Ads

Sunday, September 13, 2009

Ziarah Ramadhan Helwa

Program Ziarah Ramadhan Helwa telah diadakan pada 19 September, Sabtu lepas. Tujuan ziarah ialah untuk memberi sedekah dan sumbangan kepada golongan yang memerlukan di sekitar Meru ini. Surat memohon sumbangan telah diedarkan kepada penduduk Taman Dato Bandar beberapa hari sebelum itu. Ia juga sebagai platform kepada sesiapa yang ingin membayar fidyah puasa atau zakat selain dari zakat fitrah. Kami mensasarkan untuk mengumpul RM400 dan akan diserahkan kepada 2 buah keluarga serta barangan iringan. Menjangkakan akan mendapat jumlah itu dengan mudah, kami tidaklah beria-ia sangat berkempen untuk mengumpul wang tersebut. Kami bergambar ramai sebelum bertolak dengan menggunakan 3 buah kereta.



Subhanallah.. Allah itu Maha Pemurah. Dia telah membuka hati-hati hambanya untuk bersedekah dan membayar zakat kepada yang berhak. Setelah kami berkumpul di surau seperti dijanjikan, kami telah mengumpul lebih kurang RM1000.00. Oleh itu, kami mengambil keputusan untuk menambah bilangan keluarga kepada 5 buah, dan telah pun menziarahi 4 buah keluarga pada hari tersebut. Tidak putus-putus kami mengucapkan syukur ke hadrat Illahi atas rezeki yang dikurniakanNya ini. Benarlah, niat yang baik dan ikhlas tentu akan mendapat ganjaran besar.


Ironinya, kesemua keluarga yang dipilih kesemuanya Che Mid kenal tanpa disedari. Mari kita tengok siapa mereka.




Keluarga pertama yang dilawati hanya sejauh tidak sampai 1 km dari taman kami. Puan Fazimah Fadil adalah balu kepada Allahyarham Hassan yang meninggal dunia pada bulan Ramadhan tahun lepas akibat demam denggi. Suaminya itu berniaga barangan runcit dan sayuran menggunakan van ke kawasan berdekatan termasuklah taman Che Mid. Pernah juga Che Mid beli sayuran di depan rumah. Isterinya pula berkata dia kenal Che Mid dan tahu nama Che Mid kerana semasa kecil dulu memang selalu nampak Che Mid ke kawasan rumahnya itu.


Balu berusia 37 tahun itu mempunyai 5 orang anak berumur antara 17 dan 7 bulan. Yang sulung berumur 17 tahun dan akan mengambil SPM tahun ini. Anak lelakinya, Haziq, itulah yang mengambil alih perniagaan ayahnya denga berniaga di pasar malam; antaranya di pasar malam Taman Dato Bandar.


Ketika suaminya meninggal, Puan Famizah sedang mengandungkan anak bongsu mereka yang kini menginjak 7 bulan.

Anak keduanya pula perempuan, Nurul Aqilah, berusia 15 tahun tetapi cacat dari kecil lagi. Beliau tidak boleh berjalan atau bercakap, tetapi memahami perbualan orang lain. Hanya minum susu tepung dan bubur sahaja. Namun begitu Jabatan Kemajuan Masyarakat memberi bantuan sebanyak RM350 sebulan. Keluarga ini juga bernasib baik kerana mempunyai rumah di atas tanah sendiri.



Wanita tabah ini cuba menyembunyikan penderitaannya dengan bersikap ramah dan berbual seperti biasa tetapi airmatanya tumpah jua tatkala Che Mid menyerahkan wang sumbangan kami. Rakan-rakan lain ada juga yang menitiskan air mata melihat keadaan beliau. Yalah, berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Bila Che Mid tanya banyakke dapat bantuan tahun ini. Dia cuma menggeleng lemah. Semoga Allah menguatkan semangat Puan Fazimah. Amin.




Rumah kedua yang kami ziarah ialah kediaman Puan Nadhirah Abdullah di Taman Muhibbah. Kisah beliau pernah dipaparkan di blog ini tahun Ramadhan lepas. Pada ketika Che Mid melawat beliau tahun lepas, Puan Nadhirah baru sahaja memeluk agama Islam. Kini beliau mengikuti kelas agama khusus untuk muaallaf pada setiap petang Sabtu di Masjid Assyarif Meru. JAIS pula memberi sumbangan bulanan sebanyak RM600.oo kepadanya sekeluarga.







Puan Nadhirah dan keluarga menyambut kedatangan kami dengan gembira. Beliau juga memberitahu bahawa suaminya juga telah masuk Islam. Ibu beranak lapan ini bagaimanapun sedih kerana anak keduanya yang telah berkahwin dan anak ketiganya yang dijaga oleh mertuanya masih belum memeluk Islam. Anak-anaknya yang lain iaitu Aisyah, Rosman, Fatimah, Ali, Rokiah dan Mariam tinggal bersama-samanya. Puan Nadhirah juga memberitahu kehidupannya lebih bahagia dan terjamin sekarang. Beliau juga tidak mempunyai masalah dengan pihak-pihak lain yang beragama asal.




Wajah Mariam yang begitu ceria dan peramah.






Puan Ruzi dan ustazah Ani bergambar dengan Puan Nadhirah di hadapan rumah sewa mereka. Semoga Allah menetapkan iman Puan Nadhirah sekeluarga dan perlahan-lahan dapat mempratikkan ajaran Islam sepenuhnya.



Keluarga ketiga pula ialah Puan Fitriah Mohd Hassan dan suaminya Che Mat isa Ahmad. Kebetulan mereka adalah rakan saya ketika berniaga pasar malam dulu. Mereka berjual buah-buahan dan minuman. Che Mat memang diketahui mempunyai penyakit saraf dan tidak boleh bergerak. Allah menguji mereka, ketika sesuami terlantar sakit, siisteri yang menggantikannya berniaga ditimpa kemalangan jalanraya mengakibatkan patah kaki dan tidak boleh bergerak juga. Peristiwa ini berlaku juga bulan Ramadhan tahun lepas.Disebabkan kehilangan punca pendapatan, mereka tidak mampu menyewa rumah dan akhirnya menumpang ihsan di pondok kecil berhampiran kandang kambing yang agak jauh dari kejiranan. Pada awalnya, tiada bekalan elektrik dan air. Bayangkan bagaimana kehidupan mereka yang mempunyai 6 orang anak dari umur 12 hingga setahun setengah. Ibu bapa tidak boleh bergerak, tinggal pula di pondok yang jauh dari orang ramai dan tiada kemudahan pula. Saudara mara pula jauh.... Alhamdulillah, ketika kami tiba mereka kelihatan telah semakin sembuh. Puan Fitriah sudah boleh berjalan dengan bertongkat. Suaminya yang berasal dari Kuala Ketil, Kedah sudah boleh berpimpin untuk bergerak. YB Adun juga mengusahakan sambungan elektrik, membaik pulih pondok serta bantuan JKM sebanyak RM450.00. Che Mat menyatakan syukurnya dengan bantuan sebanyak RM450 dan sedekah orang ramai mereka masih boleh meneruskan hidup dan anak-anak tetap bersekolah. Apa yang dizahirkan oleh Che Mat menginsafkan kami bahawa kita sepatutnya sentiasa bersyukur walau sekecil mana nikmat yang Allah berikan, kerana jika tidak, kita tidak akan berasa cukup walau sebesar mana pun rezeki Allah itu.



Che Mid memohon maaf kerana terlalu lewat datang menziarahi mereka. Yalah, kami dulu selalu berbual-bual ketika berniaga di pasar malam, namun tidak sedar pula yang mereka daif sampai begitu sekali. Terasa bersalah di dalam hati Che Mid...

Anak-anak mereka comel-comel belaka. Lima orang dalam jagaan mereka manakala anak yang kecil sekali tinggal bersama saudara mereka di Kedah kerana terlalu kecil untuk dijaga.



Suami isteri ini kelihatan ceria disebalik ujian yang diterima. Menurut Ustazah Ani dan Acik yang mengajar di sekolah anak-anak mereka belajar, Che Mat dan isteri amat mementingkan pelajaran anak-anak mereka. Setiap sumbangan yang diperuntukkan untuk pelajaran anak-anak, Che Mat minta dimasukkan ke bank. Che Mat juga tidak suka meminta-minta bantuan ke sana sini. Dia juga tidak gemarkan publisiti seperti mewar-warkan kisahnya di dalam surat khabar. Beliau percaya jika dirinya susah, ada orang lain yang lebih susah. Padanya, ketika inilah dia tahu siapa kawan dan siapa lawan.



Pada Che Mid, sikap Che Mat ini memang patut dipuji dan dicontohi. Tidak kurang juga yang Che Mid dengar dan lihat ada keluarga sengaja mahu dilihat susah supaya boleh mendapat bantuan.



Keluarga terakhir yang kami lawati ialah keluarga Puan Siti Masfuzah Johari. Juga seorang balu yang kematian suami, Yusuf Marzuki, setahun yang lalu akibat sakit lelah. Che Mid kenal suami beliau kerana berkawan rapat dengan adik suaminya, Maznah Marzuki. Mempunyai lima anak - ada yang sudah bekerja dan masih bersekolah. Namun malangnya, anak kedua beliau, Norhafizah Mohd Yusuf menderita barah tulang lutut sejak Jun lalu.




Adik Nurhafizah baru sahaja pulang dari Pusat Perubatan Universiti Malaya setelah menjalani rawatan kimoterapi kali keduanya. Mungkin masih terkejut kerana baru sahaja mengetahui penyakitnya 4 bulan yang lalu dan kesan sampingan dari kimo, beliau kelihatan stress dan tertekan. Alhamdulillah, keluarga ini berjaya mendapatkan bantuan JKM untuk membiayai belanja perubatannya. Jika keadaan kesihatan mengizinkan adik Nurhafizah akan menjalani pembedahan menggantikan tulang yang dijangkiti barah itu dengan memasukkan besi. Syukurlah, keluarga ini dikelilingi oleh adik beradik dan orang-orang yang bersedia membantu apabila diperlukan.

Kami mengakhiri ziarah kami dengan penuh keinsafan bahawa disekililing kita terdapat ramai yang sedang diuji oleh Allah swt dengan kematian, kemiskinan, kecacatan, kesakitan dan sebagainya. Tugas kita sebagai hamba Allah ialah berkongsi sedikit kesedihan dan penderitaan mereka dengan rezeki yang Allah beri ini juga sekurang-kurangnya memeluk mereka sebagai tanda kita sentiasa ada di sisi mereka ketika mereka senang mahupun susah.
Terima kasih kepada para penyumbang dan sahabat-sahabat yang turut serta dalam rombongan ziarah. Kepada pembaca blog ini, jika terbuka hati untuk menghulur bantuan sila emel Che Mid di hmj_66@yahoo.com


















No comments: