mendatang, aku terbaca tentang Forum Wanita Bersama YB anjuran Persatuan Mawaddah Malaysia yang menjemput orang awam hadir berforum. Aku terus menghubungi orang yang berkenaan untuk mendapatkan tempat. Nak ajak ajk Helwa, masing-masing ada komitmen lain maklumlah cuti sekolah, jadi akhirnya aku pergi sorang-sorang.

Dewan Daeng Chelak, Perpustakaan Negeri Selangor yang boleh memuatkan 300 jemputan hanya dipenuhi tidak sampai separuh. 'Mmm.. mana-mana program pun sama - sukar nak menjangka kehadiran". Tapi yang bestnya, dapat juga aku mengenali rupa isteri MB Khalid yang merasmikan forum iaitu Puan Sri Salbiah Tunut. Penampilan amat ringkas, rendah diri dan sangat sopan amat menarik hatiku. Puan Sri berkata di awal ucapannya supaya tidak memanggilnya Puan Sri, cukup dengan Kak Sal sahaja,menerima tepukan gemuruh hadirin.

Lupa nak sebut awal tadi, ahli panel adalah terdiri dari Adun Hulu Klang, YB Shaari Shugip, bekas tahanan ISA, YB Theresa Kok (memang nak sangat tengok muka dia in person..) dan Adun Batu Tiga, Rodziah Ismail.

Puan moderator memang aku tak kenal but she was very hebat. Dari cara dia cakap tu, seolah-olah dia ada buka sekolah agama private dan sering berulang alik ke Arab Saudi. Hebat la tu..

Antara soalan yang dikemukakan ialah bagaimana kehidupan selepas bergelar seorang YB, bagaimana menangani isu wanita dan ibu tunggal, serta tanggapan pelabur luar tentang kedudukan ekonomi Selangor selepas PR mengambil alih tampuk pemerintahan.

Rata-rata jawapan mereka amat positif, tidak bercanggah antara satu sama lain walaupun mereka dari parti yang berlainan. Aku amat kagum memerhatikan cara mereka bercakap, dan keperihatinan mereka jelas dari lubuk hati masing-masing.

Walau siapa pun mereka dan prinsip politik mereka, tanggungjawab sebagai wakil rakyat adalah lebih utama. YB Rodziah ada memberitahu bahawa kerajaan ada menyediakan sumbangan RM2000 kepada waris warga emas berumur lebih 60 tahun yang meninggal dunia. Juga sumbangan atau upah menjaga orang sakit di rumah sebanyak RM300. Wang ini boleh dituntut dari pejabat daerah masing-masing.

Ketika soalan dibuka kepada dewan, aku pun tak melepaskan peluang untuk bertanya. Soalanku yang pertama ditujukan kepada wakil PAS iaitu YB Shaari. Ia berkenaan dengan imej dan penampilan muslimat PAS yang kelihatan terlalu alim (dengan jubah dan tudung labuh), seolah-olah tidak bercampur dengan orang lain kecuali ahli kumpulan mereka sahaja menyebabkan orang seperti aku ni yang berpakaian biasa-biasa berasa segan untuk mendekati mereka. Jawapan dari YB amat memberangsangkan apabila dia mengatakan bahawa dia secara peribadi mengambil sikap fleksibel dengan mencontohi fatwa Yusof Qordhowi di mana dia akan menyambut salam sekiranya ada orang ingin bersalam dengan beliau. YB juga menasihatkan muslimat PAS yang hadir supaya mengambil pendekatan yang serupa kerana apabila sudah menjadi pemerintah, dengan sendirinya akan bergaul dengan masyarakat yang berbilang bangsa dan kaum.

Soalan kedua pula berkenaan dengan jemputan kepada YB ke program rakyat. Adakah perlu sambutan istimewa seperti hadiah cenderahati untuk mereka dan rombongan. Jawapan Theresa adalah tidak perlu tapi kalau nak bagi lebih baik bagi makanan seperti buah-buahan. Manakala YB Shaari dan Rodziah pula menolak cenderahati dengan alasan ia boleh membawa kepada unsur-unsur rasuah pada masa hadapan. Satu jawapan yang konsisten dari YB beragama Islam. Aku terpegun.

Sebuah buku berjodol Dunia tanpa Suami turut dilancarkan oleh isteri tahanan ISA dan dijual dengan harga istimewa RM10 sebagai tanda sokongan pada GMI. Aku pun beli, siap dapatkan tandatangan lagi you..

Kesimpulannya, seperti yang kujangka, pemerintah kali ini memang berbeza dari dahulu. Tidak retorik dalam ucapan mereka, tau apa yang dikata dan serius untuk bekerja. Masing-masing ringkas dalam penampilan, tidak riak dan tidak terlalu mengikut protokol. Bagi hadirin juga menunjukkan reaksi yang serupa. Tiada lagi hilai tawa kurang sopan dan pakaian dam aksesori 'over' sangat. Kira ok lah..

Semoga ia akan berterusan untuk 4 tahun lagi. Amin

Tuesday, June 3, 2008

tuah ayam nampak di kaki

Pada 25hb yang lepas, aku telah dijemput untuk mengacarakan majlis persandingan sepupuku Azmir. Keluarganya memintaku untuk menjadi pengacara, ( entah siapa yang beri mereka idea tu..) dengan alasan kerana membayar pengacara profesional mahal tapi mereka tak kenal, lebih baik suruh sepupu sendiri tentu lebih mesra dan santai.

Memang ada kebenarannya. Tapi bukan itu yang aku nak cerita ni.

Sepupuku Azmir (lebih dikenali dengan panggilan Amir oleh keluarganya), si pengantin lelaki adalah anak bongsu daripada 4 beradik. Emak dia adalah adik abahku. Amir dilahirkan di Sungai Koyan, Raub, Pahang kerana keluarganya bermastautin di sana walaupun kedua-dua mak abahnya berasal dari Klang. Oleh sebab itu, aku taklah kenal sangat dia ni. Lagipun jarak umur kami yang separuh umurku, menyebabkan kami hanya hanya kenal gitu-gitu ajelah.

Tapi disebabkan aku menjadi emcee majlis kawinnya, kenalah aku interviu sikit-sikit. Amir ni rupanya adalah seorang anak dan pelajar yang sangat pintar dan cerdas. Ketika bersekolah rendah, Amir telah menjadi tokoh pelajar dan aktif dalam ko kurikulum. Bersekolah menengah di MRSM telah mencungkil lagi bakat terpendamnya. Anak bertubuh sederhana ini telah menjadi pemain ragbi dari sekolah menengah hingga mewakili Malaysia di peringkat antara bangsa. Tak cukup dengan itu, Amir juga suka mendaki gunung dan dia bertemu kekasih hatinya juga ketika mendaki dan berakhir di jinjang pelamin dengan Tengku Diana - rakan seuniversiti.

Melanjutkan pelajaran di Universiti Hussein Onn dalam bidang kejuruteraan Awam sehingga berjaya mendapat ijazah dan seterusnya bekerja sebagai Jurutera Awam di Kuala Lumpur.Peluang bekerja di Arab Saudi terbuka luas setelah Syarikat tempatnya bekerja bekerjasama dengan Ben Laden Group untuk menaiktaraf tempat melontar jamrah di Mina, Mekah al-Mukarromah.

Seperti orang mengantuk disorongkan bantal, Amir yang sememangnya berketurunan alim ulama, (kedua-dua datuk sebelah ibu dan abahnya imam terkenal di tempatku), tidak melepaskan peluang ini. Beliau kini telah 2 kali menunaikan haji pada usia 25 tahun.

Dari pengamatanku, Amir adalah antara manusia bertuah di bumi Allah ini. Keluarganya sangat mementingkan kasih sayang dan hubungan kekeluargaan yang kuat terutama disebelah bapanya. Buktinya, hampir semua makcik sebelah abah dipanggil 'ibu'. Bila ada kenduri atau keramaian, semua keluarga dipastikan hadir. Abahnya pula jenis yang suka menunjukkan sayang di hadapan anak-anak. Sehingga hari ini, walaupun sudah ada menantu dan cucu, abahnya ini masih memeluk anak-anaknya - sesuatu yang amat jarang dilakukan oleh bapa-bapa. Ia sama seperti Nabi Muhammad yang masih lagi memeluk dan mencium anaknya Siti Fatimah walaupun Fatimah sudah beranak dua. Hebat sungguh!

Aku petik sedikit ucapan terima kasih Amir kepada keluarganya ketika majlis persandingan, " Saat paling manis ialah ketika bersama emak dan abah menunaikan umrah dan puasa Ramadhan selama sebulan di Tanah Suci Mekah dan juga berhari raya bersama di sana pada tahun 2007. Amir berharap supaya seluruh ahli keluarga kita dapat menjejakkan kaki ke sana bersama-sama suatu hari nanti."

Itulah doa dan harapan Amir kepada mak, abah dan kakak dan abangnya serta keluarga. Doaku pula, semoga Amir akan terus ke hadapan seiring iman dan amal, dunia akhirat umpama seluang jauh melaut, akhirnya pulang ke muara jua.

kem remaja gemilang 2008

Persatuan Hal Ehwal Wanita Taman Dato' Bandar atau HELWA telah ditubuhkan empat tahun yang lalu dengan tujuan utamanya ialah untuk merangka dan mengujudkan aktiviti kemasyarakatan khusus untuk wanita dan anak-anak dengan menumpukan kepada pendidikan dan sahsiah diri. Saya menjadi pengerusi dan kira-kira 20 orang ajk dari kalangan suri rumah dan ibu-ibu berkerjaya.

Baru-baru ini, Helwa telah berjaya menganjurkan program Kem Remaja Gemilang 2008 dengan kerjasama dari ABIM dan Pepias. Kos penganjuran telah dibantu oleh KRT Taman Dato Bandar dan tabung Helwa sendiri sebanyak RM1800 dengan anggaran 200 orang peserta. Kos tersebut meliputi minum pagi dan sumbangan kepada penceramah dan fasilitator.Sambutan kami terima dari lebih 150 orang pelajar berusia 10 tahun hingga 17 tahun dan selebihnya ibubapa.

Tujuan utama kem setengah hari tersebut adalah untuk memberi lebih kesedaran kepada anak-anak dan ibu bapa tentang pendidikan dan pembangunan awal anak-anak serta cabaran masakini yang amat amat mencabar; melebihi dari apa yang dipelajari dan diamalkan di rumah dan di sekolah.

Sesi pagi - Penceramah Dr Mastura iaitu seorang pakar psyikologi kanak-kanak dari UIA yang juga merupakan Naib Presiden Helwa ABIM Kebangsaan telah menerangkan kepada peserta berkenaan perkembangan emosi anak-anak dari sejak lahir hingga akhir remaja iaitu 21 tahun. Ketika ceramah berlangsung, anak-anak dibimbing oleh fasilitator dari PEPIAS rancak mengikuti aktiviti di padang berhampiran. Riuh rendah kedengaran melambangkan aktifnya mereka ini.

Sesi kedua - pelajar dan ibu bapa digabungkan dalam satu sesi ceramah bertajuk menghadapi cabaran masa kini oleh Dr Haslinda, mantan exco ABIM yang juga pensyarah dari UPM. Pelajar lelaki kelihatan amat teruja dengan pembentangan interaktif penceramah sehingga tidak sedar satu setengah jam berlalu.

Setengah hari masa diperuntukan memang tidak mencukupi, namun HELWA berpendirian sekiranya program seperti ini diadakan secara istiqomah, insyaallah, akan terkesan dan memberi impak positif kepada peserta dan masyarakat amnya.

Hari ini pula, seramai 50 orang anak-anak TDB akan di bawa ke kem motivasi di Sungai Congkak untuk program 3 hari 2 malam dengan fasilitator juga dari PEPIAS. Kali ini, pihak KRT sendiri yang menganjurkan program ini. Sekali lagi mereka akan dididik dan dibasuh minda dengan pengisian kejiwaan dan kerohanian untuk menjadikan mereka insan berkualiti dunia dan akhirat.

Namun, amat menyedihkan kerana ada ibu bapa yang tidak ambil endah dengan program-program seperti ini. Balik-balik orang-orang itu juga yang hadir. Sedangakan penduduk luar dari Taman kami ini beria-ia hendak turut serta. Dari jumlah 1000 orang penduduk , tidak sampai 10 peratus yang aktif menyertai program kemasyarakatn seperti ini. Kenapa ye? Tepuk dada, tanya iman.