Ads

Wednesday, January 21, 2009

Brian E Cossar - Dalam kenangan

BRIAN E COSSAR
( 10 November 1941 - 7 Januari 2009)
Pada 13 Januari 2009, saya dikejutkan panggilan telefon dari Husnida bekas kawan sekerja di Clipsal Manufacturing (M) Sdn Bhd yang memberi khabar duka. Ya, Brian Cossar bekas Pengarah Urusan Clipsal telah meninggal dunia pada 7 Januari lalu. Difahamkan bahawa mendiang meninggal di dalam kereta setelah keluar beriadah dengan Harsh Club dan mayatnya hanya ditemui dua hari selepas itu. Brian yang berasal dari New Zealand, meninggalkan seorang isteri, Mary Anne Scully dan anak yang sangat comel, Michelle pada usia 67 tahun.
Pemergian tragis ini amat mengejutkan kami yang pernah bekerja dengan beliau. Sebahagian besar hidupnya bekerja dengan Clipsal sehinggalah beliau berhenti pada tahun 2003 dan saya pernah bekerja dengannya selama hampir 7 tahun.
Mengenali Brian, beliau adalah seorang yang sangat suka bersukan dan sering mengambil bahagian dalam aktiviti sosial dan rekreasi seperti jogathon dan merentas hutan. Kasihnya pada binatang dan alam sekitar terbukti apabila Clipsal menaja binatang di Zoo Negara setiap tahun dan mengambil bahagian dalam kempen menyelamatkan bumi. Saya pernah ke Zoo untuk melihat keadaan anak gajah yang baru dilahirkan atas permintaan Brian!
Tiada prejudis, lembut hati dan kadang-kadang terserlah sifat kebapaannya. Beberapa kali, tanpa sengaja, saya terlihat matanya berair apabila berbicara tentang kisah sedih kakitangannya atau dirinya sendiri. Sehingga hari terakhirnya di Clipsal, beliau hanya sempat bersalaman dengan beberapa orang operator kerana terlalu sedih. Dia berkata pada saya, " I thought it's going to be easy.." sambil terus berlalu masuk ke pejabatnya semula. Jelas, Brian amat disayangi oleh semua lapisan pekerjanya dari operator pengeluaran hinggalah pihak pengurusan.
Saya tidak dapat hadir pada majlis pengebumiannya kerana urusan tertentu namun berita dari rakan yang turut serta cukup menggambarkan bahawa semua yang mengenali beliau amat terasa kehilangannya terutama sekali anak perempuan.
Secara peribadi, Brian menyerlahkan kemampuan saya dengan memberikan saya tugasan yang mencabar dan belum tentu akan diberi kepada saya kalau orang lain menjadi MD saya. Saya sahut cabaran beliau dengan senang hati. Antara tugasan yang paling saya ingat ialah menjadi penyelaras Majlis Ulangtahun ke 25 Clipsal secara besar-besaran pada 2002, menguruskan lawatan pembekal antarabangsa Clipsal ke Kuala Lumpur dan Putrajaya dan mengiringi jemputan dari Australia ke Sukan Komanwel di Kuala Lumpur. Beliau juga meluluskan permohonan saya untuk melanjutkan pelajaran di UM tanggungan penuh syarikat!.
Brian kelihatan amat gembira ketika menyambut Ulangtahun ke 25 CMSB. Gambar menunjukkan gimik yang dilakukan ketika memasuki dewan utama untuk perasmian.
Saya paling banyak menyimpan gambar beliau ketika bekerja dulu kerana turut dipertanggungjawabkan menerbitkan buletin syarikat dua bulan sekali. Namun, hanya beberapa keping yang saya simpan untuk koleksi peribadi, dan disisipkan di sini sebagai 'tribute to brian'.
Jasa-jasa beliau akan saya kenang sampai bila-bila dan saya percaya rakan-rakan sekerja juga amat terasa kehilangannya. Saya juga pernah diberi layanan istimewa atas kejayaan tugasan dengan dihadiahkan dua tiket menonton Konsert Philharmonic di KLCC, bukan sekali tapi dua kali. Yang pertama saya pergi dengan suami tapi kali kedua saya tak dapat pergi. Yang teruknya, saya telah menipunya dengan mengaku bahawa saya telah menontonnya kedua-dua pertunjukan itu!!
Sesungguhnya kasih sayang itu mampu melampaui bangsa dan keturunan, walau mungkin hanya dirasai setelah salah seorang dari kita pergi.......buat selamanya...



Gambar diambil ketika meraikan kakitangan yang berkhidmat lebih 20 tahun. Saya (berbaju Punjabi) tu cuma ada di situ kerana menjalankan tugas..



Saja dah ter'scan' jadi saya masukkanlah di sini. Hampir semua ajk 25th Anniversary merayakan kejayaan majlis di Sunway Lagoon Resort Hotel.

Bergambar bersama Christy (dah putus hubungan) dan rakan lain di luar dewan.

2 comments:

wmu350 said...

fuhh...bergaya juga ya akak ni masa muda muda dulu...!seluar petak2 lagi...

Che Mid said...

Memang pun. Tema malam tu kan 60an.. orang lain siap jadi saloma lagi.. tapi akak kena bergerak banyak jadi pakai seluar je lah.. sekarang ni dah tak sebergaya dulu, slow down dah..