Ads

Monday, November 17, 2008

Tm point tiada jati diri?

Cik Mazlin dari Customer Service, Tm Sales & service telah menghubungi saya pada jam 5.12 petang, 20 November 2008, mengatakan bahawa pihak beliau telah menerima kedua-dua surat aduan dan juga catatan di 'guest book' tmpoint. Beliau turut menyatakan bahawa aduan saya edang diteliti oleh pihak atasan TM dan beliau akan memberitahu saya jawapan dari mereka kelak.
Saya amat berterima kasih dan bersyukur kerana telah mendapat maklum balas, walaupun tidak dipamerkan dalam 'guest book'. Jika senadainya tiada perubahan selepas ini pun, saya amat berbangga dengan diri saya sendiri kerana berani mengambil langkah sedemikian. Sekurang-kurangnya saya telah menyatakan pendirian saya menggunakan keupayaan yang ada.
Bagaikan kebetulan, semalam saya telah menerima satu surat dari Tm mengenai promosi terbaru mereka. Lihatlah... bagaimana Bahasa Kebangsaan telah direndah-rendahkan sewenang-wenangnya. Walaupun ada catatan Bahasa Melayu, namun Bahasa Inggeris tetap di atas. Ini menunjukkan TM memang tidak peka, tidak kisah dan langsung tidak peduli tentang Bahasa Kebangsaan mereka sendiri.
____________________________________________________________________
Hari Sabtu 8 November 2008 lepas, saya dan suami ke TM Point Klang untuk satu urusan pembayaran bil telefon. Ketika suami saya sibuk berurusan dengan kaunter, saya leka memerhatikan suasana sekeliling pejabat tersebut. Hati saya tersentuh dan agak 'bengang' apabila terlihat tanda 'application' dan 'payment' di atas meja kakitangan bertugas. Tiada langsung tulisan Bahasa Melayu seperti 'Permohonan' atau 'Pembayaran' di situ.


Manakala di kawasan lain-lain, melambak-lambak iklan promosi TM seperti risalah dan brosur-brosur yang saya pasti ada berbahasa Melayu, tetapi yang digantung serta di pamerkan adalah yang berbahasa Inggeris sahaja.


Persoalannya ialah:-


(i) Untuk siapakah tulisan itu ditujukan? Tentu kepada pelanggan TM yang rata-rata rakyat Malaysia. Adakah sesiapa di bumi bertuah ini yang mengaku telah merdeka lebih 50 tahun masih tidak faham Bahasa Kebangsaan? Atau TM yang tidak tahu mengalihbahasakan Inggeris ke Bahasa Melayu? Setahu saya, jika ada tanda pamer yang menggunakan dua bahasa atau lebih, Bahasa Kebangsaan mesti bersaiz lebih besar dan berada di atas kemudian diikuti bahasa lain yang lebih kecil saiznya.


(ii) Tidak timbul soal pekerja asing tidak faham kerana semua petugas TM bertugas yang saya lihat adalah rakyat MALAYSIA, tentu tidak ada masalah untuk memberi panduan kepada pelanggan pekerja asing (jika ada).


(iii) Mengapa TM sebagai sebuah sebuah badan semi kerajaan perlu menonjolkan bahasa asing sebagai alat komunikasi? Adakah TM mahu bersaing dengan syarikat komunikasi lain? Atau atas nama Penjenamaan atau apa? Saya tidak berapa terkejut jika keadaan ini berlaku di syarikat telekomunikasi swasta, tetapi TM...(Saya telah melawat TMonline dan tahu bahawa pasukan pengurusan adalah 100% rakyat Malaysia)


Sejenak saya bertanya di dalam hati, adakah saya berada di Malaysia? Sebelum beredar, saya telah menulis satu surat ringkas kepada pengurus mengadu perihal tersebut dan dimasukkan ke dalam peti aduan pelanggan. Saya sertakan nama penuh dan nombor telefon dengan harapan 'ada orang' TM menelefon dan memberitahu saya rasional perkara di atas. Namun sehingga hari ini, tiada maklum balas diterima.


Cuma saya tidak mengambil gambar (kamera sentiasa ada dalam tas tangan saya) kerana masih ingin menjaga airmuka kakitangan yang mula perasan saya memerhatikan mereka dan menulis aduan. Namun, saya akan 'menziarah' TM lagi bulan depan. Hari ini saya telah menulis ti Tmonline guest book.. saya mahu tunggu maklum balas..


Saya terpaksa mengaku bahawa sebagai rakyat Malaysia saya 'sakit di mata, dan sakit di hati' melihat keadaan seperti ini berlaku di tempat di mana bahasa sendiri dipijak-pijak, bahasa orang lain diagung-agungkan.


Bayangkan bagaimana perasaan para guru bahasa, pensyarah dan anak-anak Malaysia tanpa mengira bangsa dan keturunan yang berjuang dan berhempas pulas menjuarai bahasa di sekolah tetapi di dunia nyata, sangat-sangat kejam dan tidak berhati perut mencebik dan meminggir bahasa sendiri; kerana saya yang bukan pejuang bangsa ini pun tidak sanggup menonton adegan sedemikian berlaku di depan mata.


Akhir kalam, teringat saya tatkala di bumi Makkah dan Madinah, Bahasa Melayu digunakan seluasnya oleh peniaga Arab, tapi di bumi sendiri , bahasa hilang ditelan kesombongan tidak bertempat bangsanya sendiri.


No comments: