Ads

Thursday, August 26, 2010

Faris Yang Lena

Kelmarin.. jam 8.30 pagi.

Che Mid : Faris, bangun.. pergi tidur sebelah Deeja.. Ibu nak pergi surau ni, nak tadarus..dah lambat ni..

Faris  :  (Terkulat-kulat Faris mengheret kaki ke bilik Che Mid). Ibu dah buat susu adik?

Che Mid  :  Dah, ni ha.. jaga adik tau.. ( Deeja lena di atas katil Che Mid dan Faris ikut berbaring di sebelahnya).

Kat rumah cuma Faris dan Deeja je. Abahnya dah ke ofis, Farah pergi sekolah dan Ayan dah pergi kelas.

Che Mid pun jalan lenggang kangkung ke surau.. ya lah.. hari ni ke surau tak bawa Deeja, sebab dia masih tidur lagi. Kalau dia dah bangun, kenalah mandikan dia dan bawa sekali ke surau. Kecohlah..

Jam 10.45 pagi..

Che Mid balik dari surau. Nampak Faris sedang meriba Deeja di ruang tamu sambil menyusukannya.

Che Mid  : (Senyum meleret). Deeja nangis tak tadi?

Faris  : Nangis sikit-sikit je.

Che Mid  :  (Lega) Emm.. Pandai Faris jaga adik.

Gambar hiasan - Faris dan Deeja


Maghrib, jam 7.30 malam.. waktu berbuka.

Faris  :  Ibu, pagi tadi... masa Ibu pergi surau, Ibu tinggal Deeja ATAS  KATIL KE ATAS LANTAI?

Che Mid  : ( Darah dah menyirap ni..tapi sedaya upaya dikontrol) Err.. nape, masa Faris bangun , Deeja kat mana?

Faris  :  ATAS LANTAI!!

Che Mid  : ??????? (Tak terkata apa dah..maknanya Deeja dah terjatuh dari katil. Si abang lena yang amat sampai tak sedar langsung adik tu melalak lepas jatuh.. sampailah Deeja diam sendiri..)

Saturday, August 21, 2010

Susahnya Ibadah ...

Ramadhan datang dan akan pergi tak lama lagi. Bagaimana ibadah kita Ramadhan ini? Di tahun-tahun kebelakangan ni, alhamdulillah, che mid dapat  bertaraweh dan bertadarus bersama sahabat di surau berhampiran. Selalu juga dapat khatam al-Quran di rumah, walaupun main 'citing' sebab mula baca Quran sebelum masuk Ramadhan.. he he

Che Mid bertuah sebab dikelilingi oleh keluarga dan sahabat yang hatinya dekat dengan surau dan kalamullah. Kami saling mengingati dan memotivasi diri masing-masing. Kata-kata seperti,"Malam tadi awak tahajud tak?" atau "Eh, saya belum dhuha lagi ni, tunggu kejap ya" adalah biasa bagi kami.

Tapi tahun agak berbeza. Dengan kelahiran Deeja, masa dan tumpuan terarah padanya. Sampai hari ini, cuma sekali berkesempatan bertaraweh di surau. Yang selebihnya di rumah sahaja atau tak buat langsung bila deeja merengek demam. Pernah juga, che mid segera bertelekung untuk subuh di surau. Deeja terkejut bangun bila muazzin melaung azan, tak jadilah che mid berjamaah. Mengaji pula, puasa 10 hari che mid baru mencecah Surah al-Imran. Tak dan semuka dua, Deeja dah mula nak itu dan ini.

Masyaallah, besar juga ujian Ramadhan buat ku Ya Allah. Tapi, hati yang kesedihan sejuk kembali bila mengenang ganjaran yang Allah beri tika kita menyusukan bayi. Tak mengapa Deeja, pahala ibu tak berkurang walau di surau berkumandang laungan selawat nabi, ibu pula mendodoimu supaya tidur.

Aktiviti imarah surau sempena Ramadhan berjalan lancar. Untuk muslimat, tahun ini kami dah pun selesai ihya' Ramadhan dengan solat sunat seperti dhuha, taubat, tasbeh dan hajat. Diikuti dengan tazkirah Ramadhan dan ceramah khusus bertajuk 'Aurat Wanita'.

Ustazah Jamilah dari Sekolah Al-Farobi bertindak sebagai imam solat sunat sedang memimpin tazkirah.



Sebahagian hadirin bergambar dengan Ustazah Jamilah dan Ustazah Arniza

Kalau orang lelaki bertadarus disebelah malam selepas moreh, orang perempuannya pula berbuat demikian jam 8.00 pagi setiap hari. Ikut pengalaman tahun-tahun yang lepas, kami dapat khatam al-Quran dalam masa 2 minggu puasa.


Apasal tiba-tiba ada gambar bebudak ni? Ha, inilah pengikut setia kami setiap hari.


Sekali tengok macam taska.... tapi itu tak menghalang ibu-ibu dan nenek-nenek untuk bertadarus. Siap bawa susu, biskut dan mainan untuk isi masa anak-anak atau cucu-cucu. Nor sedang membaca sambil diperhati oleh Su dan emak che mid.


Khusyuknya Zehan dan Ani memeriksa bacaan Cik Jah.


Ruzzi dan Kak Ita pula menyemak bacaan Mak Teh

Selain dari itu, kami juga membantu menyediakan bubur lambuk pada setiap hari Sabtu untuk edaran kepada penduduk setempat. Ni, kejap lagi che mid nak pergi la ni. Jumpa lagi... jangan lupa pertingkatkan amalan bulan puasa ni.




Friday, August 6, 2010

Mak Ani Kawen Lagi

Che Mid ada seorang sahabat baik. Namanya Kamliah Suhaini bt Bahari. Kami kenal ketika sama-sama bekerja di Clipsal Manufacturing (M) Sdn Bhd. Selepas sama-sama mengambil skim VSS, kami sama-sama mengerjakan umrah ke Makkah. Kamliah bawa emaknya sekali, Che Mid pulak bawa Ayan sekali. Ayanlah yang panggil Kamliah Mak Ani. Tak lama kemudian, Kamliah diambil bekerja semula di Clipsal hingga sekarang. Kamliah ialah seorang ibu tunggal 5 anak.



Kami jarang berhubung tapi baru-baru ni, dia hubungi Che Mid menyatakan hajatnya untuk bernikah lagi, Alhamdulillah, Che Mid syukur tak terkata, kerana Allah bukakan hati Kamliah untuk kembali bersuami pada tika umurnya 53 tahun. Tapi kejutannya ialah, Mak Ani nak kawen dengan syape ya? Jom tengok!! Che Mid tak lepas peluang berkongsi debaran bersama Ayan (jurugambar tak rasmi) dan Deeja... budak kecik paling kecoh..


Sebenarnya Mak Ani bernikah semula dengan bekas suaminya, Encik Aziz selepas berpisah selama 12 tahun.


Majlis akad nikah ringkas telah diadakan di Pejabat Agama Islam Shah Alam pada jam 3 petang semalam, 5 Ogos 2010. Dinikahkan sendiri oleh abang Mak Ani dan disaksikan oleh anak sulung mereka baju hitam) dan adik En Aziz.


Sah bergelar suami isteri selepas 2 kali lafaz.


Mas Kahwin RM300 dan rantai tangan emas bernilai RM1500 sebagai pembatal air sembahyang melengkap akad nikah.


Anak-anaklah yang paling gembira apabila mama dan abah bersatu kembali. Sayang sekali satu-satunya cucu tidak hadir.


Che Mid diapit oleh Mak Ani dan adik bongsunya mendokong Deeja yang keletah sangat-sangat. Habih semua orang ditegurnya, termasuk ustaz dan ustazah kat situ. Aduii.. letih ibu jaga yang oii.. Tapi bagusnya Deeja ni, tak menangis langsung!


Lagi gambar sebelum beredar dari bangunan Pejabat Agama Shah Alam


Masa kami beriringan keluar ke tempat letak kereta, Mak Ani tersedar yang rantai pemberian suami tadi hilang dari tangannya!! Kecoh jadinya. Along terus menuruti laluan mamanya tadi dengan harapan dapat jumpa balik rantai emas tu. Rupanya, rantai tu tertanggal cangkuknya dan 'terperangkap' dalam kedutan lapisan dalam  lengan baju Mak Ani. Huss!!Nasib baik..


Selamat Berpisah, Ita

Malam tadi telah berlangsung majlis tahlil di rumah aruah Mazli Mohamad, selepas kira-kira 3 minggu kepulangannya ke rohmatullah. Pihak Helwa Taman Dato Bandar bertindak sebagai penganjur majlis di mana kami berkongsi membawa makanan dan minuman untuk jamuan. Puan Ita, tuan rumah, hanya menyediakan rumah sahaja.


Antara juadah yang disediakan ialah mi goreng, cucur badak, bubur kacang, apam dan nasi lemak.


Nasi himpit dan rendang paru, rojak buah Che Mid, kasui, kole kacang dan buah pisang. Air minuman pula air teh susu dan sirap ais. Terima kasih pada para sahabat yang bersusah payah membawa hidangan untuk dikongsi bersama selain meringankan beban tuan rumah.

Majlis dimulakan dengan tazkirah khas berkenaan dengan puasa dan golongan yang boleh membayar fidyah. Diikuti dengan bacaan Yaasin dan tahlil. Pihak kami juga telah melancarkan kutipan sumbangan untuk Ita dan anak-anak dan telah diserahkan kepada beliau pada malam itu juga,



Tuan rumah, berbaju hitam, bersama muslimat sedang membaca tahlil.


Ita, Diana, Nadia dan Puan Sumirah bergambar selepas menerima sumbangan wang tunai ikhlas dari Helwa Taman Dato Bandar



Ita telah memberitahu kami bahawa beliau telah membuat keputusan untuk berpindah ke Parit Buntar. Sekarang ini, Ita sedang menunggu kelulusan bertukar ke cawangan Maybank di sana. Jadi, majlis ini seolah-olah menjadi majlis perpisahan untuk kami.



Bergambar kenangan - semoga Ita tabah mengharungi hidup selepas ini.


Jiran dan teman sentiasa mendoakan kesejahteraan Ita dan anak-anak.

Untuk Ita dan anak-anak, selamat maju jaya Che Mid ucapkan. Akak tahu Ita tabah dan kuat demi anak-anak. Teruskan pandang ke hadapan dan redha dengan apa yang mendatang.

Untuk sahabat Helwa TDB, penghargaan setingginya atas dedikasi dan sokongan anda dari dulu hingga sekarang. Bertuahnya kita tinggal di taman ini, kita saling berbaik-baik dan jarang sekali kedengaran suara sumbang yang boleh mengeruhkan kejernihan persahabatan selama ini. Alhamdulillah.



Thursday, July 29, 2010

Semangat Mazli Bawa Kemenangan

Minggu ni Che Mid slow melow sangat sebab tak berapa sihat. Tapi hari Ahad lepas ada pertandingan futsal peringkat taman Che Mid. Jadi kami pergi jenguk kejap sebelum makan tengahari kat luar. Tukang masak MC laa..

Kalau anda masih ingat dalam entri yang lepas, Che Mid ada cerita tentang arwah Mazli meninggal tidak lama selepas mengadakan mesyuarat futsal dengan anak-anak Jalan Muafakat 3. Jadi budak-budak ni berazam sangat nak menang untuk menunaikan hajat dan harapan arwah. Tempat Mazli digantikan oleh Zamri sebagai pengurus pasukan.

Masa kami sampai tu, dah sampai peringkat akhir. Jalan Muafakat 3 (pasukan Che Mid) hantar 3 pasukan iaitu pasukan remaja lelaki, kanak-kanak perempuan dan kanak-kanak lelaki. Semua pasukan dapat masuk final. Gambar atas ni, pasukan kanak-kanak perempuan selepas perlawanan. Kalah 3-2. Naib johan pun ok kan!! Tahniah!!



Pasukan Muafakat 3 berjersi merah menentang pasukan Muafakat 2. Kami kalah juga 2-1. Budak-budak ni kecewa sangat tak dapat jadi johan sekaligus gagal menunaikan amanat arwah Mazli supaya menang.



YESS!! Team kanak-kanak johan!! Bergambar bersama Rashid (baju merah) dan Zamri (baju putih). Petang tu, acik Zamri makan belanja KFC. Best nya!!. Kelakar tengok budak-budak tu pakai jersi orang besar.. Tengok Ammar tu (gambar kanan).. pakai baju besar, seluar pulak ternaik sampai ke lutut..



Ramai warga Muafakat 3 turun beri sokongan pada anak-anak. Termasuk (dari kiri), Che Mid, Nor, Lina dan Rashid yang tak henti-henti nak main dengan Deeja


Che Mid tak lepas peluang berposing dengan anak-anak arwah Mazli yang bersemangat tinggi - Diana (kakak) dan Nadia. Yang pasti, acara hari ini mengingatkan kami pada arwah Mazli.  Pemain turun dengan penuh semangat dan para bapa turut datang memberi sokongan moral.

Memang Muafakat 3 sentiasa muafakat dari dulu, kini dan selamanya!!

Tuesday, July 20, 2010

Iktibar dari Pemergian Mazli

Alhamdulillah, sehingga ke hari semalam kami jiran-jiran tak putus-putus dengan majlis tahlil untuk arwah. Tiga malam di surau kami, kemudian di sambung oleh muslimat yang kebetulan mengadakan majlis di rumah mereka.

Che Mid sempat menghubungi balu arwah di kampung, dia kata dia ok anak-anak pun ok. Tapi anak-anaknya tidak boleh tidur malam, asyik merengek teringatkan arwah. Dalam esak tangisnya, Ita berkirim salam dan mengucapkan terima kasih tidak terhingga kepada jiran dan sahabat. Che Mid berjanji akan menjenguknya selepas dia pulang dari kampung nanti.

Iktibar yang Che Mid pelajari dari episod pemergian Mazli ialah pentingnya menjaga silaturrahim dengan jiran-jiran. Memanglah kita kena berbaik-baik dengan keluarga di kampung dan rakan sekerja tetapi jangan sesekali kita menganggap jiran itu tidak penting. Ada orang yang langsung tidak bertegur sapa dengan jiran sendiri walau hidup berkongsi dinding dan pagar. Kerana, dalam waktu terdesak dan kecemasan, jiran adalah orang yang paling cepat dan dekat sekali untuk membantu tanpa mengira waktu. Kan Nabi dah kata, 40 rumah jiran kita adalah saudara kita..



Friday, July 16, 2010

Muafakat 3 Sepi Tanpa Mu MAZLI

Che Mid tinggal di Jalan Muafakat 3. Ada kira-kira 20 keluarga Melayu di Jalan Muafakat 3 ni termasuk adik beradik Che Mid sekali. Hubungan kekeluargaan diantara kami sangat rapat dan baik. Kami sering kali juga berkumpul, masak-masak dan bergurau senda bersama.

Salah satu keluarga yang ada di sini ialah En Mazli bin Mohamad, 36 tahun. Dia ni terkenal dengan sikapnya yang ramah dan sangat mesra dengan jiran. Dah macam adik beradik. Pantang berjumpa ada saja yang nak disakat dan diusiknya. Kalau ada makan-makan, dialah yang akan jadi MC. Memang kecoh majlis dibuatnya.

Mazli sedang sibuk memeriksa PA sistem dan set karaoke masa rumah terbuka Muafakat 3 tahun 2008.

Dikalangan kami dia menggelarkan dirinya adik bongsu kerana paling muda sekali. Suami Che Mid jadi Abang Long. Ada yang dipanggil Abang Ngah.

Mazli menang cabutan bertuah. Sedang menerimanya dari Pak Iman Thaifor.


Tarik tali. Muafakat 3 menang lawan lorong lain taman kami.

Kalau ada sukan-sukan di padang dia tak miss dari ikut serta.  Dia akan sms kami untuk masuk acara yang ada dan pukul berapa berkumpul di padang. Masa cuti sekolah hari tu, dia cadangkan nak pergi mencandat sotong, tapi entah macam mana tak jadi pulak..


Happy go lucky dan tak berkira.

Dikalangan budak-budak pulak, Mazli disenangi kerana selalu jadi coach dan pengurus bola sepak atau futsal. Selalu juga menang kat sana sini.

SELASA, 13 JULAI 2010, LEPAS MAGHRIB...

Mazli sibuk panggil anak-anak remaja datang ke rumah sebab nak bincang pasal tonemen futsal bulan depan. Kali ni Mazli nak buat pasukan futsal lelaki dan perempuan. Lepas Maghrib, mereka pun meeting. Mazli pesan pada anak-anak pastikan menang nanti.

Kira-kira jam 10.00 malam, kami dikejutkan dengan berita...

MAZLI MENINGGAL!!!

Siapa yang percaya? Budak tu baru berumur 36 tahun dan sihat lagi. Tak dengar cerita dia sakit pun!. Baru tadi dia meeting dengan budak-budak ....


Adik Lina dan Khairul

Pasangan Khairul dan Adik Lina pernah bekerja satu ofis dengan Mazli dulu. Lepas tu duduk berjiran sebelah rumah pulak. Bayangkanlah betapa rapatnya mereka. Semasa Mazli tenat, Adik Lina adalah orang pertama yang dipanggil untuk membantu. Khairul takde di rumah kerana bekerja shif petang di KLIA.

Adik Nor

 Anak Mazli yang berumur 10 tahun, Diana, berlari memanggil Adik Nor supaya menjenguk Babahnya. Nor, suami dan anak-anak bergegas ke rumah Mazli. berada di sisi Mazli di saat-saat akhir hayatnya. Emak dan abah Che Mid, Cikgu Jamil dan seorang rakan Mazli juga dipanggil dan sempat mengajar Mazli mengucap.

Selepas beberapa lama nazak, Mazli kelihatan tenang dan meminta anak-anaknya untuk datang dekat dan meminta maaf. Isterinya Ita, hanya mampu menangis, juga sempat memohon ampun dari suaminya. Beberapa saat selepas tu, Mazli menghembuskan nafasnya yang terakhir kira-kira jam 10 malam. Innalillawainnailahirojiun.

Kediaman Mazli terus dibanjiri ziarah terakhir jiran se taman, rakan sekerja Mazli dan Ita juga  saudara mara. Rata-rata semuanya mempamerkan wajah terkejut dan tidak percaya terutama Khairul yang bergegas dari KLIA. Khairul kata, Mazli tadi baru call nak pinjam beg besar sebab  nak bawa isteri dan anak-anak bercuti ke Sabah esok. Rupanya......dia bercuti sendirian dan tak akan pulang lagi. 

Kira-kira jam menghampiri 3.00 pagi, selepas dimandi, dikapan dan disembahyangkan di surau al-Faizin, jenazahnya di bawa ke rumah ibunya di Parit Buntar, Perak. Tiba di sana kira-kira jam 8.30 pagi dan disemadikan pada jam 11.30 pagi. Khairul dan Cikgu Jamil sekeluarga termasuk emak dan abah ikut serta mengiringi jenazah ke tempat persemadiannya.



Mazli sekeluarga. Gambar diambil ketika rumah terbuka Muafakat 3 tahun 2008

Isterinya, Ita kehilangan suami tercinta dan anak-anak kecilnya kehilangan Babah tersayang. Kami kehilangan jiran, kawan dan seorang adik yang baik. Damailah di sana. Semoga Allah swt  mencucuri rahmat ke atasmu MAZLI BIN MOHAMAD. AL- FATIHAH