Ads

Friday, March 13, 2009

Hari Keluarga - cerita lagi

Jumpa lagi dalam siri 2 - Hari Keluarga Hj Ghani. Kali ini kita sembang pasal makanan dan kisah 'the making of' nya pulak.


Perbincangan antara saya, kakak sepupu Hawa dan adik sepupu, Zila (konon-konon wakil keluarga la ni ) telah dilakukan sejak akhir tahun lepas, iaitu ketika perkahwinan Nana. Kemudian kami mengadakan mesyuarat antara sepupu dan ibu bapa kami pada awal bulan Januari iaitu di majlis perkahwinan abang Zila, Fitri. Kata putus pun dicapai tentang tarikh, tempat dan menu serta acara. Temanya pula ialah tradisi Jawa. Tetamu digalakkan memakai batik atau kain pelekat.


Pembahagian tugas dibuat mengikut keluarga. Adik beradik saya terlibat untuk menyediakan menu utama iaitu bbq - ayam, kambing dan sebagainya. Saya sebagai penyelaras bertanggung jawab menyiapkan kad jemputan, minit mesyuarat, khemah dan lain-lain urusan. Ala, kan saya la yang paling 'free' dan beria-ia sangat nak buat majlis ni. Kerja kena lebih la..


Adik beradik Hawa ditugaskan untuk menyediakan hadiah, cenderahati dan pulut kuning. Adik beradik Zila masak nasi ambeng istimewa. Nasi ambeng merupakan nasi putih berserta lauk pauk seperti ayam masak kicap, sayur kacang atau buncis tumis dengan suhun, tempe goreng, ikan masin dan tentunya serunding kelapa. Makanan Jawa ini biasanya dimakan ketika kenduri kendara.


Keluarga Cik Nang bermurah hati menaja 500 cucuk sate siap dengan lontong. Oleh kerana keluarga Cik Usop merupakan tuan rumah, hanya perlu menyediakan rumah terutama ruang untuk solat berjamaah. Kami juga memutuskan pada sesiapa yang menyumbang makanan lain juga dialu-alukan. Selain dari itu, setiap keluarga diwajibkan membayar RM30 untuk penyelenggaraan, khemah serta minuman.


Semua sepupu dikehendaki berada di rumah Nyai selepas asar untuk persiapan terakhir seperti menghias khemah, membakar bbq dan menyusun makanan.


Pulut kuning yang disediakan oleh mak Hawa, Wak Usu beserta rendang daging sekali, menanti untuk dipotong dan disuap.


Cup cake untuk sambutan hari jadi disediakan oleh Hawa & famili juga. Comel dan cute sangat!!



Lihatlah dunia! Seperiuk sos lada hitam, ayam, udang dan daging bakar terhidang sedia untuk diratah. Saya dan adik Nor bertungkus lumus menyiang dan memerap bahan bbq sebab adik-adik lain ada yang bekerja dan ke sekolah. 8 ekor ayam, 4 kg daging lembu dan kambing, 4 kg cencaru, 4 kg kerang dan 4 kg udang.




Ubi kemili ni Mid beli di Air Hitam Johor. Kebetulan beberapa hari sebelum tu, saya pergi ke JB ikut suami yang bertugas di sana. Tapi shot gambar alahai sedihnya...






Kerang bakar yang dikipas oleh Hanis dan Firdaus. Disaksikan dengan penuh minat oleh anak-anak buah Hanis. Kipas lagi Pak Cu!! Sambal kicap dan sambal asam pun dah siap dah!!

Selain dari menu yang telah ditetapkan, banyaaaaak lagi juadah sampingan turut disedekahkan oleh sedare mare. Antaranya, mi dan mi hun kari yang dimasak oleh Cik Leha. Dah bagi tau dia tak payah masak sebab dia tuan rumah, tapi nak jugak.. ha masak lah..


Bubur candel yang dibuat dari tepung pulut dan diwarna warnikan. Sapa nak tau lebih lagi, tengoklah fp Rinn.. ada resepi kat sana. Signifikan untuk orang Jawa ialah disediakan ketika upacara turun tanah baby.



Selain dari itu, ada juga tapai ubi (dulu Nyai suka jual tapai ubi...) dan kuih muih seperti kuih lapis perisa keladi, tahu sumbat, apam kecik-kecik warna pink dan lain-lain. Sayang gambar takde.. sebab Mid sibuk buat benda lain.. tak dan nak ambik gambar.


Ada lagi... lontong dan bubur som-som pun ada jugak. Bubur som-som ni dibuat dari tepung beras dan dikacau dengan santan dengan api perlahan sehingga berkilat dan tidak melekat. Dimakan dengan air gula melaka. Biasanya dibuat khusus selepas kenduri kahwin untuk orang yang rewang.



Sapa ingat,,air apakah itu? Inilah air loncan atau lebih dikenali dengan nama air oren johong. Untuk mengenang kembali masa kecik-kecik dulu Mid usahakan juga cari air botol ni. Akhirnya Mid jumpa di Alor Gajah, Melaka. Harganya RM1.50 sebotol, saya cuma beli 30 botol. Fuhh laris dan laris.. saya dengar siap ada yang sorok nak buat balik!


