Ads

Tuesday, December 16, 2008

Tm point tiada jati diri? - satu jawapan


Susulan dari aduan saya kepada Tm Point tempoh hari , (sila lihat posting saya bertajuk Tm point tiada jati diri).


Sebentar tadi, (jam 11.16 pagi, 16 Disember 2008), saya menerima panggilan daripada Cik Mazlin dari Unit Perkhidmatan Outlet dan Jualan, Telekom Sales & Services, Kuala Lumpur. Beliau menyatakan bahawa pihak Tm telah pun bermesyuarat membincangkan tentang aduan saya mengenai penggunaan Bahasa Inggeris yang berleluasa dan meminggirkan bahasa kebangsaan. Mereka bersetuju dan akur dengan apa yang berlaku sekarang ini adalah disebabkan keghairahan penjenamaan semula sehingga terlepas pandang mengutamakan Bahasa Malaysia. Mereka turut berjanji untuk mengubah suai semula penggunaan Bahasa Malaysia sesuai dengan kedudukannya sebagai Bahasa Kebangsaan mulai suku pertama 2009.


Saya amat bersyukur dan berterima kasih dengan Cik Mazlin dan Tm kerana sudi mengambil perhatian kepada aduan saya walaupun saya bukanlah 'orang penting' atau mewakili mana-mana pertubuhan. Saya cuma menjalankan tugas saya sebagai rakyat Malaysia yang prihatin dan Alhamdulillah saya yakin Tm juga sebagai badan korporat akan menjalankan tugas mereka memartabatkan Bahasa Malaysia dan meletakkannya di tempat yang sewajarnya.


Percayalah, walau setinggi mana kita mendongak dan cuba menggapai awan, kaki tetap tidak akan terawang! Bahasa itu jiwa bangsa manakala ular pula tidak akan hilang bisanya jika mahu menyusur akar. Biarlah rebung yang dilentur itu menjadi buluh yang sedar dirinya siapa dan terpasak di bumi dipijak ini andai tanah tumpah darahnya di sergah orang! Tidak sekali-kalikan lari mengaku menjadi orang lain. Tidak sekali-kali!!

No comments: