Ads

Thursday, January 7, 2010

Farah sakit TB??? - (Bah. 2)

Hari-hari berikutnya amat menyiksakan jiwa ragaku. Farah langsung tidak ke sekolah kerana diberi cuti sakit. Setiap waktu terluang kugunakan untuk bersolat sunat dan bermunajat kepada Yang Satu. Sejadahku basah dengan airmata tatkala mengadu kehadrat Allah tentang ujian ini dalam tahajjud dan taubatku. Kuluahkan segalanya - kesedihan, ketakutan, kekesalan, keresahan dan kebingunganku.  Kenapa? Kenapa? Kenapa sering bermain-main dibibir dan mindaku. Baru kini kufahami kata-kata bahawa seorang ibu sanggup  menanggung derita daripada anak menanggung sakit. Tak dapatku bayangkan sekiranya Farah positif kanser, rambut gugur akibat kimoterapi dan bebanan kewangan yang perlu dihadapi.

Secara diam-diam, melalui adik iparku, aku minta Pak Imam mengetuai solat hajat di surau mendoakan kesihatan Farah. Aku harap sangat Pak Imam tidak mengumumkan kepada jemaah nama Farah kerana bimbang emak dan abahku tahu yang Farah sedang sakit. Tidak mahu mereka risau tentang penyakit yang belum pasti. Pak Imam memahami kerana kebetulan anak beliau juga meninggal kerana kanser kelenjar beberapa tahun lalu. Oh!! kecilnya dunia ini kurasakan.. Ketika malam solat hajat itu, ku ajak suami dan Farah ke KL kerana kebetulan aku ada mesyuarat di sana. Sebenarnya aku tak mahu mereka terdengar pengumuman solat hajat itu kerana ia jelas kedengaran di rumahku yang terlalu hampir dengan surau.

Ketika itu juga aku dipanggil untuk menjadi fasilitator latihan. Ini bermakna aku terpaksa berjauhan dengan Farah buat beberapa hari. Sekali lagi aku dalam dilema... rakanku beria-ia mahukan aku hadir.. tak cukup orang katanya. Akhirnya aku berangkat juga meninggalkan Farah yang sedang sakit. Suamiku bersetuju mengambil cuti dan menjaganya di rumah.


Lagi gambar raya 2008 - masa ni Farah tengah demam


Di tempat latihan, aku terus mendekatkan diriku seboleh mungkin dengan solat-solat sunat. Jadual mengajar yang padat tidak dapat melupakan ingatanku terhadap Farah. Amat sukar mengawal perasaan setiapkali berhadapan dengan peserta yang terdiri dari pelajar MRSM yang rata-rata umurnya sebaya Farah. Apatah lagi jika rupa mereka seiras Farah, kurasakan ingin terbang pulang ke rumah!!

Allah Maha Besar!! Aku tak pernah merasakan perasaan sebegini. Selepas beberapa malam bermunajat, aku berasa lebih tenang dan lapang. Tiada lagi soalan KENAPA keluar dari mulutku. Apa yang lahir ialah "Aku redha Ya Allah, aku mohon kau jauhkan Farah anakku dari penyakit merbahaya, namun aku terima apa - apa jua yang akan Kau beri padaku, akan ku hadapi apa jua ujian yang kau datangkan... aku tahu Kau Yang Maha Mengetahui dan sesungguhnya Kaulah yang Berkuasa atasku.."

Pada hari terakhir latihan, suamiku dan Farah datang menjemputku. Farah datang kepadaku seraya berata, " Ibu, tangan Farah dah bengkak.. besar bu", sambil menunjukkkan tangannya. Memang kesan ujian montoux test itu positif kerana tindakbalas bengkak yang berlaku. Aku terus berkata "Alhamdulillah.. " dengan penuh kesyukuran.  Suamiku dan Farah pelik melihat kelakuanku. Seolah-olah aku suka sangat Farah mengidap TB, sedangkan mereka tidak tahu kesyukuranku adalah kerana Farah tidak menghidap kanser. Tak mengapalah...

Setibanya di rumah, barulah aku ceritakan segalanya kepada suamiku. Tentang kemungkinan Farah menghidap kanser atau TB. Suamiku terdiam tak terkata apa..


Suasana di Klinik Dada Hospital Besar Klang

Farah dirujuk ke Klinik Dada Hospital Besar Klang untuk menjalani ujian seterusnya. Pemeriksaan kahak untuk 3 hari berterusan. Kami terpaksa berulang alik ke hospital untuk memenuhi tuntutan perubatan. Akhirnya pakar mengesahkan memang Farah dijangkiti Lymphadenitis Tuberculosis. Kuman TB didapati dikelenjar leher berdasarkan  pada tiga benjolan di lehernya dan juga paru-parunya walaupun Farah tidak batuk. Kemungkinan besar jangkitan dari aruah Firdaus. Kebanyakan kakitangan Klinik Dada masih ingat pada kematian Firdaus pada tahun 2004!!. Bahkan mereka masih ingat ketika Firdaus meninggal aku sedang menunaikan umrah!!

Bersambung dientri akan datang...

1 comment:

Adnazthie said...

Tak sabar nak tunggu N3 selanjutnya...