Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani
Dimulakan dengan nama Allah, semoga entri ini tidak menimbulkan pertikaian sekiranya pihak yang berkaitan terbaca. Tujuan bukan mengadu domba, sekadar menarik reaksi pembaca, mana tahu boleh dijadikan pedoman. Ini entri pertama Che Mid berkaitan masalah rumahtangga orang lain.
Sebelum diteruskan, terima kasih atas komen dan pendapat. Nah, Che Mid ceritakan situasi sebenar, setakat yang Che Mid diberitahu dan diperhati.
Memang ia benar-benar berlaku dan sedang berlaku.
Kakak ipar berusia 50an, tidak pernah berkahwin. Ketika muda pernah bekerja sebagai pembantu rumah, dan menanggung adik lelaki bongsu sehingga berjaya menjadi pendidik. Kini menghabiskan sisa usia di rumah pusaka di utara manakala adik tinggal bersama anak isteri di Lembah Klang.
Dengar cerita si kakak ipar pernah kecewa kerana tidak diizinkan berkahwin dengan lelaki pilihan, lalu berazam untuk tidak berkahwin langsung. Seperti menyalahkan tuhan, dia juga enggan menjalankan perintah menyembahNya.
Isteri adalah seorang yang lemah lembut, penyabar, tidak sosial kecuali hal-hal berkaitan kerjaya dan taat kepada perintah suaminya. Boleh dikatakan segala keputusan kecil dan besar adalah di tangan suami. Tidak pernah meninggi suara kepada orang lain, apa tah lagi kepada suami. Mungkin kerana didikan, dia tidak pandai berleter atau mengadu ungkit kepada orang lain.
Suami pula secara zahirnya sangat tegas. Putih dan hitam adalah haknya. Tetapi sangat penyayang kepada isteri dan anak-anak. Tidak suka bermusuh atau membuat 'hal' di luar. Dikenali dan dihormati di kalangan masyarakat.
Konflik terjadi apabila si kakak ipar datang ke rumah atau pun keluarga adik pulang ke kampung. Sejak mula berkahwin hingga sekarang, hampir 18 tahun, keadaan tidak pernah berubah. Kakak akan bersikap benci kepada adik ipar perempuan.
Apa yang disenaraikan dalam entri sebelum ini memang realiti. Kain baju yang telah disidai akan diambil dan dicuci semula, masakan yang dimasak tak sedap dan tidak dijamah. Bila siisteri mengajak makan sekali, tidak diendah tetapi bila anak atau suami menjemput makan barulah setuju. Dari pagi hingga ke malam, dia tidak akan berhenti membersih dan mengemas rumah.
Atas dasar hormat kepada yang lebih tua, si isteri tidak pernah melawan atau menjawab apabila dimarahi atau diperlakukan sebegitu. Cuba memenangi hati, dibelikan pakaian, diajak berbual dll tetapi gagal. Peliknya dengan suami bukan main mesra lagi. Juga dengan anak-anak, apa yang dimahu akan ditunaikan. Kakak ipar memang suka berlama-lama tinggal di rumah mereka. Terkadang hingga berbulan-bulan.
Si isteri mengambil sikap berdiam diri dan mengalah. Urusan rumahtangga akan diambil alih dan si isteri akan menjadi 'tetamu tidak di undang' di rumah sendiri. Setiap kali dapat tahu si kakak ipar akan datang ke rumah, kerisauan memuncak. Suami mengetahui perangai si kakak, namun berasakan tidak mahu mencari gaduh dan si isteri pula 'penerima' dan mendengar kata, maka drama berterusan dari tahun ke tahun. Si isteri pernah berkata nasib baik dia bekerja dan rumah yang diduduki itu rumah mereka suami isteri, kalaulah dia tinggal bersama kakak ipar di rumah pusaka suami dan tidak bekerja, mungkin telah dihalau..
Semakin lama, semakin parah. Sengsara dalam diam telah memakan diri. Setiap kali dalam perjalanan pulang dari kerja, si isteri dah rasa takut. Di herdik, dijerit bila suami tiada di rumah sudah jadi perkara biasa. Bayangkan, kasut yang dipakai sudah koyak, tapi si isteri keberatan beli baru, takut diperli dan dimarahi. Balik ke rumah, bilik menjadi tempat 'persembunyian'. Si isteri juga mengelak keluar rumah selain dari bertugas, malas menjawab itu ini..
Satu hari, si isteri ghaib. Ke tempat kerja pun tidak, bercuti pun bukan. Kecoh rakan sekerja mencari, telefon tidak berjawab. Adik beradik turut bimbang kerana tidak pernah berkelakuan sedemikian. Bila di hubungi suami, tidak sampai hati... mereka bertemu di luar. Isteri beritahu yang dia sudah tidak tahan dengan kakak ipar. Berapa lama lagi harus dia menanggung semua ini. Si suami berkata, dia tidak boleh berbuat apa-apa.
Malam itu, pulang ke rumah, si kakak ipar tetap berlagak seperti tiada apa-apa berlaku. Si suami pula tidak bersemuka dengan si kakak. Si isteri makin tertekan dan keliru.
Malam itu, pulang ke rumah, si kakak ipar tetap berlagak seperti tiada apa-apa berlaku. Si suami pula tidak bersemuka dengan si kakak. Si isteri makin tertekan dan keliru.
Esoknya, di tempat kerja, si isteri terpaksa berterus terang tentang masalah dihadapi. Barulah dia tahu, tanpa disedari prestasi kerja jauh merosot. Silap sana sini. Tubuh badan menjadi letih atau 'exausted'. Airmata tumpah tak kira waktu.
Peliknya, suami dan anak-anak bagaikan tak 'perasan' apa yang berlaku sehinggalah diberitahu. Alhamdulillah, suami bersikap lebih 'memihak' si isteri. Dia mengajak isteri dan anak solat jemaah dan hajat bersama-sama dan memastikan sentiasa di sisi isteri ketika di rumah. Jika si suami ada urusan di luar, akan disuruh si isteri duduk dalam bilik. Namun tidak sekali pun menegur si kakak. Terus bersabar sehingga sampai waktunya menghantar si kakak pulang ke kampung pada musim cuti nanti.
Pendapat Che Mid - sebenarnya kakak ipar terlalu sayangkan adik lelakinya yang ditanggung persekolahannya, sehingga cemburukan si isteri yang mengambil tugas menyediakan makan minum. Sikap si isteri yang terlalu lembut dan mengalah menyebabkan kakak ipar ' naik kepala' dan berani mempersoal, memarahi dan akhirnya menampar si isteri. Keturunan Jawa si isteri dan kakak ipar orang utara menambah jurang - pernah dikata nasi ambeng bagai makanan kucing!
Lagi baik si isteri melayan suaminya, lagi 'panas'lah si kakak ipar. Si suami pula, mengenangkan itu kakak kandung dan mengenang budi, tidak sanggup menegur. Dia boleh bertegas dalam hal lain tapi 'lemah' bila berdepan kakak sendiri. Umpama menarik rambut dalam tepung, diam dan sabar baginya adalah jalan terbaik.
Itulah kisah benar kehidupan 18 tahun rumahtangga mereka hingga ke hari ini.
Adakah komen anda masih sama??
Lagi baik si isteri melayan suaminya, lagi 'panas'lah si kakak ipar. Si suami pula, mengenangkan itu kakak kandung dan mengenang budi, tidak sanggup menegur. Dia boleh bertegas dalam hal lain tapi 'lemah' bila berdepan kakak sendiri. Umpama menarik rambut dalam tepung, diam dan sabar baginya adalah jalan terbaik.
Itulah kisah benar kehidupan 18 tahun rumahtangga mereka hingga ke hari ini.
Adakah komen anda masih sama??