Ads

Wednesday, April 1, 2009

Sukaneka Taman Dato Bandar


Pada 29 Mac lalu, TDB telah menganjurkan Sukaneka untuk taman kami. Dua minggu sebelum itu telah juga diadakan pertandingan futsal untuk anak-anak lelaki dan bolajaring untuk anak-anak perempuan.




Saya telah ditugaskan sebagai pengadil jadi tak dapatlah nak merayau ambil banyak gambar. Kamera pula sedang masuk ICU, cuma berkamera telefon saja. Apa pun, jom tengok telatah orang-orang
TDB bersukaneka...


Gambar sebelah ini menunjukkan Tok Ketua Kampung dan sebahagian penduduk menyaksikan pertandingan yang berlangsung.


Ini pertandingan masukkan air ke dalam botol menggunakan span untuk kategori keluarga.








Untuk bapa-bapa, paling mencabar ialah pertandingan mengopek sabut kelapa tanpa menggunakan peralatan. Tu.. yang berdiri berbaju biru tu adalah juaranya. Syukri mengupas hanya menggunakan giginya... Anda berani?











Membaling belon berisi air adalah acara khusus untuk suami isteri. Emcee dan penyelaras pun nak main jugak...







Acara golf dimulai dengan pukulan oleh Ketua Kampung, perhatikan kopiahnya... wah boleh tahan..




E eh.. kopiah dah hilang.. berganti topi pulak.. pusing belakang pulak tu.. hebat Tok Ketua ni..



Ini tuan emcee.. dengan penuh gaya duduk di tengah-tengah padang. Cik Halim boleh bergerak ke hulu ke hilir kerana dia menggunakan mikrofon bateri.
Tok Ketua memulakan pula acara bowling kelapa. Kali pertama ok.. strike kelima-lima botol air. Lantas pihak penganjur menganjakkan lagi jarak lontaran.. lepas tu.. hancusss..kelapa melencong ke tempat lain..

Ha.. orang pempuan pulak siap sedia nak berboling kelapa. Ramai betul yang nak mencuba, emmm.. tak payah daftar pun..




Pertandingan kayuhan basikal paling perlahan. Cuma empat orang remaja perempuan saja yang mahu mencuba nasib. Peraturannya ialah siapa yang berhenti lebih dari sekali di kira batal..




Budak-budak lelaki ramai lah yang nak berbasikal ni..



Emak-emak orang beria-ia nak tunjuk terer memasukkan manik dalam benang. Alahai.. ada yang sampai sudah, benang pun tak masuk jarum lagi..





Deretan hadiah menanti untuk direbut pada hari itu. Saya menang tempat ke tiga golf, tapi tak sempat nak ambil sendiri. Keletihan sebab badan tak berapa sihat dan berhujan pulak, lepas tu tak sempat menjamah makanan dari pagi.. Akhirnya saya balik rumah seusai pertandingan terakhir. Sebab tu takde gambar ketika ucapan penutup dan penyampaian hadiah..


Boling kelapa anak-anak pun tak kurang menariknya.. Hai.. kuat ke budak-budak ni meleret kelapa..


Pertandingan mengutip gula-gula untuk anak-anak 5 -7 tahun, berjalan serentak dengan berbasikal. Yang kelakarnya, kerana teruja sangat nak berebut gula-gula tu, referi tiup wisil untuk pertandingan berbasikal.. alih-alih bebudak ni yang lari kutip gula-gula.. Sabau je la...Bapak-bapak pun tolong simpankan gula-gula yang dikutip. Sebenarnya, tiada pemenang untuk pertandingan ni.. gula-gula tu lah hadiahnya..



Berlari dalam guni di tengah padang yang lecah bagaikan sawah...


Pengadil-pengadil begitu serius menjalankan tugas. Dan hari semakin panas.. dan panas..
Demikianlah antara gambar yang berjaya dirakam di tengah-tengah kesibukan saya menjadi pengadil acara. Sarapan pagi dan makan tengahari juga disediakan. Sayang tak dapat snap gambar kaum suami menanak nasi dan menggoreng ayam.. Tahniah kepada semua ajk yang bertungkus lumus memastikan program ini berjalan dengan jayanya.






Tuesday, March 24, 2009

Ayat-ayat Cinta yang Istimewa


Petikan komentar untuk Novel 'Ayat-ayat Cinta'.



"Hamka kecil telah lahir. Ayat-ayat Cinta, buktinya!" - Prie GS



" Ayat-ayat Cinta adalah novel yang sangat bagus dan lengkap kandungannya. Ini bukan hanya novel sastera dan novel cinta, tapi juga novel politik, novel budaya, novel reliji, novel fiqh, novel etiqa, novel bahasa dan novel dakwah. Sangat bagus untuk dibaca siapa saja."


- Ustaz H Abu Ridho





" Ambillah novel Ayat-ayat Cinta dan masukilah keindahannya, nescaya akan engkau dapati luasnya pengetahuan dan goresan pena yang penuh berkhasiat. Kadangkala ia mengundang airmata, tetapi hujungnya tetap ilmu yang berguna. Kadangkala ia membuat hati kita tergoda, tetapi nafasnya tetaplah ajakan untuk kembali pada agama yang mulia. Ajakan yang lembut dan penuh makna. Kalaulah tidak ditulis dengan kehalusan ilmu yang kuat, tentulah ia akan menjadi tempelan-tempelan ayat yang membuat penat."


- Inspiring Words for Writers





Ungkapan komentar di atas tadi ku baca satu persatu seiring komentar lainnya. Tidak ketinggalan juga prolog dari Hadi Susanto. Ya, memang benar dan tepat sekali.



Aku jarang sekali membaca novel kerana ia akan mengambil waktu yang lama untuk menghabiskannya. Namun aku tidak boleh menahan diri setelah menonton filem Ayat-ayat Cinta; dan ada yang mengatakan bahawa novel berkenaan adalah jauh lebih baik dari adaptasi filemnya. Novel ini juga menjadi lebih mudah dibaca kerana ia telah diubahsuai ke dalam bahasa Melayu.

Memang benar, novel ini seolah-olah satu tazkirah panjang yang digarap dengan teladan melalui cerita tersendiri. Lengkap dengan rujukan buku-buku. Paling menarik bagiku ialah tutur kata dalam bahasa Arab dan Jerman yang kemudian diterjemahkan di bawah. Nampak jujur dan tulus sekali penulis ini. Buku ini sesuai sekali dijadikan hadiah kepada sesiapa saja terutama kepada orang-orang muda.

Sebagai contoh, aku tuliskan di sini saat-saat ketika Fahri dipertemukan dengan bakal isterinya.
" Ini adalah majlis taaruf untuk dua orang yang sedang berniat untuk melangsungkan pernikahan. Menurut ajaran Nabi, seorang pemuda boleh melihat wajah perempuan yang hendak dinikahinya. Untuk melihat daya tarik dan menyejukkan hati. Maka lebih baiknya, anakku Aisha membuka purdahnya. Meskipun Fahri sudah melihat wajahmu melalui gambarnya. Tetapi dia harus melihat yang asli sebelum melangsungkan akad nikah. Bukankah begitu Ummu Amena?" Kata-kata Ummu Fathi ini membuat jantungku berdesir. Sebentar lagi Aisha akan menanggalkan purdahnya, dan aku... Masya Allah... aku akan melihat wajah calon isteriku.
Aku memandang Aisha. Dia memandangku lalu menundukkan kepalanya. Kelihatannya dia sangat malu dan serba salah.
"Aisha, bukalah purdahmu! Calon suamimu berhak melihat wajahmu sebenar," desak Sarah, makciknya.
Sambil mendekap Hasan aku menyaksikan tangan kanan Aisha perlahan-lahan membuka purdahnya. Ada hawa sejuk mengalir dari atas. Masuk ke ubun-ubun kepalaku dan menyebar ke seluruh saraf tubuhku. Wajah Aisha perlahan terbuka. Dan wajah putih bersih menunduk tepat di depanku. Subhanallah.

Yang ada di depanku ini bidadari ataukah manusia biasa. Maha Suci Allah, Yang menciptakan wajah seindah itu. Jika seluruh pemahat paling hebat di seluruh dunia bersatu untuk mengukir wajah seindah itu tak akan mampu. Pelukis paling hebat pun tak akan dapat menciptakan lukisan dari imaginasinya seindah wajah Aisha. Keindahan wajah Aisha adalah karya seni Maha Agung dari Dia Yang Maha Kuasa. Aku benar-benar merasakan saat-saat istimewa. Saat-saat untuk pertama kali melihat wajah Aisha.

Nah, hebatkan! Jadi, saya cadangkan anda carilah buku ini dan bacalah..

Jalan-jalan Tengok Air Terjun Chamang

Di perjalanan pulang dari Kuala Medang tempoh hari, kami singgah ke Air Terjun Chamang, tidak jauh dari Bandar Bentong. Tau tak, suami saya (orang Lipis) pun tak pernah menjejakkan kaki ke sana walaupun sering melalui jalan Bentong - Raub setiap kali balik kampung.


Inilah rupa tengah-tengah bandar Bentong. Sebaris kedai terlindung mentari dan sebaris lagi terik dipancar sinarnya.

Lihat betul-betul, ada jaluran pelangi membelah awan.


Silau mentari panas menjadikan sekelilingnya kelam.




Tidak jauh dari jalan masuk ke air terjun terdapat satu tokong Buddha. Jarak perjalanan dari jalan besar ke air terjun kira-kira 6 km.





Papan tanda Air Terjun Chamang di tepi laluan berliku menggamit keghairahan pengunjung. Paling menarik, kita boleh memandu terus ke kaki air terjun. Tidak perlu berjalan jauh ke dalam seperti setengah-setengah tempat perkelahan lain.






Di sebelah kiri, deretan pokok buluh di lereng bukit bukau menemani perjalanan. Nun di bawah sana, seperti ada anak sungai mengalir.






Dah sampai !! Inilah dia Air Terjun Chamang. Gambar diambil tidak jauh dari tempat letak kereta.


Air memang deras walaupun ketika cuaca panas begini. Tidak ada yang mandi manda di bahagian atas air terjun.




Leka sungguh mereka melihat air deras yang turun laju, sehingga tidak sedar saya curi ambil gambar.




Memang mengasyikkan menikmati pemandangan air sungai. Faris sibuk nak main air tapi abah tak benarkan. Mana ada baju ekstra.. lagipun abah kata air deras sangat.




Tak dapat mandi, tengok orang mandi pun ok jugakkan!! Saya rasa tempat ini tidak terlalu sesak dengan pengunjung, tidak seperti Sungai Congkak atau pantai-pantai.
Tengok budak pakai tuala tu, sedang menunggu nak makan ais krim selepas kesejukan main air. Ada seorang lagi budak perempuan, tapi setiap kali saya nak 'shoot' dia menyorok di belakang motor ais krim tu...
Apa lagi kami pun makan aiskrim la.. Gerai-gerai menjual makanan panas pun ada juga. Lepas tu kami minum dan kongsi makan mee goreng dan maggi goreng. Saja suka-suka, sebenarnya masih kenyang lepas makan tempat orang kahwin tadi..
Selepas itu, kami menaiki jambatan gantung untuk menyeberangi sungai.




Lihatlah pemandangan dari atas jambatan gantung ini. Cukup indah sekali!!



Satu lagi coretan alam!!


Perasan tak ada orang jemur seluar dalam atas batu. Saya pun kecohlah nak 'shoot'. Tiba-tiba cik abang kata," Eh, tuan punya spender tu tengoklah!". Alamak, saya buat muka 10 senlah. Nasib baik pakai sunglasses.



Bagus betul pihak pengurusan ni. Antara yang ditulis - Tidak boleh mengambil apa-apa kecuali gambar dan tidak boleh meningglkan apa-apa kecuali kesan tapak kaki. Oh, sebab tulah tempat bersih...


Mendongak ke awan Chamang, pun cantik jugak.


Bunga-bungaan ini berwarna putih dan besar saiznya, tapi saya tak pernah melihatnya sebelum ini. Mungkin bunga hutan..


Air Terjun Chamang kami tinggalkan dengan catatan indah di ingatan. Lain kali kami datang lagi ya... dan kami akan mandi sepuas-puasnya!!




Saturday, March 21, 2009

Jalan-jalan Tengok Pengantin di Kuala Medang

Sabtu, 21hb mac 2009, saya dan anak-anak mengikuti suami ke Kampung Kuala Medang, Raub, Pahang untuk menghadiri majlis persandingan stafnya; Norazilah bt Hj Ismail dan Rosdan bin Hj Baharom.
Perjalanan ke Kampung Kuala Medang mengambil masa lebih kurang 2 jam setengah dari Kuala Lumpur. Kami bertolak kira-kira jam 10.15 pagi dan tiba di sana hampir 1.30 tengahari. Namun perjalanan sejauh itu, langsung tidak menjemukan. Kami leka menyaksikan keindahan bumi hijau dan langit luas ciptaan Yang Maha Esa.
Jarak 60 km dari bandar Raub diiringi oleh perkampungan tradisi Melayu, ladang Felda Sungai Koyan dan hutan tropika.


Pekan Sungai Koyan 1 menggamit pemandu untuk singgah melepas lelah.



Papan tanda 'Homestay Kuala Medang' mudah dilihat di sepanjang perjalanan. Ya, memang Kuala Medang terkenal dengan eko-pelancongannya. Papan tanda di dalam gambar atas terletak di Felda Sungai Koyan, berhampiran masjid dan balai polis.



Jalan masuk menuju ke Kuala Medang yang sunyi dan nyaman. Hanya sesekali berselisih dengan kenderaan lain.



Dah hampir ke rumah pengantin. Biasalah, saya yang jadi pemandu arah. Bila skala jarak dalam kad jemputan kurang tepat (mengikut andaianlah), mulalah menggelabah, nak terus ke, pusing balik ke...



Kawasan berbukit bukau Kuala Medang memang cantik. Ini simpang masuk ke rumah pengantin. Ronda-ronda di kawasan perumahan pengantin (sebenarnya sesat...) akhirnya kami bertemu jua rumah yang dihajati.


Farah bergaya sakan di lorong masuk rumah pengantin. Sungguh hijau dan nyaman sekali. Jauh dari kebisingan kota dan pencemaran udara. Terdapat beberapa pokok kekabu di kawasan itu, kelihatan memutih di sana sini.


Di halaman rumah pengantin, khemah siap menanti ketibaan tetamu.

Para tetamu dan penanggah berbual-bual dan bergurau senda menambah lagi kemeriahan majlis.


Bertambah-tambah meriah dengan nyanyian merdu jejaka-jejaka Kuala Medang. Sambil menyanyi mereka saling mengusik.



Bab makan pun istimewa juga ni. Nasi minyak dan nasi putih berlaukkan dua jenis masakan daging lembu. Kalau tak silap masak gulai dan rendang. Kerabu pucuk paku segar pun ada. Sejenis masakan pucuk ubi dan terung putat dicampur bunga kantan pun dihidang sama. Saya tak pernah tengok masakan ni, itulah kan.. kenalah banyak berjalan kalau nak rasa masakan orang.


Ulam-ulaman dan sambal belacan pun ada jugak. Makin lajulah Farhan makan.. Acar timun mentah dan acar buah pun tak ketinggalan.


Ni tengah suap Faris bubur pulut hitam. Boleh tahan sedapnya.


Ole-ole dari pengantin baru. Didalam beg comel tertera gambar pengantin tu ada dodol, kalendar kecil dihiasi gambar pengantin dan rama-rama hiasan yang cantik.

Bunga telur berwarna hijua untuk dijinjing pulang.

Sebelum berangkat pulang, tak lepaskan peluang berfoto di halaman. Sebelum tu, kami bergambar ramai di pelamin bersama-sama mempelai tapi tak teringat nak ambil sendiri. Rugi betul..



Inilah satu-satunya gambar pengantin yang diambil. Selamat Pengantin Baru Zila dan Rosdan. Semoga berbahagia dunia akhirat.