Minuman lain pula ialah air kelapa muda yang diimpot khas dari Tanjung Karang. Sayalah yang mengambil kelapa muda tu. Memandu dari Tanjung Karang ke Meru dengan but kereta penuh dengan 40 biji kelapa muda, dan semut-semut sekali.


Air sirap selasih juga mempunyai sejarah tersendiri. Dulu ada satu nenek tua, kami panggil dia Embah Rilah (pangkat sepupu Nyai kut).. tiap kali Hari Raya bila kami ke rumahnya, mesti dia hidangkan air sirap selasih. Sehinggakan kami menggelarkannya 'Nenek telur katak'. Kan biji selasih tu rupa dia macam telur katak... Sampai sekarang kami masih ingat lagi..


Air cendol pun ada. Orang Jawa dulu suka buat cendol sendiri apabila ada ahli keluarga yang mengandung tua ataupun dah terlebih hari. Kononnya untuk memudah dan mencepatkan bersalin. Kan cendol tu licin je... ( Boleh percaya ka!!)



Dekorasi di meja VIP. Lampu gasolin menghiasi khemah dan atas meja tu dari koleksi saya sendiri. Daun pisang dibentuk empat segi sebagai pengganti pinggan itu dipanggil 'taker'. Orang Jawa dulu-dulu tidak menggunakan plastik sebagai pembungkus makanan. Taker ini digunakan untuk mengisi nasi dan lauk pauk.







Ini satu lagi - ais krim Malaysia!! Best betul makan ramai-ramai. Semua dah jadi budak-budak!!Saya tempah dari jiran rumah saya. Dulu, rumah Nyai takde peti ais, jadi kami kena beli dari jiran sebelah rumah Nyai lah.. TV pun kena tengok kat sana. Aaa.. tengok ultraman dengan cerita Melayu..







Buktinya.. Nyai masih tetap suka makan ais krim ni. Dia paling suka perasa asam boi. Ais krim milo pun ada jugak! Wak Long Samsuri yang tak berapa sihat pun makan jugak.. best sangat.



Tengoklah tu, enjoy betul kami malam tu. Tapi saya dan Awa tak bolehlah nak makan awal sebab jadi pengacara majlis. Muzik latar pulak tahun 60an punya lagu. Jefri Din ada.. S Jibeng ada.. syok habis..
Abah dan sepupu mak yang datang dari KL. Wak Jembrang ni datang awal. Dia juga yang memimpin tahlil malam tu. Lepas tu, dia sukarela bercerita tentang kisah cinta Nyai dan Yai yang diketahui dari arwah mak dia dulu. Riuh rendah dibuatnya!!



Acara bungkus membungkus pun bermula setelah majlis tamat. Banyak betul makanan lebih. Anak-anakku pun pandai tolong juga. Masa ni saya baru nak mula makan.

Inilah orang-orang yang dah kekenyangan. Nyai dan anak-anak berehat sambil bersembang lagi. masa tu jam dah 1 pagi.. tak sedar langsung dah dinihari.

Projek cuci mencuci di bawah pohon kelapak! Adik Nor yang paling rajin kalau bab kemas mengemas ni.. Saya tunjuk rajin je.. he he


Kebanyakan barangan bbq, bufet trays dan bekas air dipinjam dari surau taman saya. Set pembakar bbq pun pinjam juga...




Budak kecik ni adalah antara cicit Nyai yang paling kecil sekali. Dia akan menangis setiap kali tengok muka Onyang dia tu. Takut betul..

Tak puas berkumpul, cucu-cucu lelaki berpakat main futsal tengah malam tu jugak. Keluarga Jamil lawan keluarga Samsuri.. Siapa menang? Tentulah keluarga Jamil..


Kain rentang ni takde dalam bajet awal, tapi saya rasa tak lengkap tanpanya. Jadi saya tempah dengan harga RM70 saja. Gambar arwah Yai tu dah 14 tahun dalam album, tapi gambar Nyai tu gambar terbarunya. Tak puas-puas saya tatap 'banner', rasa sentimental pun ada juga.

Saya dan adik Nor merupakan cucu Nyai yang terakhir pulang ke rumah. Hawa balik awal sedikit kerana anaknya dah mengamuk sebab mengantuk. Masa tu dah hampir pukul 2 lebih. Yang lain-lain lagilah awal...


Okay, itulah kisah Hari Keluarga Hj Ghani. Cik Siti tanya saya, tahun depan nak masak apa pulak? Amboi amboi amboi, seronok sakan lah tu.. Wak Long Samsuri pun kata dia gembira cuma ralat sikit sebab ada sepupu-sepupu berdekatan yang telah dijemput tidak dapat hadir..


Tak pelah, Insyaallah ada rezeki kita jumpa lagi. Kepada sahabat-sahabat yang tak pernah buat majlis 'Family Day', cubalah buat. Pertama, kita menyatukan ahli keluarga yang sesekali bertemu. Kedua, tentulah ganjaran besar Allah swt beri kerana kita menggembirakan orang tua, iaitu ibu bapa kita, dan ibubapanya juga, sementara masih hidup.. Fikirkan.. dan lakukanlah..
Saya dah berangan-angan nak buat majlis ulang tahun perkahwinan ibu bapa mertua saya ke 50... Insyaallah.


No comments: