Ads

Friday, January 8, 2010

Farah sakit TB??? (Bah. 3)

Mulai dari 25 Nov 2008, Farah dikehendaki mengambil 12 biji pil sehari sekali. Awalnya aku terpaksa membawa Farah ke Pusat Kesihatan Meru untuk mengambil ubat TB setiap hari. Peraturan WHO (World Health Organisation) mengatakan bahawa setiap pesakit mesti memakan ubat dihadapan kakitangan perubatan setiap hari. Disediakan buku rekod khas yang mencatat setiap pengambilan ubat serta tandatangan saksi sekali.

Namun selepas beberapa minggu, oleh kerana kesibukan jururawat bertugas dan mungkin juga kerana percaya bahawa aku boleh menjaga Farah, akhirnya aku dibenarkan menyimpan stok ubatan dan menyelia sendiri pengambilan ubat tersebut. Itupun setelah aku menandatangani surat akujanji yang mengatakan aku bertanggungjawab sekiranya apa-apa berlaku dikemudian hari.

Sebagai langkah pencegahan, semua ahli keluarga dimestikan menjalani pemeriksaan serupa iaitu diambil sampel darah dan x ray. Alhamdulillah, aku ,suami, Ayan dan Faris disahkan bebas TB namun dikehendaki hadir selepas 3 bulan berikutnya. Kakitangan dari Unit Kawalan Penyakit, Jabatan Kesihatan Daerah Klang juga datang melawat ke rumah dan memberi kaunseling kepada kami.



Sedang menunggu giliran pemeriksaan berkala. Pesakit TB memang ramai, kadang-kadang aku terpaksa menunggu berjam-jam lamanya.

Aku bersyukur ke hadrat Allah swt kerana menjadi rakyat Malaysia yang mempunyai sistem kesihatan yang baik khususnya untuk kawalan penyakit berjangkit seperti ini. Kerajaan juga menanggung keseluruhan kos rawatan penyakit TB ini disamping klinik khas TB tersedia dikebanyakan hospital dan pusat kesihatan berdekatan serta kakitangan terlatih yang professional.


Pesakit-pesakit menunggu giliran. Sekiranya tidak hari pada hari yang ditetapkan, pihak klinik akan menghubungi kita keesokkannya dan memberi tarikh baru.

Kasihan juga melihat Farah yang terpaksa makan 12 biji pil setiap hari. Memang dia anak yang baik, akur dengan hakikat bahawa dia sedang melawan penyakit merbahaya dan tidak boleh miss makan ubat. Sekiranya ada kelas pagi, Farah akan bawa bekal ubat ke sekolah. Kawan-kawan sekolah Farah pun naik kecut tengok Farah makan ubat sebanyak itu. Dia juga seringkali tidak hadir ke sekolah kerana memenuhi temujanji dengan doktor. Begitu juga sekiranya kami balik kampung atau berjalan jauh, bekas ubat Farah tidak pernah tertinggal... setia mengikutnya ke mana sahaja dia pergi.

Baru ku sedar, berat badannya yang kurang dari 40kg bagi tubuhnya yang tinggi lampai itu dahulu sering menjadi usikan kami sekeluarga - "Farah jalan melayang-layang, kalau ditolak angin pun boleh jatuh..." Rupa-rupanya dia sakit...

Walaupun Farah tidak merungut..aku yang melihat Farah makan ubat setiap hari pun tak sanggup dan rasa muak..bayangkan apa yang dia rasakan. Memang Allah memberi ujian yang besar untuknya. Akhirnya berita baik pun tiba. Selepas 6 bulan, Farah dikehendaki makan ubat 3 kali sahaja seminggu. Ahh.. memang melegakan walaupun jumlah pil masih sama.. 12 biji. Benjolan di leher Farah juga semakin mengecil dan mengeluarkan cairan seperti bisul dan akhirnya kering.


Farah disamping jururawat bertugas - Jewa Kumari, Norizan Ishak, Norli Midi dan Nazurah Mohammad. Mereka sentiasa mengenakan topeng penutup mulut.


Berat badan Farah semakin bertambah. Farah juga tidak pernah demam lagi selepas mula makan ubat kecuali semasa wabak HINI tempohari. Abang dan adiknya diserang demam hampir seminggu. Aku mula tak tentu arah bila Farah pula demam. Ketika itu doktor memberi tempoh dua hari untuknya. Jika demam tidak berkurangan Farah akan dirujuk ke hospital. Keadaan paru-paru Farah yang memang sudah dijangkiti akan memudahkan virus HINI memasuki tubuhnya. Tapi Alhamdulillah, demam Farah cepat kebah. Lebih cepat dari abang dan adiknya. Aku bergurau mengusiknya, " Virus HINI nak masuk badan Farah pun takut sebab kuman TB kata.. eh, aku dah lama ada kat sini, engkau jangan nak pandai-pandai masuk pulak!"

Bersambung ke entri seterusnya..


1 comment:

Adnazthie said...

" Virus HINI nak masuk badan Farah pun takut sebab kuman TB kata.. eh, aku dah lama ada kat sini, engkau jangan nak pandai-pandai masuk pulak!"
Pandai betul Che Mid memahami bahasa kuman-2 tu...he he he. Yelah senyuman dan gurauan itu penawar segala duka dan penyakit yang insan hadapi..sambung cepat nnt tak sempatlak Che Mid dah bersalin....